Bicara Siswa


Memaparkan catatan dengan label MahasiswaKini. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label MahasiswaKini. Papar semua catatan

Jumaat, 12 Mac 2010

Mahasiswa boleh kritik kerajaan- Saifuddin





KUALA LUMPUR, 12 Mac: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah mengingatkan mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) agar sentiasa memperbetul setiap perkara yang dilihat salah bukan sahaja di universiti malah dalam pentadbiran negara.

Bercakap dalam satu forum anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Fakulti Sastera Sains Sosial Universiti Malaya malam tadi, Saifuddin berkata, ianya memerlukan keberanian dalam diri setiap mahasiswa dan mereka harus bertindak secara berjemaah.

Mahasiswa juga tegasnya boleh melontarkan kritikan kepada kerajaan dan kerajaan pula tidak seharusnya melabelkan pengkritik sebagai pembangkang.

"Mahasiswa boleh mengkritik Kerajaan, dan Kerajaan tidak boleh cop pengkritik sebagai pembangkang," katanya di hadapan lebih 150 mahasiswa yang hadir.

Menyentuh mengenai sudut pidato yang dihidupkan semula di IPT selepas 20 tahun ianya dihentikan, Saifuddin berkata, sudut pidato merupakan satu platform yang sesuai untuk mahasiswa melontarkan idea mereka melalui pengucapan awam.

Bagaimanapun, beliau yang mengakui mahasiswa mempunyai potensi untuk menggugat pentadbiran universiti mahu Hal Ehwal Pelajar (HEP) agar meletakkan halatuju yang betul dan memahami matlamat sudut pidato dihidupkan semula.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak universiti tidak mengenakan terlalu banyak peraturan terhadap penuntut yang ingin membuat pengucapan awam di sudut pidato sebaliknya memberikan kebebasan kepada mahasiswa untuk mengendalikannya.

"Apa maksud mahasiswa menggugat? Mengugat apa? Menteri? Organisasi, HEP, atau KPT?Amalan buruk, rasuah, kebejatan, kebobrokan?

"Melalui sudut pidato. mahasiswa ada potensi menggugat. Sebab itu HEP perlu ada halatuju yang betul dan faham matlamat sudut pidato. Tak perlu banyak undang-undang dan arahan dalam sudut pidato. Biarkan mahasiswa bebas mengendalikan sudut pidato.

"Mahasiswa boleh berfikir dan menentukan halatuju kampus sendiri," katanya.

Sudut pidato kembali diwujudkan di UM selepas lebih 20 tahun ia diharamkan apabila Akta kolej dan Universiti (AUKU) diperkenalkan.

Dua lagi panelis forum 'Mahasiswa Menggugat: Antara Realiti dan Fantasi' itu, Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM, Prof. Dr. Redzuan Osman dan bekas bekan fakulti berkenaan, Prof. Datuk Paduka Mohamad Abu Bakar yang juga penulis buku 'Mahasiswa Menggugat'.

Isnin, 18 Januari 2010

Pro-Mahasiswa cipta rekod kuasai MPP Universiti Malaysia Terengganu



Kumpulan Pro-Mahasiswa memecahkan tradisi penguasaan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dengan memenangi pilihan raya kampus Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang berlangsung semalam.
Dalam pemilihan yang keputusannya diumumkan lewat petang semalam, kumpulan Pro-Mahasiswa menguasai 11 daripada 12 kerusi MPP yang dipertandingkan.

Ini kali pertama kumpulan itu menguasai majoriti MPP yang menawarkan 12 kerusi melibatkan empat fakulti.

Setiap fakulti masing-masing menyediakan dua kerusi dan empat kerusi lain adalah kerusi kategori umum.

MPP UMT sepanjang empat sesi pengajian lalu dikuasai kumpulan Pro-Aspirasi.

MPT merupakan antara IPT awam baru ditubuhkan di negara ini.

Pro-Mahasiswa dan pro-Aspirasi merupakan dua ikatan tidak formal utama mewakili pelajar-pelajar IPTA dalam pilihan raya kampus IPTA. Kumpulan Pro-Aspirasi dilabelkan sebagai ikatan menyokong prinsip perjuangan politik kerajaan persekutuan manakala Pro-Mahasiswa dilihat mempunyai pendirian yang bertentangan.

Jurucakap Kumpulan Pro-Mahasiswa yang dihubungi The Malaysian Insider menyifatkan ini kali pertama pihaknya berjaya “memecahakan tradisi kemenangan kumpulan Pro-Aspirasi.”

“Kejayaan ini menunjukkan pelajar di universiti ini juga mahukan perubahan dalam kepimpinan agar mereka dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pelajar... mereka kelihatan kecewa dengan kepimpinan MPP sebelum ini,” katanya.


UMT merupakan antara IPTA yang sedang mengendalikan pilihan raya kampus.

Pengundian universiti itu dijalankan menggunakan sistem pengundian elektronik (e-undi), yang dipertikaikan oleh kumpulan Pro-Mahasiswa.

Minggu lalu kumpulan Pro-Mahasiswa, melibatkan 14 universiti awam, telah melancarkan Misi-10 iaitu sasaran menawan kampus dalam pilihan raya MPP yang berlangsung mulai bulan ini.

Sebahagian besar universiti awam tempatan akan mengadakan pemilihan MPP secara berperingkat mulai bulan ini bagi semester pengajian 2009/2010 — pendekatan yang digunakan sejak sesi pengajian lalu.

Selain UMT, universiti yang diwakili kumpulan Pro-Mahasiswa itu setakat ini ialah Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Putra Malaysia, Universiti Tenaga Malaysia, Universiti Industri Selangor, Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Perguruan Sultan Idris, Universiti Tun Hussein Onn dan Universiti Utara Malaysia.

Bagaimanapun pilihan raya kampus Universiti Utara Malaysia sudah pun berlangsung semester lalu dan dikuasai oleh kumpulan Pro-Aspirasi Mahasiswa.

Pada sesi pengajian lalu kumpulan Pro-Mahasiswa hanya menguasai dua universiti, bakinya oleh Pro-Aspirasi.

MiSi-10 merupakan gabungan barisan yang diketuai oleh Pro-Mahasiswa berganding bahu bersama badan mahasiswa yang lain iaitu SMM, Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis), Pergerakan Pemuda dan Pelajar Demokratik (Dema), Kesatuan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami), Skrikandi Gerakan Muslimat Muda (SIGMA) dan Gabungan Mahasiswa Bantah E-voting (Bantah).

Kumpulan itu juga menuntut agar pengurusan universiti membenarkan kehadiran ejen pemantauan dari luar sepanjang pemilihan kampus diadakan.

Jumaat lalu, Misi-10 juga mengemukakan empat tuntutan iaitu menyediakan ruang demokrasi yang bebas dan adil di semua kampus, mengembalikan autonomi kampus khususnya hak mahasiswa berhimpun, bersuara dan berpersatuan dan kebebasan akademik, pelaksanaan sistem e-undi dimansuhkan serta menjaga keselamatan calon dan mahasiswa dalam proses pilihan raya.





Sabtu, 2 Januari 2010

Batal Forum Terbuka;PKPIM kecam HEPA UM


Kuala Lumpur 31 Dis 12.45 p.m │Berikutan isu pembatalan ‘Forum Terbuka E-Voting  dan Masa Depan Demokrasi Kampus’, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM) mengeluarkan kenyataan mengecam  tindakan  campur tangan pihak pentadbiran Universiti Malaya dalam penganjuran Forum Terbuka tersebut.


Semalam,laman blog Um-today.com melaporkan forum tersebut terpaksa dibatalkan akibat arahan pembatalan dari pihak pentadbiran universiti Malaya.
Exco Pendidikan dan Penyelidikan PKPIM, Wan Mohamad Wasif bin Wan Mohamad mempersoalkan rasional pembatalan forum intelektual tersebut memandangkan ianya  membahaskan persoalan berkaitan perjuangan mahasiswa dan  juga turut menampilkan ahli akademik,ahli politik dan mahasiswa sendiri sebagai pembicaranya.
Wan Mohamad Wasif berkata melalui diskusi intelektual  seperti ini akan mampu melahirkan mahasiswa yang berfikiran kritis dan kreatif,mematangkan pemikiran anak muda serta mampu mewujudkan penghayatan terhadap budaya ilmu dan tradisi keintelektualan .
“Ianya tidak sepatutnya dihalang.Mahasiswa mesti diberi ruang secukupnya untuk menganjurkan diskusi intelektual dan sebarang isu yang diperselisihkan seperti isu penggunaan sistem undian elektronik atau e-voting dalam pilihanraya kampus yang melibatkan mahasiswa misalnya sewajarnya dibenarkan dibahaskan atau diperdebatkan.”
“Soal samada bersetuju atau tidak bersetuju dengan penggunaan sistem undian elektronik dalam pilihanraya kampus itu masih boleh diperbahaskan namun hak bersuara bagi mahasiswa perlu tetap diperjuangkan “Tambahnya lagi.
Menurutnya lagi, potensi dan idealisma mahasiswa perlu digilap sebaiknya  dengan penganjuran  siri wacana ilmiah dan bukannya terus membiarkan mahasiswa terus hanyut dengan program-program anti ilmu yang melumpuhkan minda, memandulkan idealisma dan membunuh aktivisma mahasiswa.
Sebelum ini, penganjur forum tersebut  iaitu  Gabungan Mahasiswa Bantah E-Voting (BANTAH)dengan kerjasama  wakil fakulti Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPMUM) dikatakan telah menerima amaran dari Hal Ehwal Pelajar (HEP) UM agar membatalkan penganjuran forum tersebut.
Selain itu,jurucakap BANTAH, Mohd Ridzuan Bin Othman turut mengesahkan bahawa Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) mengarahkan pihak APIUM agar membatalkan kelulusan tempat yang diberikan.
Walaubagaimanapun, forum tersebut dikatakan akan tetap diteruskan sekalipun bukan bertempat di Akademi Pengajian Islam tersebut -Mahasiswakini

Selasa, 29 Disember 2009

Mahasiswa mahu perkataan 'Pelajar' ditukar kepada 'Mahasiswa'

SKUDAI, 29 Dis: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) semalam dicadangkan untuk menggunakan perkataan 'mahasiswa' menggantikan 'pelajar' pada nama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di Universiti tersebut.

Cadangan tersebut dibuat Pengerusi Pro Mahasiswa UTM, Nur Azim Fahada Ahmad dalam suatu memorandum kepada Naib Canselor Datuk Prof. Ir. Dr. Zaini Ujang semalam.

Beliau berkata, cadangan tersebut sejajar dengan kenyataan Timbalan Naib Canselor Prof. Dr. Tajuddin Ninggal dalam suatu upacara rasmi Universiti sebelum ini.

Beliau juga berpendapat, penggunaan perkataan 'mahasiswa' pada pertubuhan-pertubuhan siswa Universiti sekali gus mengiktiraf kedudukan mahasiswa sebagai kelompok intelektual terpilih di peringkat Universiti.

Beliau turut memaklum inti perbincangan ProM UTM dengan pentadbiran Universiti, sebelum upacara penyerahan memorandum dilakukan.

"Dalam pertemuan tadi (Isnin), perbincangan kami lebih menumpu pada bagaimana semua pihak dapat bekerjasama dalam menjayakan Pelan Pembangunan Mahasiswa dan melestarikan ilmu di semua peringkat," dipetik dari laman rasmi ProM UTM, promahasiswautm.blogspot.com

Dalam perkembangan yang sama, lebih 50 orang mahasiswa berhimpun di lobi pejabat pentadbiran Universiti menuntut  diadakan Majlis Pengenalan Calon dan kebebasan berkempen dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) yang dijangka umum diadakan pada awal Januari depan.


Jumaat, 18 Disember 2009

Undian internet: 63 peratus tolak BTN


Sehingga jam 12 tengahari ini, 63 peratus yang menyertai undian di internet anjuran DAP berhubung isu Biro Tatanegara (BTN) yang dilancarkan semalam, mahu program itu dimansuhkan.

Mereka terdiri daripada 667 daripada 1,056 orang yang menyertai undian itu setakat ini.

Orang ramai diminta memilih salah satu daripada tiga jawapan iaitu:

1. Ini bukan isu langsung, tidak perlu sebarang perubahan.

2. Ubahsuaikan kursus-kursus yang berkontroversi.

3. Memansuhkan BTN.

Manakala peratusan bagi pihak yang mahukan kursus tersebut diubahsuai dan dikekalkan setakat ini hampir seimbang.

Sebanyak 19 peratus (202) mahukan ia diubahsuai manakala selebihnya, 18 peratus (187 orang) beranggapan ia bukan isu dan tidak memerlukan sebarang perubahan.

Undian di internet tersebut kelolaan DAP Pulau Pinang melalui laman webnya untuk membolehkan orang ramai mengemukakan pandangan mereka mengenainya. 

Semalam Setiausaha Publisisi DAP Pulau Pinang, Ng Wei Aik berkata, undian tersebut akan diteruskan sehingga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat sesuatu keputusan terhadap kelangsungan BTN.





SUMBER: 
http://www.malaysiakini.com/news/120044

Jimadie Shah Othman
Dis 17, 09
12:38pm

Seluruh pemimpin mahasiswa perlu tampil bantah BTN




Dasar BTN Yang Tersasar

Rata-ratanya umum sudah mengetahui doktrinisasi yang diamalkan UMNO melalui BTN yang sememangnya  berbaur kepentingan politik dan perkauman yang melampau. Membakar semangat kemelayuan, membunuh simpati terhadap pembangkang dan kemudian mendewa-dewakan UMNO sebagai penyelemat bangsa terus  menjadi modus operandi BTN untuk memelihara survival UMNO.
Sepanjang pengalaman menyertai program BTN di sekolah, memang cukup menyedihkan apabila melihat penceramah yang memiliki mustawa ilmu yang cukup tinggi namun sanggup menjadi balaci yang membenarkan pembohongan. Pada perkiraan saya, BTN tidak lagi memainkan peranan yang sebenar dalam memupuk semangat patriotisma namun lebih menjurus kepada perpecahan akibat sentimen permusuhan politik dan bangsa.
Pembawaan dengan cara doktrin paksa.
Boleh dikatakan setiap penjawat awam perlu menghadiri program yang diadakan secara khusus oleh BTN mahupun slot-slot kecil yang ditumpang oleh wakil BTN. Diperingkat mahasiswa pula, kebanyakan pelajar yang menganggotai Majlis Perwakilan Mahasiswa akan dibawa untuk mengikuti kursus BTN yang kebiasaannya menjadi aktiviti awal untuk setiap sesi kepimpinan.
Maka disaat inilah kerajaan Barisan Nasional melalui BTN akan sehabis mungkin cuba menyebarkan doktrin secara paksa agar setiap inci isi rakyat tunduk dan patuh pada telunjuk pemerintah. Ini menjawab persoalan mengapa wujudnya rasa takut pegawai kerajaan untuk melahirkan sokongan terhadap pembangkang bahkan wujud sentimen yang menyifatkan bahawa tanpa UMNO negara akan huru-hara.
BTN juga dilihat menyumbang kepada kemandulan idealisma mahasiswa  hasil daripada cerapan anti-pembangkang yang dikatakan tidak patriotik. Tindakan agresif mahasiswa terdahulu disifatkan sebagai pemecah belah bangsa dan tidak berlunaskan adab perlembagaan. Maka nama-nama tokoh mahasiswa seperti Anwar Ibrahim dan Hishamudin Rais dilabel sebagai agen penjajah yang cuba merosakkan kemerdekaan tanah air melalui tindakan subversif yang menggugat keamanan.  Inilah bentuk paksaan minda yang diamalkan oleh BTN bagi memastikan  pesertanya meyakini bahawa hanya kerajaan Barisan Nasional mampu menjamin kesejahteraan rakyat dan negara.
BTN membantutkan daya intelektual masyarakat
Sebagai sebuah negara yang sedang bergerak ke arah pencapaian status negara maju, pembinaan minda rakyat juga seharusnya dibenarkan untuk berkembang secara bebas selaras dengan tahap intelektual berkelas dunia. Kerajaan Barisan Nasional seharusnya meneladani kepimpinan negara-negara maju yang mampu bersifat terbuka terhadap persepsi masyarakat samada negatif mahupun positif.
Presiden Indonesia misalnya, beliau mampu mempamerkan kredibiliti sebagai seorang pemimpin berwibawa apabila beliau bukan sahaja tidak menyekat rakyatnya melakukan demonstrasi, bahkan menasihatkan agar rakyatnya menjaga keselamatan semasa berdemonstrasi. Namun keadaan sebaliknya berlaku di Malaysia apabila semangat reformasi  rakyat terus dihalang melalui kekangan kuasa dan jiwa rakyat terus tekan melalui doktrinisasi BTN.
Natijahnya, wujud sebahagian rakyat Malaysia yang terus dibelengu dengan ketakutan terhadap perubahan lantas mereka sanggup duduk terperuk dan melayan ugutan pemerintah terhadap periuk nasi mereka.
Pemimpin Mahasiswa Perlu Bangkit
Kini sudah tiba masanya untuk mahasiswa tampil dan membantu dalam memulihkan kembali integriti rakyat Malaysia yang pada pandangan saya amat jauh ketinggalan berbanding rakyat negara maju yang lain. Saya tidak memaksudkan rakyat Malaysia secara kolektif, namun ada sebilangan besar yang telah dijangkiti sindrom ketakutan dan konflik kepercayaan akibat saduran BTN yang melampaui hak kebebasan minda untuk berfikir dan memilih. Maka rakyat sedang menanti satu suara yang mampu menggegarkan suasana kondusif pemerintah agar mereka tidak menyisih pandang tuntutan rakyat ini.
BTN sudah tidak relevan dengan zaman kebebasan ilmu pengetahuan serta tahap pemikiran masyarakat yang semakin berkembang maju. Oleh itu BTN perlu dirombak atau dimansuhkan secara total. Maka saya menyeru setiap pemimpin mahasiswa untuk tampil dan menyuarakan pendirian bahawa mahasiswa menuntut agar kerajaan mengkaji semula perlaksanaan BTN melalui rombakan diperingkat dasar mahupun pemansuhan BTN secara total. Mahasiswa menyokong sebarang usaha untuk membina semangat patriotisma yang tinggi, namun mahasiswa juga meyakini bahawa BTN bukan jalan tunggal untuk usaha tersebut.
——–
*Penulis ialah Pengerusi Kelab Bahasa Dan Sastera (BAHTERA) merangkap aktivis Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

  • Oleh: Ahmad Syukri Bin Che Ab Razab*

Ahad, 13 Disember 2009

Refleksi Mahasiswa Islam dalam mendepani cabaran semasa



Apabila disebut dunia mahasiswa kita tidak dapat lari daripada wajah-wajah yang majoritinya terdiri daripada golongan muda yang berada di institut pengajian tinggi sama ada di dalam atau luar negara.



Golongan muda yang mendapat jolokan ‘the young angry man’ inilah, yang disebutkan di dalam banyak ayat al-Quran dan hadith Nabi s.a.w yang menjadi tunjang kepada peradaban sesuatu ummah.



Persoalannya di sini, apakah yang perlu menjadi prioriti kepada potret perjuangan mahasiswa dalam cerminan dekad ini?.



Mahasiswa yang berada di menara gading menggalas seinfiniti harapan di pundaknya, harapan kepimpinan negara dan masyarakat. Bermula sejak dekad 60-an sehingga sekarang, suara mahasiswa di dengar bukan sahaja di kalangan warga kampus malahan sehingga menggegar di pucuk pimpinan negara.



Namun suasana kampus hari ini sampai ke tahap ‘menopause,’ kenyataan pimpinan kampus yang tidak bergigi malah “kemandoman” aktivisme pelajar juga menjadi faktor penyumbang kepada kelesuan intelektual.



Tidak dinafikan ada yang sangat dan terlalu bersemangat di dalam memperjuangkan suara mahasiswa sehingga terdengar teriakan keinginan “perubahan-perubahan segera,” namun saya ingin membawakan satu kisah teladan mengenai anak lelaki Umar Abdul Aziz r.a, khalifah kelima, iaitu Abdul Malik.



Sebagai seorang anak muda yang bersemangat dan tegas, aktif dan bertaqwa telah melahirkan rasa yang kurang senang tentang kelambatan bapanya bertindak dalam membersihkan saki-baki kezaliman yang ada supaya penghidupan di zaman itu dapat dikembalikan seperti mana di zaman awal khulafa’ Al-Rasyidin.



Bapa beliau menjawab,”Wahai anakku, janganlah kamu gopoh kerana Allah Taal telah mencela tentang arak dalam al-quran sebanyak dua kali, dan arak hanya diharamkan pada kali ketiga. Sesungguhnya aku bimbang sekiranya aku melaksanakan kebenaran ke atas manusia secara sekaligus, maka mereka juga akan meninggalkannya secara sekaligus, maka tindakan yang demikian itu akan menimbulkan fitnah.”



Satu falsafah yang cantik iaitu jiwa pemuda yang dipandu dengan mata hati yang celik membawa kepada kesejahteraan masyarakat sebaliknya mata hati yang buta boleh membawa kepada kemusnahan sekaligus.



Pemerkasaan pengetahuan dan da’wah perlu menjadi intipati budaya di kalangan intelektual muda di kampus kerana cabaran-cabaran di luar kampus tidak menjanjikan permaidani merah kepada kita.



Pelbagai isu dalam soal pendidikan, sosial, politik, dan kemasyarakatan yang berlaku pantas berubah setiap hari perlu dihadap dan dihadam oleh semua mahasiswa Islam. Tidak guna hanya meneliti dan menghafal teori-teori di dalam buku-buku ilmiah tanpa melihat kegunaanya di dalam masyarakat.



Masalah gejala sosial, permasalahan liberalisasi agama, turun-naik ekonomi, dan polisi-polisi semasa yang diamalkan oleh kerajaan sekarang mungkin hanya dihafal dan dicurahkan sebagai idea untuk jawapan di dalam dewan peperiksaan namun mahasiswa Islam perlu mempunyai motivasi yang lebih besar untuk menggunakannya sebagai solusi-solusi kepada permasalahan semasa masyarakat.



Akhir kalam, mahasiswa Islam yang mempunyai daya fikir dan zikir yang mantap melihat keperluan wawasan akhirat sebagai kiblat di hadapannya yang akhirnya akan melahirkan bukan sahaja mahasiswa yang berperanan sebagai dai’e, malahan sebagai golongan ulul-albab (golongan yang berfikir) dengan syarat, diri mereka mempunyai paduan di antara ilmu ‘aqli (sains) dan naqli (al-Quran dan Sunnah) yang diteguhkan dengan ketaqwaan di dalam diri.



Firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Hasyr ayat ke-18, maksudnya,

“ Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.”



--------------

Daing Muhamad Fadzil Abd Latif kini memegang jawatan Exco Latihan dan Penyelidikan, Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia USIM. Pandangan dan idea mahasiswa Tahun Dua Pengajian Sains Aktuari, Fakulti Sains dan Teknologi ini boleh diikuti di laman blog peribadi beliau http://daingfadzil.blogspot.com.



KEJAYAAN GMS KUIS

PENCAPAIAN TERKINI HASIL DARIPADA PERJUANGAN MAHASISWA KUIS

Melalui mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) yang telah diadakan pada 26 November yang lalu, Kerajaan Negeri Selangor melalui arahan YAB Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Bin Ibrahim telah menetapkan keputusan berikut:

1. PIHAK KERAJAAN NEGERI TELAH MENGARAHKAN AGAR PIHAK PENGURUSAN KUIS MELAKSANAKAN KAJIAN SEMULA TERHADAP STRUKTUR YURAN KUIS DAN PERLU DIBENTANGKAN DALAM MESYUARAT KERAJAAN NEGERI YANG AKAN DATANG.
Hal ini akan menyebabkan segala pertikaian mengenai struktur yuran KUIS khususnya bahagian yuran pengajian dan penginapan (B.O.T) berkemungkinan besar dapat diselesaikan.

2. YAB TAN SRI DATO’ ABDUL KHALID BIN IBRAHIM TELAH MENYATAKAN BAHAWA KERAJAAN NEGERI SELANGOR TELAH BERSETUJU UNTUK MENYALURKAN BANTUAN KEWANGAN SEBANYAK RM 5 JUTA SETIAP TAHUN KHUSUS UNTUK MENAMPUNG BEBAN KEWANGAN MAHASISWA KUIS.
Peruntukan ini sekiranya disalurkan sebagai suntikan dalam struktur yuran KUIS, setiap pelajar KUIS boleh menikmati potongan yuran sebanyak RM 300 seorang untuk setiap semester. Hal ini bermakna kurangan yuran sebanyak 8.5 peratus boleh diberikan kepada mahasiswa Diploma dan 5 peratus untuk mahasiswa ijazah.
Maklumat tambahan : Turut dipanggil dalam mesyuarat MTES ialah pihak pengurusan tertinggi KUIS


BERIKUT ADALAH FASA TERAKHIR GERAKAN GMS YANG AKAN DILAKSANAKAN DALAM MASA TERDEKAT.


1. MAJLIS SERAHAN BANTUAN KEPADA MAHASISWA KUIS YANG KURANG BERKEMAMPUAN.
Bantuan ini akan disalurkan kepada mahasiswa berdasarkan hasil kajian dan seliaan yang telah dilakukan oleh pihak GMS sebelum ini.

2. PERTEMUAN KALI KEDUA DENGAN YAB TAN SRI DATO’ ABDUL KHALID IBRAHIM, MENTERI BESAR SELANGOR.
Pertemuan kali ini memfokuskan mengenai respon terkini Kerajaan Negeri Selangor setelah menerima serahan memorandum mahasiswa KUIS .


BERIKUT ADALAH TINDAKAN TERKINI YANG TELAH DILAKSANAKAN OLEH GERAKAN MAHASISWA SEDAR


ISNIN, 23 NOVEMBER 2009.PENYERAHAN MEMORANDUM KEPADA YAB TAN SRI DATO’ ABDUL KHALID BIN IBRAHIM DI PEJABAT SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI.
Walaubagaimanapun, memorandum tersebut telah diterima oleh wakil Dato’ MB memandangkan beliau mempunyai urusan luar.

KHAMIS, 26 NOVEMBER 2009. EMPAT ORANG WAKIL GERAKAN MAHASISWA SEDAR TELAH DIPANGGIL KE PARLIMEN UNTUK BERTEMU DENGAN YB ZURAIDA KAMARUDDIN, AHLI PARLIMEN AMPANG.
Dalam pertemuan tersebut, YB Zuraida menyatakan kesudiannya untuk membantu menyelesaikan kemelut yuran KUIS atas kapasiti seorang ahli parlimen.

2009 dan jatuh bangun gerakan mahasiswa Malaysia


Oleh: Mohd Aizat Salleh*
Sewajarnya, untuk membandingkan aktivisme gerakan mahasiswa dahulu, dengan gerakan mahasiswa hari ini adalah amat tidak releven. Seumpama meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya.
Mahasiswa dahulu diambil kira kehebatannya melalui gerakan-gerakan demonstrasi dan siri-siri desakan yang kebanyakannya menuju kepada pihak pemerintah. Sebagai contoh dalam tahun 1974, mahasiswa menggerakkan demonstrasi 5,000 rakyat di Kelab Sultan Selangor mendesak kerajaan mengambil tindakan segera terhadap masalah Akemiskinan di Baling.
Lebih dari itu pada tahun yang sama di Universiti Malaya, mahasiswa yang diketuai presiden PMUM Kamaruzzaman Yaakub, membina sejarah apabila mengambil alih pentadbiran UM hanya kerana isu kenaikan harga makanan.
Nampak ketika itu, mahasiswa begitu konsisten bersifat radikal dan desakan dan ia diterima sebagai satu perjuangan di mata rakyat.
2009 dan gerakan mahasiswa
mpmum
Tempoh setahun pasca Pilihan Raya Umum ke-12, membuka dimensi baru gerakan mahasiswa dalam membentuk landskapAA negara Malaysia. Terkesan dengan angin perubahan yang melanda rakyat, lalu memberi impak kepada kemenangan kumpulan Pro Mahasiswa di kampus Universiti Malaya setelah hampir enam tahun dikuasai kumpulan Pro Kerajaan.
Bermula kemenangan itu, mahasiswa mula membuka satu lapangan baru dalam mendepani isu-isu serta mencorak gerakan. Barisan Bertindak Mahasiswa Nasional (BBMN) telah diwajahkan kepada Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN). Perjuangan bercorak negosiasi profesional membawa MPMN menjuarai isu-isu sosial nasional negara.
Permulaan gerakan, transformasi Malaysia
Kegagalan kerajaan Malaysia yang dipimpin Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak menangani kebajikan rakyat, kemelesetan ekonomi, serta hubungan kaum dan agama, membawa Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) membentuk satu ‘Deklarasi Mahasiswa’ demi menyelamatkan generasi dan Malaysia.
Satu kongres telah diadakan di Shah Alam yang dihadiri front-front mahasiswa seluruh Malaysia bagi membincangkan domain-domain penting ke arah pembentukan negara Malaysia yang lebih baik. Antaranya aspek hubungan kaum, kedudukan agama, perlembagaan dan demokrasi, undang-undang, pendidikan, pembangunan ekonomi dan hak-hak asasi rakyat Malaysia.
Perjuangan rakyat antarabangsa
Pertengahan bulan Julai, mahasiswa sekali lagi turun di jalanan apabila membantah perlakuan kejam pembunuhan beramai-ramai di masjid wilayah Selatan Thailand. Hampir 1000 mahasiswa berarak bermula dari Masjid As-Syakirin ke kedutaan Thailand dan diakhiri dengan penyerahan memorandum bantahan.
Beberapa rakan-rakan aktivis yang ditahan atas provokasi polis namun dilepaskan selepas 6 jam dalam tahanan.
Mahasiswa membela rakyat
Mahasiswa sentiasa menjadi urat nadi kepada kesengsaraan rakyat yang ditindas dan dizalimi. Seringkali suara-suara rakyat digemakan mahasiswa melalui perjuangan pembelaan kelompok kecil dan marhaen.
Isu kudeta negeri Perak pada bulan Februari menjadi perhatian mahasiswa apabila GAMIS dan SMM bertindak memobilasi mahasiswa dalam perhimpunan rakyat Perak di Masjud Ubudiah, Kuala Kangsar, Perak.
Dalam masa yang sama di Istana Negara, kumpulan-kumpulan mahasiswa yang prihatin dan simpati dengan perjuangan rakyat Perak telah menghantar satu memorandum bantahan kudeta kepada Yang Dipertuan Agung. Di dalam tuntutan tersebut, mahasiswa mendesak agar dibubarkan segera DUN Perak bagi memberi mandat kepada rakyat Perak memilih pemimpin.
Selain daripada itu, isu kekurangan bekalan air kepada masyarakat Labuan pada awal Disember, telah sekali lagi mendesak mahasiswa yang dianggotai Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Indipenden (KAMI) dan MPMN bertemu dengan Perdana Menteri di Putrajaya bagi membincangkan penyelesaiannya. Pihak kerajaan akhirnya bersetuju menimbangkan tuntutan mahasiswa di dalam isu tersebut.
Membela hak mahasiswa
Disamping menjadi suara penghubung antara rakyat kepada pemerintah, gerakan mahasiswa turut tidak terlepas dalam memperjuangkan isu yang menimpa hak-hak mahasiswa.
Umpamanya di dalam isu kenaikan harga yuran yang terlampau tinggi dan membebankan di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), telah mendesak tertubuhnya gerakan mahasiswa sedar (GMS) yang menuntut agar pentadbiran KUIS mengkaji dan menurunkan yuran segera. Perjuangan ini mendapat perhatian Menteri Besar Selangor dan akhirnya membuat keputusan memberikan peruntukan kebajikan khas kepada mahasiswa.
Desakan demi desakan keatas undang-undang yang cuba menyekat aktivisme serta membunuh idealisme mahasiswa terus giat dilakukan. Apabila kerajaan bersetuju untuk menggunakan sistem E-Undi di dalam pilihan raya kampus (PRK) , mahasiswa seluruh universiti  bangkit dan menubuhkan satu gerakan yang dinamakan Gabungan Mahasiswa Membantah E-Voting (BANTAH), dengan bermatlamat menyekat berlakunya pencabulan demokrasi kampus melalui sistem ini.
Dan pada bulan November, gerakan ini berjaya menyerahkan memorandum bantahan dan tuntutan mahasiswa kepada menteri dan timbalan menteri Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), setelah satu himpunan bantahan E-Voting dilancarkan di UPM.
2009 dan gelombang baru mahasiswa
Tahun 2009 menyaksikan satu gelombang bentuk baru kepada gerakan mahasiswa telah terjadi. Seakan mahu mengembalikan kegemilangan gerakan mahasiswa era 80-an namun dalam dimensi baru yang lebih terkehadapan.
Status check and balance kepada kerajaan pemerintah, mahupun mana-mana pihak masih lagi menjadi prinsip utama gerakan mahasiswa yang tegar untuk digugah walau zaman demi zaman telah berlalu. Mahasiswa akan kekal menjadi kelompok watch dog, menyuarakan pandangan tanpa dikongkong, menjadi benteng pertama rakyat dan bersedia menggantikan kepimpinan seandainya ia memerlukan.
Apa yang pasti, sekatan dan tekanan kepada mahasiswa pasti akan berlangsung tanpa henti. Namun, ini sekali-kali bukan menjadi tunggul yang menghalang dari gerakan itu mati atau rebah sekalipun semua pemimpinnya dibunuh.
Benar seperti ungkapan seorang tokoh aktivis mahasiswa, “Kerajaan atau mana-mana pihak boleh memenjarakan mahasiswa, namun mereka tidak boleh menghalang kebangkitan mahasiswa!”.
————
*Aizat Salleh ialah exco Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) dan suka mengajak rakan aktivis kepada revolusi pemikiran vis-à-vis ‘Liberal Syariatik’. Malah dengan secawan kopi, beliau mudah berkongsi idea dan pandangan. Kini beliau menerajui Gabungan Mahasiswa Bantah E-undi (BANTAH)
RUJUKAN:  MAHASISWA KINI 






Rabu, 25 November 2009

Aktivis mahasiswa bantah penahanan, dakwa tidak sah


kessaufi2
Kuala Lumpur 23 Nov 05:21a.m │ Aktivis mahasiswa Universiti Malaya semalam membantah penahanan Muhammad Saufi Jelani berhubung siasatan kes menconteng perkataan “bini puaka” di Dewan Kuliah Utama Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.
Saufi ditahan sebaik sahaja selesai menjalani peperiksaan akhir semesternya Khamis lepas.
Gabungan mahasiswa Universiti Malaya itu disertai oleh beberapa persatuan antaranya Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) dan Komuniti Mahasiswa Prihatin (KMP).
Dalam sidang media yang dibuat di hadapan bangunan peperiksaan UM itu pagi semalam, wakil PMIUM, Mohd Sabri mendakwa, penahanan ahli PMIUM tersebut sebagai tidak sah berikutan menyabitkannya dengan isu ‘kepala babi’ yang diletakkan di surau Akademi Pengajian Islam pada pilihan raya kampus lepas.
“Kita dimaklumkan yang dia (Saufi) ditahan bagi membantu siasatan kes contengan dinding di API, namun (sebaliknya) beliau ditahan kerana isu kepala babi” beliau berkata.
“Sedangkan isu itu telah pun ditutup dan kita (mahasiswa) langsung tidak terlibat dalam perkara tersebut” tambahnya lagi.
Pengerusi Komuniti Mahasiswa Prihatin (KMP), Mohd Shahid mengecam tindakan pihak polis yang dianggap tidak rasional di dalam menjalankan tugas.
Beliau mengambil contoh tindakan polis yang tidak profesional menahan mahasiswa, dalam keadaan ketika itu sedang berlangsungnya peperiksaan akhir semester. Penahanan tersebut tegasnya lagi mengganggu emosi dan tumpuan Saufi dalam menjalani peperiksaannya.
Gabungan mahasiswa itu juga mendesak agar pihak polis dan kerajaan memberhentikan segera penindasan terhadap mahasiswa melalui tangkapan serta akta-akta yang ‘kejam’.
“AUKU misalnya, ia akta yang menyekat hak mahasiswa daripada bersuara dan menyatakan pandangan” ujar Shahid.
“Sebab itu tidak mustahil kesannya, mahasiswa bertindak radikal kerana hak mereka diganggu” kata beliau lagi sambil merujuk isu yang berlaku baru-baru ini.
Sidang media itu turut dihadiri oleh wakil PMIUM Izzuddin Bin Helmi, ahli jawatankuasa Komuniti Mahasiswa Prihatin (KMP) Muhammad Taufiq dan Mohd Amiruddin serta wakil MPMUM Mohd Aizat Salleh.
Sidang media di hadapan Bangunan Peperiksaan (BP) Universiti Malaya berkenaan adalah bertujuan memperingati insiden penangkapan Saufi yang didakwa mereka sebagai  ‘zalim’.-mahasiswakini

USIM anjur Konvensyen Pendakwah Muda


Nilai, 20 Nov Buat julung-julung kalinya Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menjadi tuan rumah dalam penganjuran Konvensyen Pendakwah Muda Peringkat Kebangsaan (wehdah09) kali kedua pada 23 hingga 25 November ini.


Konvensyen selama tiga hari itu dianjurkan oleh Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi. Konvensyen tersebut bakal menghimpunkan siswa-siswi daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), politeknik serta Kolej Komuniti dari seluruh negara.


Antara objektif konvensyen itu diadakan adalah bagi menyatukan generasi muda untuk bertukar-tukar pandangan dan menyalurkan resolusi bernas yang diharap dapat membantu usaha meninggikan syiar Islam di negara ini.


Ia juga membawa misi mentransformasikan pendekatan dalam gerakan dakwah di kalangan generasi muda agar bersesuaian dengan keadaan semasa dan kumpulan sasar, serta bertindak secara kolektif dalam menangani isu-isu nasional mahupun antarabangsa.


Kenyataan itu disuarakan oleh jurucakap konvensyen, Nur Saadah Bt Rozali melalui kiriman emel kepada Usimkini pagi tadi. Konvensyen itu antara lain bertujuan mengukuhkan jaringan hubungan di kalangan organisasi dakwah dan kumpulan intelektual muda dari seluruh negara.


Menurutnya lagi, suatu mesyuarat khas melibatkan wakil mahasiswa dari setiap kampus turut diadakan bagi membincangkan pelbagai isu seterusnya menetapkan resolusi tindakan yang akan dipersetujui bersama. Selain itu, pengisian seperti wacana, bengkel dan forum akan berlangsung di beberapa tempat dalam kampus USIM Nilai.

Konvensyen kali ini membawa sedikit kelainan dengan menampilkan para pembentang terkenal seperti Ustaz Pahrol Mohd Juoi, Bro Shakirit dan pratonton bagi slot ESQ training.


Majlis perasmian penutup akan disempurnakan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Khalid Nordin dan Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mashitah Ibrahim.


Maklumat lanjut berkenaan Konvensyen Pendakwah Muda itu boleh diikuti di lamanhttp://www.kpmk09.blogspot.com/. - UsimKini

Lagi isu yuran KUIS: Pro-M Nasional ‘nasihat’ Presiden berundur


kuis 1

Untitled-1 copyKemaskini 20 Nov 2.00 a.m : Berikutan isu kenaikan yuran Kolej Universiti Islam Selangor(KUIS)  yang belum menemui jalan penyelesaian walaupun setelah didesak oleh Gerakan Mahasiswa Sedar(GMS),Pro Mahasiswa Nasional pula hari ini menasihatkan agar Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIS meletak jawatan “secara hormat”.
Menurut seorang mahasiswa kolej berkenaan yang enggan namanya didedahkan,Presiden  MPM KUIS, Nasrul Izad Mohd Isa dikatakan masih lagi membisu terhadap isu tersebut selain dilihat seakan tidak perihatin terhadap nasib yang di alami oleh mahasiswa kuis.
3733179823_460be86944_sJusteru itu,Pengerusi Pro-M nasional,Mohd Syafie Hashim menasihatkan nasrul Izad agar berundur secara hormat sekiranya masih la bersikap demikian.
‘Pro-Mahasiswa amat kecewa dengan kenyataan beliau selaku presiden MPM KUIS di dalam akhbar yang menyatakan beliau tidak tahu menahu tentang isu yang berlaku.”
Syafie menyatakan perkara demikian dengan perasaan kecewa sambil menunjukkan kenyataan presiden tersebut dalam keratan akhbar Berita Harian bertarikh 7 November.
‘Selaku pimpinan utama mahasiswa yang dilantik oleh mahasiswa melalui pilihanraya kampus,seharusnya izadbeliau menjadi  pembela nasib mahasiswa yang tertindas baik dalam apa-apa masalah sekalipun bukan sebaliknya membisu, malahan mengutuk tindakan mahasiswa yang bersuara.’ Tambahnya lagi.
Selain  meminta agar MPM Kuis melihat tindakan GMS itu daripada sudut yang positif  dan mencari punca dan faktor sebenar mereka melakukan tindakan sedemikian,beliau mencadangkan agar inisiatif lain perlu dilakukan secepat mungkin bagi menyelesaikan isu ini.
‘sekurang-kurangnya buatlah dialog terbuka dengan mahasiswa yang tertindas,bukan membisu. Kita mahu mahasiswa yang lahir daripada menara gading ini adalah individu yang berani, prihatin ,bijak , dan mempunyai jati diri yang kukuh . Tiada guna lansung sekiranya mahasiswa yang lahir dari kampus ini hannya menjadi “tukang angguk”  kepada sesiapa yang mahu “menjerut” leher mahasiswa.’katanya mengakhiri sidang media petang tadi.
Sebelum ini beberapa hari selepas demonstrasi yang dianjurkan oleh GMS,media dimaklumkan bahawasanya terdapat mantan presiden sebelum ini antaranya Fahrur Rozi Jalaluddin yang menawarkan diri untuk menjadi pihak ketiga bagi menyelesaikan  isu ini.
Beliau dikatakan telah menghubungi Exco Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor, YB Dr. Halimah Ali untuk mengadakan perbincangan.
Walaubagaimanapun,sehingga hari ini masih belum ada apa-apa perkembangan dan  tindakan serius dilakukan dari Persatuan Induk mahasiswa kolej tersebut. -Mahasiswakini