Bicara Siswa


Jumaat, 16 Oktober 2009

Bilik Diselongkar Tanpa Kesan

UniMAPKini dimaklumkan, sebuah bilik seorang mahasiswa di Kolej Kediaman Wang Ulu (KKG) telah dselongkar lebih kurang pada jam 10.45 pagi oleh beberapa individu yang cukup dikenali di KKG pada hari rabu baru-baru ini. Tindakan ini mungkin berikutan wujudnya blog UniMAPKini. Difahamkan tindakan ini dibuat bagi mencari "figure-figure" yang terlibat dalam menjalankan aktiviti blog dan penyebaran berita-berita di blog UniMAPKini.

Menurut seorang mahasiswa yang merupakan salah seorang saksi yang menyedari kejadian ini, beberapa orang yang cukup dikenali di KKG telah memecah masuk sebuah bilik seorang mahasiswa semasa ketiadaannya. Mereka menyelongkar dan menggeledah semua barang-barang sehingga bersepah. Tetapi timbul keraguan dan tanda tanya apabila mereka bertindak menyusun rapi semula barang-barang tersebut tanpa meninggalkan kesan digeledah dan selongkar. Identiti saksi tersebut dirahsiakan oleh pihak UniMAPKini.

"Tindakan menyelongkar dan menggeledah bilik tanpa kebenaran penghuninya adalah satu tindakan yang sangat tidak wajar, ia jelas mengganggu privasi dan hak mahasiswa tersebut sebagai penghuni di kolej kediaman ini." kata seorang mahasiswa yang enggan namanya disiarkan yang sempat ditemui ketika diminta mengulas isu ini.

Menurut beliau, jika benar pihak pentadbiran KKG ingin bertindak menjalankan "spotcheck" atau "rushing", bukan ketika mana penghuninya tidak berada di bilik dan memecah masuk sesuka hati, seharusnya ia dilakukan semasa kami berada di bilik. Apa hak mereka untuk menggeledah bilik penghuni di sini? Adakah kerana mereka adalah pengurusan asrama maka mereka boleh bertindak sesuka hati? Ia mencabuli hak kami.


"Bilik tersebut seolah-olah dipecah masuk, kerana pintunya dikunci setelah penghuninya keluar. Saya menjangkakan ada perkara yang tidak elok akan berlaku, kerena mereka tiba-tiba datang dan terus membuka bilik mahasiswa tersebut. Jika mahasiswa yang lain tahu akan tindakan sebegini rupa daripada pihak pengurusan KKG, ia akan memburukkan dan mencemarkan imej mereka kerana tindakan memecah masuk bilik mahasiswa tanpa sebarang notis atau waran adalah tidakan yang tidak dapat diterima oleh mahasiswa." kata seorang lagi saksi yang tiba-tiba terlihat kejadian tersebut, identitinya juga dirahsiakan oleh pihak UniMAPKini.

Menurutnya lagi, tindakan tersebut cukup memalukan kerana ia dilakukan secara rahsia tanpa diketahui oleh penghuni bilik berkenaan dan ketika mana mahasiswa tersebut sedang menghadiri kuliah. Apa tujuan mereka menyelongkar bilik mahasiswa sebegitu rupa? Adakah mereka mempunyai waran tangkap atau notis untuk berbuat demikian? Tindakan tersebut sangat menimbulkan keraguan.

Tambahnya, yang menarik perhatian apabila barang-barang yang telah digeledah disusun rapi semula, tidak meninggalkan sebarang kesan sedikit pun, malahan lebih kemas daripada sebelumnya. Ia seolah dirancang dengan rapi dan teliti.

Seorang mahasiswa ketika diminta mengulas isu ini berkata, jika pihak pengurusan benar-benar mahu menjejak krew-krew UniMAPKini, bukan begitu caranya, sehingga menakut-nakutkan mahasiswa yang lain dan sehinggakan mahasiswa lain menjadi mangsa atas tindakan yang tidak releven pihak pengurusan. Ia bukan menyelesaikan masalah, ia hanya menambahkan lagi masalah malahan mencemarkan lagi imej pihak pengurusan KKG di mata mahasiswa kampus.

"Mahasiswa tidak perlu takut dengan tindakan yang dibuat walaupun sehingga digeledah, ia adalah tindakan terdesak mereka sehingga melanggar peraturan dah hak asasi individu. Kita berada di pihak yang benar, maka berpegang teguh dan bersatulah atas kebenaran ini di samping menuntut hak-hak anda sebagai mahasiswa di UniMAP, bukan membiarkan diri anda diperkudakan dengan begitu mudah oleh pihak atasan." tambahnya.

MalaysiaKini Sudah di"Buka"

Hampir seminggu malaysiakini di'block' di bawah rangkaian server ICT UniMAP. Difahamkan antara sebab pihak ICT mem'block' web malaysiakini sebelum ini adalah kerana atas arahan "Top Management" kepada mereka. Ia berikutan keluarnya paparan berita berkaitan dengan PRK UniMAP yang bertajuk "Pro-Aspirasi menang percuma, pro-M dakwa disabotaj" di web yang cukup terkenal itu.

Barangkali berita tersebut menggugat nama baik UniMAP yang disebut-sebut sebelum ini oleh Naib Cancelor bahawa UniMAP adalah universiti sifar pembangkang. Penggunaan label pro-Aspirasi dan pro-Mahasiswa dalam berita tersebut telah menafikan apa yang telah disebut oleh NC sekaligus menunjukkan bahawa wujudnya gerakan pelajar dan 'pembangkang' di UniMAP.

Begitu juga, secara tidak langsung ia sedikit sebanyak telah menaikkan nama UniMAP di persada tanah air kerana menjuarai isu "tiada PRK" dan mencuri perhatian masyarakat Malaysia tentang konspirasi dan halangan daripada pihak HEP kepada segelintir calon-calon yang ingin bertanding. Ia hasil tindakan wartawan malaysiakini yang cukup prihatin kepada UniMAP.

Jika dilihat kesannya secara langsung, berita panas itu juga membongkar rahsia sejarah UniMAP yang mana tidak pernah mengadakan walaupun sekali Pilihan Raya Kampus untuk mahasiswa semenjak bermulanya 'batch' pertama. Apa yang berlaku hanya menang tanpa bertanding dan calon-calon cadangan HEP menyapu bersih kerusi-kerusi yang dipertandingkan. Mungkin isu-isu sebegini cukup menggerunkan "Top Management".

Laporan berita itu juga menjadi semakin berbahaya bagi "Top Management" apabila ia melibatkan nama Dekan HEP, En. Razli (ralat dan pembetulan:bukan En. Razni yang disebut dalam berita malaysiakini), atas keengganan beliau untuk menurunkan tandatangan bagi mengesahkan borang pencalonan empat orang calon mahasiswa yang tidak dipilih oleh mereka.

Seorang mahasiswa yang enggan namanya didedahkan diminta mengulas isu ini berkata, tindakan mem'block' malaysiakini di sekitar kampus UniMAP adalah tindakan yang tidak bijak, mereka mungkin boleh menyekat kami daripada membacanya tetapi bagaimana orang yang berada di luar khususnya masyarakat, kerana mereka masih dapat membaca dan mengetahui isu ini, jikalau pem'block'kan web ini diketahui umum tidakkah ia akan memberikan lebih tekanan daripada luar kepada unimap?

"Pihak pentadbiran universiti perlu menjawab apa yang dilaporkan di malaysiakini, bukan mem'block' web tersebut kerana ternyata ia mencemarkan lagi imej UniMAP di mata masyarakat khususnya ibu bapa mahasiswa UniMAP." tambahnya lagi.

Kesempatan ini, pihak Wartawan dan krew-krew UniMAPKini serta seluruh mahasiswa UniMAP ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak ICT dan "Top Management" kerana mengembalikan semula hak kami untuk melayari web tersebut. Tahniah dan syabas! kepada pihak ICT dan "Top Management"

"We Unite for UniMAP"

Khamis, 15 Oktober 2009

Karnival Sukan PPKKP

KARNIVAL SUKAN TERTUTUP JALINAN KASIH PPK KOMPUTER & PERHUBUNGAN 2009





KKG: Internet Bermasalah

Sejak akhir-akhir ini, Kolej Kediaman Wang Ulu (KKG) sering mengalami gangguan 'internet' dan 'server' yang agak kritikal walaupun sudah berkali-kali penghuni kolej tersebut membuat aduan kepada pihak ICT.

Mengapa ia terjadi di KKG sedangkan di kolej kediaman lain tidak berlaku gangguan sedemikian? Adakah rangkai server di KKG di 'hack' sepertimana pernah terjadi sebelum ini? Atau adakah pihak ICT sengaja 'mengganggu' 'server' atas arahan "Top Management" bagi menghalang dan menghadkan mahasiswa KKG melayari web-web atau blog-blog yang amat di'takuti' oleh "Top Management"?

Banyak aduan yang dibuat sementalah lagi keluhan yang berbunyi akibat jaringan 'server' yang tidak dapat berfungsi dengan baik untuk mahasiswa mencari maklumat dan info berkaitan dengan 'study' mereka. Ia secara tidak langsung membantutkan kerja-kerja untuk menyiapkan assignment dan 'research' yang telah diberikan.

"Saya dan sahabat mahasiswa yang lain sudah berkali-kali membuat aduan dan cuba mendapatkan penjelasan daripada pihak ICT tentang perkara ini, namun tidak ada jawapan yang dapat meyakinkan kami." kata seorang mahasiswa yang mahu dirahsiakan namanya kepada wartawan UniMAPKini.

Menurut beliau, gangguan sebegini membantutkan kerja mahasiswa di KKG dan memaksa mereka keluar untuk mendapatkan bekalan internet seterusnya menyiapkan projek serta "assignment". Ia tidak sepatutnya terjadi.

Kata seorang lagi mahasiswa UniMAP yang juga bekas pimpinan pelajar, 'server' di KKG sememangnya sering menghadapi masalah, ia sudah menjadi kebiasaan, walaubagaimana pun dalam keadaan yang mana kami amat memerlukan internet, ia tidak wajar terjadi. Pihak ICT seharusnya menyediakan satu solusi kepada masalah ini dan ia perlu diatasi dengan segera.

Menurut seorang lagi mahasiwa yang tidak mahu dikenali, kemudahan rangkaian internet adalah tanggungjawab pihak pertadbiran universiti dan amanah yang diberikan untuk kegunaan mahasiswa, maka tidak menjadi masalah untuk mahasiswa menuntut hak mereka.

Tambah beliau lagi, adalah salah jika mahasiswa mengatakan bahawa kita patut bersyukur dengan apa yang telah diberikan sehinggakan menghalang untuk kita menuntut perkara yang sepatutnya menjadi hak kita dan tanggungjawab yang sepatutnya ditunaikan oleh universiti, ia sama sekali salah. Sebagaimana seorang ayah perlu menunaikan tanggungjawabnya, begitu juga pihak pentadbiran universiti.

Lawatan HEP UiTM Pahang

Pihak UniMAPKini dimaklumkan, HEP UiTM Pahang sedang mengadakan Lawatan kerja mereka di UniMAP bermula semalam, 13 Oktober 2009. Difahamkan, mereka berkampung di Kolej Kediaman Wang Ulu (KKG).

Walaubagaimanapun, tujuan dan matlamat mereka datang tidak diketahui secara lanjut dan terperinci setakat ini. Harapan agar 'research' dan 'study' yang bakal dilakukan di sini akan memberi kebaikan dan manfaat yang cukup besar kepada mahasiswa, bukan membeban dan menakutkan mahasiswa.

Pihak UniMAPKini mengalu-alukan dan mengucapkan ribuan terima kasih atas kedatangan pihak HEP UiTM Pahang sebagai tanda erat hubungan antara universiti tersebut dengan UniMAP.

Semoga lawatan kerja yang dilakukan memberi faedah yang cukup besar kepada kedua-dua unversiti dan turut sama kepada mahasiswa UniMAP.

"We Unite for UniMAP"

Jemputan PPK Sistem Elektrik

JEMPUTAN UNTUK MEMERIAHKAN MAJLIS ANUGERAH DEKAN & MAJLIS RAMAH MESRA BERSAMA RPS 2009 PPK SISTEM ELEKTRIK




Jemputan PPK Pembuatan

JEMPUTAN KE MAJLIS MALAM ANUGERAH DEKAN PPK PEMBUATAN, EGM (Extraordinary General Meeting) DAN JAMUAN HARI RAYA SEMESTER I 2009/2010.




Jemputan PPK Mekatronik

JEMPUTAN KE MAJLIS ANUGERAH GEMILANG & SAMBUTAN AIDILFITRI
KELAB PPK MEKATRONIK PADA 15 OKTOBER 2009 JAM 8.00 MALAM BERTEMPAT DI DEWAN KAPITOL..





Rabu, 14 Oktober 2009

KKC:Jawatankuasa Atasi Kecurian

Semalam 13 Oktober 2009 telah diadakan perjumpaan tergempar bagi Kolej Kediaman Tun Hussein Onn (KCC). Antara perkara yang dibincangkan adalah berkaitan dengan gejala kecurian yang semakin kerap berlaku di KKC.

Pembentukan sebuah jawatankuasa telah dicadangkan bagi mengatasi masalah tersebut. Pihak UniMAPKini menyokong penuh pembentukan jawatankuasa ini bagi menjaga kebajikan dan keselamatan mahasiswa.

Walaubagaimana pun, pihak UniMAPKini juga menyatakan harapan agar jawatankuasa itu juga dibentuk di kolej-kolej kediaman yang lain bagi tindakan berjaga-jaga supaya tindakan pencegahan awal dapat diambil.

Syabas dan Tahniah kepada pihak pentadbiran serta mahasiswa KKC.

"Mahasiswa Memimpin dan Terpimpin"
"We Unite for UniMAP"

Disebalik BTN

Baru-baru ini BTN 'backup' telah diadakan sebagai salah satu elemen bagi melengkapkan 7 Pillars. Ia telah dianjurkan secara bersama antara HEP dan MPP. Tiga orang penceramah telah dijemput dan ia berjalan sepanjang hari bermula jam 9 pagi dan berakhir lebih kurang pada jam 5 petang.

UniMAPKini dimaklumkan, BTN kali ini dihujani dengan pelbagai persoalan dan pertanyaan yang dilontarkan oleh mahasiswa yang mana secara langsung telah menghangatkan lagi sesi dialog yang dibuka selepas slot ceramah khususnya slot bersama penceramah yang kedua.

Walaubagaimana pun, sesi dialog dan pertanyaan dibuka dengan masa yang cukup 'limited', tidak diberikan ruang dan peluang yang sebaiknya bagi mahasiswa untuk melontarkan persoalan. Ia sedikit sebanyak telah menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan mahasiswa yang ingin pihak penceramah menjawab pelbagai persoalan dan pertanyaan yang bermain-main difikiran mereka.

Namun begitu, beberapa persoalan telah berjaya ditujukan kepada penceramah termasuklah berkaitan dengan ISA, kebebasan bersuara, isu perkauman, pemilihan MPP, isu tari menari yang sudah tidak relaven, PTPTN dan politik semasa.

Temu bual seorang wartawan UniMAPKini telah membongkar satu perkara yang menimbulkan perasaan tidak puas hati mahasiswa atas tindakan penceramah yang memanggil sebahagian daripada mereka ke pentas apabila mereka mengangkat tangan sebagai tanda setuju ISA dimansuhkan. Tindakan sebegini adalah tidak wajar, ia seolah-olah sikap 'double standard' dan sengaja ingin menunjukkan bahawa mereka mahasiswa ini tidak bersetuju dengan ISA.

"Penceramah tidak sepatutnya memanggil mereka ke pentas dan ia sengaja ingin menggambarkan mereka adalah pembangkang, tindakan sebegitu amat tidak wajar" kata seorang mahasiswa veteren UniMAP yang tidak mahu identitinya didedahkan.

Menurutnya lagi, BTN sepatutnya menjadi medan untuk mengasah bakat kepimpinan mahasiswa dan membentuk sakhsiah mereka, bukan mendoktrin perkara yang sia-sia. Walaubagaimana pun, kami sedar seperti mana biasa BTN, penerangan untuk memburuk-burukkan individu tertentu masih diteruskan pada BTN kali ini. Walaupun tidak disebut nama individu tersebut, ia tetap dapat digambarkan oleh mahasiswa dan mereka tahu siapa yang dimaksudkan. Pendoktrian yang sebegini rupa adalah budaya biasa yang digunakan untuk mem'brainwash' mahasiswa-mahasiswa diseluruh kampus di Malaysia.

Ketakutan "Top Management"

Sudah kali ketiga UniMAPKini di'block' di kampus Universiti Malaysia Perlis. Di setiap kolej kediaman, perpustakaan, makmal-makmal dan seluruh rangkaian di bawah wilayah 'server' ICT, UniMAPKini tidak dapat diakses oleh warga kampus. Adakah "Top Management" yang disebut-sebut terasa tergugat dan takut dengan kelahiran blog ini?

Tindakan mem'block' beberapa kali UniMAP kini, jelas menunjukkan mereka takut untuk berdepan dengan kenyataan dan bayang-bayang ciptaan mereka sendiri, mereka takut untuk berdepan dengan hakikat sebenar, takut untuk berdepan dengan kesedaran yang akan meresap masuk ke dalam pemikiran student, takut untuk berdepan dengan kuasa student dan takut kesedaran dan kuasa itu membangkitkan suara mahasiswa UniMAP untuk menuntut hak mereka yang seharusnya ditunaikan oleh "Top Management" kepada mereka sebagai satu tanggungjawab dan amanah.

"Top Management" seharusnya bertindak lebih ilmiah dan intelektual dalam berhadapan dengan situasi sebegini. Tidak wajar apabila kepimpinan sebuah universiti yang cukup berwibawa ini bertindak mem'block' gagasan suara mahasiswa yang dibawa oleh UniMAPKini.

Mereka seharusnya menjawab segala persoalan dan isu-isu yang ditimbulkan dan menerima teguran serta tuntutan student yang sepatutnya menjadi hak mereka di universiti, bukan menutup segala persoalan dan isu-isu yang dibangkitkan dengan menghalang, mem'block', menyekat dan menekan dengan pelbagai tekanan sehingga membuatkan mahasiswa takut, takut untuk mengikuti UniMAPKini, takut untuk menyebarkan berita-berita mahasiswa, takut untuk bersuara dan takut untuk menuntut hak mereka walaupun dirampas tanpa sedar.

"Pentadbiran HEP UniMAP perlu menjawab segala tohmahan dan 'fitnah' yang dibuat oleh UniMAPKini, bukan mem'block' blog tersebut" kata seoarang mahasiswa UniMAP yang tidak mahu namanya disiarkan.

Menurutnya, tindakan sebegitu rupa tidak dapat menyelamatkan keadaan malahan sebenarnya mencemarkan lagi emej dan nama pentadbiran UniMAP khususnya HEP berikutan kaitan mereka dalam mengekang beberapa orang calon daripada bertanding dalam pemilihan MPP pada kali ini. Tidak dapat lari juga "Top Management" yang disebut-sebut dalam portal UniMAP.

Selasa, 13 Oktober 2009

BTN oh BTN

Kepada peserta BTN baru-baru ini, anda boleh lontarkan ketidakpuashatian anda terhadap BTN yang telah dijalankan kepada kami di UniMAPKini. Sila hantarkan info-info yang ingin dikongsi. Identiti anda tidak perlu kami tahu dan tidak akan didedahkan.

Sila send segala maklumat-makluamat yang berkaitan, 'flow' program BTN, point-point yang telah anda perolehi, serta perasaan tidak puas hati anda ke:

unimapkini@gmail.com

Sekian.

Terima kasih atas sokongan anda.

Teruskan bersama kami.

"Transformasi Mahasiswa UniMAP"

DALANG SEBENAR!!!

MARI KITA LIHAT SIAPAKAH DALANG SEBENAR TERHADAP USAHA MENYEKAT BERITA KAMPUS SUPAYA SAMPAI KE MINDA MAHASISWA/I UNIMAP. BUKTI DIBAWAH, ANDA LIHATLAH SENDIRI:-



SIAPAKAH ""TOP MANAGEMENT"" TERSEBUT?

PENAFIAN HAK KALI KE-2

Assalamualaikum wbh & salam perpaduan,

12 Oktober 2009/Isnin/2.30ptg : Sekali lagi seluruh mahasiswa UniMAP telah dinafikan hak buat kali ke-2 selepas dari penafian hak untuk bertanding didalam pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar(MPP). Hak kebebasan bersuara seperti yang telah digezekkan didalam perlembagaan Malaysia, dan hak untuk mendapatkan maklumat & info semasa berkenaan kampus mereka telah disekat dengan mengambil tindakan menyekat @ block kesemua web & blog yang memaparkan berita sebenar berkenaan situasi semasa di kampus UniMAP.

Merujuk kepada perlembagaan persekutuan bahgian II iaitu mengenai 'Kebebasan bersuara' (freedom of speech) ianya dinyatakan dengan jelas didalam "Perkara 10 (1) (a) yang menyatakan tiap-tiap warganegara berhak bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran."

Pencabulan perlembagaan dengan jelas-sejelasnya telah dilakukan oleh UniMAP dengan mengambil tindakan sempit menyekat web & blog yang memaparkan berita yang telus & terus kepada mahasiswa agar lebih berfikiran terbuka terhadap isu semasa.

Menurut pertemuan dan perbincangan bersama
Mantan Majlis Perwakilan Pelajar, beliau juga mengutuk tindakan UniMAP yang telah menyekat minda mahasiswa dari terus berkembang secara positif dan aktif. Menurut beliau lagi, tindakan kuno menyekat blog-blog ini langsung tidak mendatangkan faedah kepada unimap malah hanya akan menguatkan lagi para blogger ini dari terus bersuara. Beliau juga turut menyentuh soal perlembagaan yang sering dimanipulasi oleh pihak-pihak yang berkuasa tidak kira diperingkat nasional mahupun diperingkat kampus.

Sebagai akhiran, hak kesamarataan perlu diberi kepada pihak universiti & mahasiswa agar tidak wujud krisis perlembagaan di bumi kampus kita. Pihak yang berkuasa perlu memberi kuasa kepada mahasiswa untuk terus berbincang dan menyampaikan hal ehwal semasa kepada seluruh mahasiswa & bukanlah bertindak menggunakan kuasa tersebut untuk menjadi lebih berkuasa. Jika hal ini yang berlaku, maka sejarah dunia akan kembali berulang. Ingatlah, Empayar Firaun yang dikatakan sungguh berkuasa akhirnya tumpas dan jatuh dengan mudah apabila kuasa disalahgunakan.

salam mahasiswa & salam perjuangan.