Bicara Siswa
Sabtu, 21 Ogos 2010
DISKUSI ASPIRASI
TARIKH: 22 OGOS 2010
HARI:AHAD
MASA: 9.00 PAGI-12.30 TGH HARI
TEMPAT: DEWAN SERI MELATI PERBADANAN PUTRAJAYA
AHLI PANEL: 1.YB DATUK MUKHRIZ MAHATHIR (TIMBALAN MENTERI)
2.MOHD SAHA ABDULLAH (PRESIDEN ASPIRASI)
3.AHMAD WAFI (PENGERUSI JEMAAH MPP)
Khamis, 12 Ogos 2010
Kementerian atur perbincangan minta pandangan pelbagai pihak
MPP akur larangan mahasiswa berpolitik
Pelajar IPT tetap dilarang berpolitik
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sebelum ini sudah memadai kerana ia memberi lebih kebebasan kepada mahasiswa untuk bersuara di kampus.
Kementerian Pengajian Tinggi kelmarin mahu mempertimbang untuk membenarkan mahasiswa di IPT awam membabitkan diri dalam parti politik.
Muhyiddin berkata, kebenaran berpolitik di IPT tidak boleh disamakan seperti kebenaran guru berpolitik di sekolah kerana murid sekolah belum boleh terbabit dalam politik berasaskan faktor usia yang masih mentah, sekali gus tidak memberi kesan kepada golongan itu.
Kalau di kampus sasarannya kepada politik pastinya akan membawa kesan yang lain. Saya tahu di negara maju ada juga yang menyekat mahasiswa mereka terbabit (politik) kerana mereka mahu mahasiswa memberi tumpuan kepada akademik, katanya.
Sementara itu, katanya, pembangkang perlu memohon ampun kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim yang murka dengan tindakan sebuah parti politik menggunakan gambar baginda menerusi poster pada majlis ceramah di Batu Pahat, Johor, baru-baru ini.
Katanya, pembangkang harus memahami kedudukan Raja sebagai payung negara yang tidak sepatutnya dieksploitasi sehingga boleh menjatuhkan maruah dan martabat Raja
Selasa, 10 Ogos 2010
Wajarkah Mahasiswa menjadi ahli parti politik?
Mahasiswa dan mahasiswi pada hari ini telah diberi peluang untuk melibatkan diri dalam kancah politik di universiti masing-masing.Politik yang dimaksudkan ialah politik kampus yang meliputi segala perkara yang berkaitan dengan politik dalam kampus.Pilihan Raya Kampus (PRK) adalah satu platform yang digunakan oleh mahaiswa/I dalam menceburkan diri mereka dalam dunia politik kampus.Platform ini adalah sesuai digunakan oleh mahasiswa/i dalam membawa idealisme dan agenda perjuangan masing-masing.
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) ialah salah satu platform yang telah diwujudkan oleh kerajaan dalam memastikan suara mahasiswa berkaitan dengan isu-isu nasional didengari oleh pihak kerajaan.Selain itu kita juga mempunyai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di setiap universiti yang berfungsi memperjuangkan kebajikan mahasiswa dan mahasiswi universiti masing-masing.
Jadi tidak seharusnya timbul persoalan yang mahasiswa pada hari ini tidak mempunyai platform untuk menyuarakan pandangan atau pendapat mereka. Jika mahasiswa dan mahasiswi menyertai sesebuah parti politik, adakah mereka akan bebas untuk mengkritik kepimpinan parti tersebut?Silap-silap mereka akan digantung keahlian kerana lantang mengkritik kepimpinan parti.
Mahasiswa dan mahasiswi juga tidak akan mempunyai idealisme tersendiri apabila mereka menyertai parti-parti politik kerana kongkongan dasar parti tersebut.Hal ini kerana dasar partilah yang akan membunuh idealisme mahasiswa tersebut.Perkara paling penting yang perlu diingatkan adalah mahsiswa/I adalah golongan yang masih belum menamatkan pengajian mereka.
Hal ini menyebabkan saya yakin dan percaya bahawa apabila mahasiswa/I dibenarkan untuk menyertai parti-parti politik, pengajian mereka di universiti juga akan terganggu dek kerana politik luar ini.
Kemunculan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) yang sebenarnya melindungi mahasiswa daripada cengkaman parti-parti politik di luar kampus. AUKU yang menyebabkan mahasiswa dan mahasiswi pada hari ini mempunyai idealisme tersendiri dan juga kita dapat membentuk kepimpinan mahasiswa di kampus mengikut acuan tersendiri tanpa kongkongan parti-parti politik di luar kampus.AUKU juga menjadikan kampus kita selamat dan aman daripada ahli-ahli politik yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memperkudakan mahasiswa dan mahasiswi.
Kepada orang dewasa yang berada di luar kampus yang telah berjaya dalam pengajian di universiti dan kehidupan mereka,janganlah cuba mencadangkan idea-idea yang bukan mereka akan tanggung kesannya tapi kami dan generasi akan datang yang akan menanggung kesan baik buruknya. Biarkan kami cemerlang dalam pengajian kami masing-masing dahulu kerana itu adalah harapan setiap ibubapa.
Selepas tamat pengajian, InsyaAllah kami sebagai mahasiswa akan menilai dan memilih parti politik manakah yang akan kami sokong .Tapi berikan kami ruang dan peluang untuk menyiapkan diri kami dalam kampus tanpa gangguan dari luar kampus yang mungkin boleh merosakkan masa depan kami.
Ahmad Wafi Bin Sahedan
Jurucakap
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK)
Sidang 2009/2010
Merangkap
Yang Dipertua
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP)
Universiti Sains Malaysia (USM)
Sidang 2009/2010
Khamis, 29 Julai 2010
Guru dibenarkan berpolitik,Pensyarah bila lagi?
Pensyarah turut mohon berpolitik
Oleh Syuhada Choo Abdullah
2010/07/29
KUALA LUMPUR: Majlis Persatuan Pegawai Akademik Malaysia (MAAC) meminta kerajaan memperluaskan kebenaran untuk bertanding, dilantik dan memegang jawatan dalam parti politik, kepada kira-kira 20,000 pegawai akademik di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara. Presidennya, Prof Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal, berkata pegawai akademik
Ketika ini, pegawai akademik di IPTA tidak dibenarkan untuk bergiat aktif dengan memegang sebarang jawatan dalam parti politik tetapi secara asasnya, boleh dikatakan ramai yang berminat.
Malah, sudah terbukti ramai wakil rakyat, termasuk dalam Jemaah Menteri, adalah bekas pensyarah. Ini menunjukkan pensyarah adalah role model di universiti dan pada masa sama, mampu menjadi pemimpin pelapis yang berkualiti dalam arena politik negara.
Pensyarah bukan saja berilmu pengetahuan tinggi tetapi juga memiliki banyak maklumat awal kerana terbabit dalam pelbagai penyelidikan penting melalui pusat kecemerlangan di universiti, katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Akhbar semalam melaporkan selepas 17 tahun dilarang aktif dalam politik, pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah Gred DG41 hingga DG48, dibenarkan semula bertanding, dilantik atau memegang sebarang jawatan dalam parti politik, berkuatkuasa 1 Ogos ini. Keputusan itu diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, kelmarin, membabitkan 140,000 guru.
Noor Aziah mengalu-alukan keputusan kerajaan membenarkan pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah Gred DG41 hingga DG48, bertanding, dilantik atau memegang sebarang jawatan dalam parti politik, berkuatkuasa 1 Ogos ini dengan menyifatkannya sebagai permulaan kepada perkembangan berpolitik yang semakin terbuka di negara ini, lebih-lebih lagi guru memang mempunyai kedudukan yang istimewa dan dihormati masyarakat sejak dulu.
Sementara itu, Ahli Majlis Eksekutif MAAC yang juga Presiden Persatuan Pegawai Akademik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof Madya Dr Raja Roslan Raja Abd Rahman, berkata pensyarah berupaya menjadi ahli politik yang berjaya kerana mempunyai hubungan langsung yang rapat dengan masyarakat peringkat akar umbi.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pensyarahturutmohonberpolitik/Article
"Tahniah kepada Dato' Seri Najib,Perdana Menteri Malaysia yang telah membenarkan para guru terlibat dalam arena politik.Ini adalah satu keterbukaan beliau dalam memberi ruang kebebasan kepada rakyat jelata.
Maka timbul satu persoalan,bilakah pula warga IPT,para pensyarah dan pegawai IPT akan diberi kebenaran yang sama.Dengan ikon-ikon yang ramai dari kalangan pensyarah IPT,maka amat sesuai selepas ini mereka dibenarkan turut sama dalam arena politik dalam mengukuhkan pengurusan politik dan pentadbiran tanah air.
Contoh yang tidak lari jauh,melihat kepada kepimpinan UniMAP yang begitu kemas dan menjadi contoh ikutan mahasiswa UniMAP sendiri.Dato' NC sendirilah adalah contoh terbaik seorang pemimpin universiti yang sangat cekap dan mengambil berat kepada seluruh warga kampus.
Bertuahlah para mahasiswa/i UniMAP mendapat seorang ayahanda dan staf universiti di antara yang terbaik.Syabas UniMAP"
Selasa, 3 Mac 2009
Perak Kian Celaru
- Pintu utama Bangunan Perak Darul Ridzuan ditutup
- Setiausaha DUN digantung serta-merta
IPOH: Satu demi satu kejutan berlaku ekoran krisis perlembagaan di Perak terbaru pintu utama Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini yang menempatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) ditutup hari ini, manakala Setiausaha DUN, Abdullah Antong Sabri digantung perkhidmatannya berkuat kuasa serta-merta.
Arahan penutupan itu dikeluarkan oleh Bahagian Khidmat Pengurusan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, dipercayai bagi menghalang sidang tergempar DUN yang dipanggil oleh Speaker DUN dari Pakatan Rakyat, V Sivakumar.
Notis dua perenggan ditampal di sekitar bangunan yang turut menempatkan pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri itu, turut mengarahkan kakitangan semua agensi di situ membatalkan temu janji mereka hari ini.
Sivakumar pula bertindak menggantung tugas Abdullah Antong kerana didakwa gagal menjalankan tanggungjawab secara saksama dan melantik Mohd Misbahul Munir Masduki, Setiausaha Politik bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, sebagai Setiausaha DUN yang baru.
Tindakan itu diambil berikutan kenyataan Abdullah Antong kelmarin bahawa sidang tergempar DUN yang dipanggil Sivakumar tidak sah dan tidak boleh diadakan kerana tidak mendapat perkenan Sultan Perak berdasarkan Perintah Tetap DUN Perak serta Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh dari DAP itu, juga memberi amaran bahawa mana-mana pihak termasuk Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah, boleh dipenjara sehingga tujuh tahun jika cuba menghalang sidang tergempar DUN itu.
Sivakumar berkata, Zulkifli sepatutnya peka dengan Seksyen 124 Kanun Keseksaan yang menyatakan perbuatan menghalang sidang DUN adalah satu kesalahan.
Amaran itu dibuat berikutan kenyataan Zulkifli petang semalam yang mengingatkan orang ramai supaya tidak berkumpul di hadapan Bangunan Perak Darul Ridzuan kerana sidang tergempar DUN itu tidak sah seperti dimaklumkan Abdullah.
"Pihak lawan sekarang menggunakan taktik kotor untuk menghalang DUN daripada bersidang seperti menutup DUN dan menghalang Adun daripada memasuki premis," kata Sivakumar pada sidang akhbar yang turut dihadiri Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham.
Di JAKARTA, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mempersoalkan tindakan Sivakumar memanggil sidang tergempar DUN tanpa terlebih dulu menunggu keputusan mahkamah berhubung saman Mohamad Nizar yang mencabar pelantikan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar.
"Saya tidak faham mengapa beliau sanggup melakukan sesuatu yang menimbulkan kontroversi. Ketika ini, banyak masalah lain yang perlu dihadapi. Beliau perlu tunggu hingga mahkamah membuat keputusan... itu adalah perkara terbaik untuk dilaksanakan," katanya.
Perdana Menteri berkata, Sivakumar juga perlu bersabar dan bukan menggantung Zambry serta enam Ahli Exconya yang pelantikan mereka mendapat perkenan Sultan Azlan Shah.
Mengenai kemungkinan konflik di Perak selesai jika pilihan raya negeri diadakan, beliau berkata ia tidak perlu kerana perkara itu sudah diputuskan oleh Sultan Perak.
Ahad, 1 Mac 2009
Permasis: Mahasiswa bimbang politik balas dendam
1 Mac - Walaupun mengalu-alukan tindakan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mendedahkan dakwaan rasuah terhadap bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, tetapi Persatuan Mahasiswa Selangor (Permasis) khuatir ia penuh dengan emosi dan rasa ingin membalas dendam.
"Saya tidak halang Pakatan mendedahkan dakwaan skandal rasuah Khir Toyo dan saya ucapkan tahniah.
"Cuma saya bimbang, mandat yang diberikan oleh rakyat kepada Pakatan untuk menerajui negeri Selangor digunakan sebagai medan untuk kepentingan peribadi, bukan kepentingan rakyat yang mengundi mereka," kata Pengarah Penyelidikan dan Kajian Strategik Permasis, Wan Afifi Wan Zainudin.
Permasis merupakan sebuah NGO gabungan mahasiswa anak Selangor bagi kampus-kampus di seluruh Malaysia.
Wan Afifi berkata, ada di kalangan anak muda, terutama mahasiswa di kampus, yang mulai merasai jelik dengan suasana politik yang sedang berlaku di Malaysia.
"Kita mesti mendidik generasi muda dengan budaya demokrasi yang adil dan saksama.
Budaya fitnah memfitnah
"Hindarkan daripada budaya fitnah-menfitnah, maki hamun yang penuh dengan rasa ingin membalas dendam.
"Pendedahan skandal-skandal mesti didasari dengan elemen ingin menegakkan kebenaran dan keadilan," katanya dalam satu kenyataan.
"Saya sangat memahami medan politik adalah medan peperangan dan persaingan antara parti-parti dalam menegakkan kebenaran dan keadilan masing-masing," katanya.
Bagaimanapun, katanya, biarlah ia berlaku dalam lunas yang bermaruah dan Pakatan hendaklah menjaga mutu perkhidmatannya.Menurut Wan Afifi lagi, beliau agak hairan mengapa pendedahan skandal rasuah Khir Toyo didedahkan kepada media setelah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim teruk diserang.
Isu foto Eli
Sebelum ini laporan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Abdul Khalid berhubung penyelenggaran kereta peribadinya serta pembelian lembu korban di kawasan Parlimennya di Bandar Tun Razak yang didakwa menggunakan dana kerajaan negeri. Beliau telah menafikan dakwaan tersebut.
"Jika benar Tan Sri Khalid mempunyai bukti tuduhan rasuah Khir Toyo, mengapa sekarang maklumat ini didedahkan? Mengapa tidak dibuat sewaktu mula-mula memegang tampuk kepimpinan kerajaan Selangor?" soalnya.
Minggu lalu, kerajaan selangor mendedahkan dakwaan berlaku skandal rasuah yang membabitkan Khir Toyo berhubung pemilikan Toyota Harrier dan pembelian hartanah ‘Al Marwa Tower Makkah'.
Sementara itu, katanya, Permasis menyambut baik keputusan Sultan Selangor berhubung isu pengedaran gambar intim exco kerajaan negeri Elizabeth Wong.
"Keputusan baginda disifatkan sebagai adil dan dalam pada masa yang sama, memberikan peluang kepada kerajaan Pakatan menyelesaikan masalah tersebut tanpa campurtangan istana," katanya.
Jumaat, 27 Februari 2009
3 Mac sidang tergempar DUN Perak
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar memanggil sidang tergempar dewan itu Selasa depan untuk membahaskan dua usul yang boleh mengusutkan lagi krisis politik negeri tersebut.
Beliau menggunakan kuasanya bawah peraturan tetap 8 dan 11 DUN itu untuk membahaskan isu-isu utama yang menjadi ketegangan pokok antara Pakatan Rakyat dan BN sejak awal bulan ini.
Kedua, membubarkan DUN bagi membolehkan satu pilihanraya peringkat negeri diadakan seperti hasrat Pakatan Rakyat sebelum ini.
Krisis politik di negeri itu tercetus susulan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat meninggalkan kerajaan campuran itu dan menyatakan sokongan kepada BN.
Speaker membenarkan kesemua Adun hadir di persidangan khas itu kecuali mereka yang telah digantung pada 18 Feb lalu, iaitu menteri besar kerajaan BN sekarang Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exconya.
Tiga wakil rakyat bebas - yang dianggap telah mengosongkan kerusi masing-masing melalui surat peletakan jawatan mereka - juga dilarang menyertai sidang tersebut.
Jika larangan itu dipatuhi, barisan wakil rakyat BN akan tinggal 21 orang, sementara Pakatan Rakyat 27 orang, tidak termasuk Sivakumar.
Sidang tergempar DUN ini akan mencetuskan satu lagi babak tegang dan tidak menentu perebutan kuasa antara BN dan Pakatan.
Menurut Bernama, Sivakumar memberitahu media di Ipoh bahawa sidang tergempar itu tidak memerlukan perkenan Sultan Perak terlebih dahulu kerana notis 14 hari hanya perlu dikeluarkan persidang biasa DUN dan bukannya untuk sidang tergempar.
Katanya, arahan telah diberikan kepada Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong, untuk menghantar notis secepat mungkin kepada semua 49 Adun yang dibenarkan hadi bagi menyertai sidang itu.
Ditanya sama ada tindakannya memanggil sidang tergempar itu tanpa perkenan Sultan Azlan Shah akan dianggap sebagai tidak menghormati baginda, Sivakumar berkata beliau hanya mengikut Perintah Tetap dewan.
Beliau juga enggan mengulas tindakan selanjutnya jika kesemua
Adun BN enggan menghadiri sidang tergempar itu atau jika kesemua 10 wakil rakyat yang dilarang itu tetap hadir ke sidang tersebut, lapor agensi berita itu lagi.
Sementara itu, exco kanan Perak bawah kerajaan Pakatan Rakyat, Datuk Ngeh Koo Ham dilaporkan berkata penasihat undang-undang negeri Datuk Ahmad Kamal Mohd Shahid cuba menghalang notis sidang tergempar itu dikeluarkan.
Tambahnya, tindakan sedemikian boleh disifatkan menghina dewan dan boleh dikenakan tindakan oleh DUN tersebut.
Kecoh
Suasana di pekarangan bangunan Parlimen semalam kecoh apabila kumpulan Pemuda UMNO Selangor mendesak Ahli Parlimen DAP Bukit Gelugor, Karpal Singh meminta maaf kerana melemparkan ungkapan ‘Pemuda UMNO celaka’ semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat kelmarin.
Tidak berpuas hati dengan keadaan itu, Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo bertindak menyerbu kumpulan tersebut sehingga mencetuskan pertikaman lidah antara Gobind dan Ketua Pemuda Gombak, Megat Zulkarnain Omardin.
Kekecohan itu bagaimanapun berjaya dileraikan oleh pengawal keselamatan Parlimen, anggota polis dan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional, Datuk Seri Tiong King Sing yang bergegas ke tempat kejadian.
Khamis, 26 Februari 2009
Kes Karpal ke Peguam Negara
KUALA LUMPUR 25 Feb. – Kertas siasatan berhubung 97 laporan polis yang dibuat terhadap Pengerusi DAP, Karpal Singh telah diserahkan ke Pejabat Peguam Negara, minggu lalu.
Polis juga telah membuat cadangan kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail supaya kes itu didakwa mengikut Akta Hasutan 1948.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pihaknya kini dalam peringkat perbincangan dengan Peguam Negara berhubung kertas siasatan dan cadangan tersebut.
“Tindakan selanjutnya, sama ada Karpal perlu didakwa atau tidak hanya akan ditentukan oleh Peguam Negara.
“Setakat ini, tiada sebarang dakwaan dibuat terhadap Karpal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kertas siasatan yang dibuka selepas 97 laporan dibuat oleh individu, parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara terhadap Karpal Singh yang didakwa menghina Sultan Perak.
Karpal pada sidang akhbar di Pulau Pinang pada 6 Februari lalu, menyatakan pakatan pembangkang bercadang memfailkan saman ke atas Sultan Perak kerana menitahkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai Menteri Besar.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, polis telah memanggil beberapa orang saksi untuk dirakamkan keterangan, sejak kertas siasatan itu dibuka.
Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan jumlah serta identiti mereka yang dipanggil berhubung kes itu kerana tidak mahu mengganggu siasatan.
'Terserah Khalid'
Sultan Selangor berkecuali kedudukan Elizabeth Wong
SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, mengambil sikap berkecuali berhubung kedudukan Ahli Exco negeri, Elizabeth Wong Keat Ping, yang menawarkan diri untuk meletakkan jawatan berikutan kontroversi pengedaran gambar separuh bogelnya.
Sehubungan itu, baginda menyerahkan kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, untuk membuat keputusan berhubung kedudukan Wong sebagai Exco negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan. Pendirian itu dinyatakan baginda selepas menerima menghadap Abdul Khalid di Istana Mestika di sini, semalam.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, berkata baginda tidak dapat memberi panduan atau nasihat kepada Abdul Khalid berkaitan hal berkenaan kerana isu itu masih dalam siasatan polis dan membabitkan kedudukan Wong dalam politik.
"Sebagai Sultan Selangor, baginda sememangnya berkecuali dalam hal ehwal politik," katanya dalam kenyataan dua halaman yang dikeluarkan selepas Abdul Khalid menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menyembahkan perkembangan hal ehwal pentadbiran negeri serta isu Wong.
Kontroversi berhubung penyebaran gambar separuh bogel Wong mendapat liputan meluas media sehingga Ketua Penerangan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menawarkan diri untuk meletak jawatan sebagai Ahli Exco Selangor dan Adun Bukit Lanjan.
Mohamad Munir berkata, Sultan Selangor yakin atas apa jua keputusan yang akan diambil Menteri Besar berhubung isu itu dan percaya ia dibuat secara adil serta bijaksana dengan mengambil kira kepentingan rakyat dan negeri.
"Adalah satu perkara menyedihkan apabila kehidupan dan hak peribadi individu itu dijadikan satu publisiti dan topik hangat untuk disebarkan melalui media massa kepada orang ramai," katanya.
Baginda juga sedih dan simpati terhadap Wong atas insiden yang berlaku dan berharap Adun Bukit Lanjan itu bertenang, bersabar dan menguatkan semangat untuk menghadapi dugaan serta meneruskan kehidupan sehariannya.
Rabu, 25 Februari 2009
Mahasiswa sokong debat terbuka Nizar vs Zambry
Disunting daripada Akhbar Tempatan
KUALA LUMPUR, 25 Feb - Cadangan dan harapan Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak (Bersatu Perak) untuk menganjurkan debat terbuka antara Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin dan Dato' Dr Zambry Abdul Kadir telah mendapat sokongan yang sepenuhnya di peringkat Mahasiswa.
"Forum seumpama ini bukan sahaja merupakan hasrat dan harapan kami di peringkat mahasiswa malah ia juga merupakan hasrat rakyat tempatan yang inginkan penjelasan dan penerangan yang lebih telus terhadap suasana politik Perak pada hari ini."Kita telah berjaya mengumpulkan sejumlah besar mahasiswa yang bakal memberikan kerjasama dalam menjayakan debat ini," demikian ujar Timb. Presiden (1) Bersatu Perak, Mudzil selepas mempengerusikan mesyuarat bersama wakil-wakil kampus Perak.
Malah Bersatu Perak ujarnya, telah mendapat reaksi dan komen positif yang cukup memberansangkan di peringkat mahasiswa.
Dalam pada itu, Bersatu Perak juga katanya akan mengadakan pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Dato' Farid Ridzuan bagi mengadakan tayangan secara langsung debat yang menemukan dua tokoh tersebut.
"Suasana dan warna politik Perak hari ini, mendapat liputan yang meluas di seluruh negara. Maka bukan rakyat Perak sahaja yang merasai kepanasan isu ini tetapi rakyat diluar Perak juga turut merasai tempias kehangatannya.
"Saya yakin dan percaya rakyat Malaysia keseluruhannya mahu melihat dua tokoh tersebut dipertemukan bagi menjelaskan isu Perak ini kerana itulah debat bersejarah tersebut perlu diadakan secara langsung di kaca TV untuk tatapan rakyat luar Perak," ujar Exco Perhubungan dan Media Bersatu Perak, Shahril Nizam.
Jumaat, 20 Februari 2009
Dr Aziz Bari: Speaker ada kuasa gantung MB, enam exco
KUALA LUMPUR, 19 Feb - Sungguhpun Dato' Dr Zambry Abdul Kadir Zambry tidak berpuas hati dengan Speaker DUN Perak, V Sivakumar atas keputusannya menggantung dan melarang beliau dan enam Exco daripada menghadiri sesi DUN, namun tindakan itu dibuat mengikut peruntukan kuasa yang ada.
Demikian pandangan pensyarah undang-undang Profesor Dr Aziz Bari yang menyatakan bahawa Sivakumar selaku speaker mempunyai kuasa untuk berbuat keputusan tersebut.
"Speaker ialah ketua Dewan...pada asasnya," katanya dan menyatakan terdapat kes penggantungan anggota Dewan Undangan Negeri oleh speaker DUN dan anggota Parlimen oleh speaker Dewan Rakyat semalam.
"Kuasa speaker adalah sama di semua negara Komanwel," katanya dalam sebuah laman web.
Abdul Aziz berpendapat di peringkat persekutuan, Speaker Dewan Rakyat sebelum ini pernah beberapa kali membuat keputusan yang dianggap 'tidak munasabah, menolak usul, menggantung Ahli Parlimen dan sebagainya'.
"Kali ini giliran BN pula merasa," katanya.
Abdul Aziz memberitahu bahawa Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin mempunyai hak untuk membawa kes itu di makamah atas sebab 'posisi kabur kerajaan Zambry.'
Sementara itu peguam Karpal Singh juga turut bersetuju dengan tindakan Sivakumar dan menyatakan bahawa ianya di bawah bidang kuasa beliau selaku Speaker.
Gantung MB Perak tak sah
PUTRAJAYA 19 Feb. – Pedulikan tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V. Sivakumar yang ternyata amat teruk dan tidak masuk akal.
Demikian reaksi spontan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengulas tindakan Sivakumar menggantung dan melarang Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir bersama enam anggota Exconya daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri berkuat kuasa serta-merta.
Tegas Perdana Menteri, apa yang harus dilakukan oleh Zambry sekarang adalah terus menjalankan fungsi pentadbiran negeri sebagai kerajaan sah seperti mana dikehendaki rakyat.Malah, beliau menyelar perlakuan Sivakumar yang juga ADUN DAP kawasan Tronoh itu sebagai tidak menghormati keputusan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang berkenan melantik Zambry dan barisan Exconya mengetuai kerajaan negeri.
‘‘Ini merupakan usaha terakhir pakatan pembangkang mahu menggulingkan kerajaan BN yang sah di Perak.
‘‘Oleh itu kerajaan negeri Perak (diterajui Zambry) perlu membuat laporan polis kerana apa yang dilakukan oleh Speaker DUN Perak itu sesuatu yang menyalahi atau menolak apa yang telah dilaksanakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak dan perlembagaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Tabung Kemanusiaan Untuk Kanak-Kanak Gaza di Sri Perdana di sini hari ini.Semalam, Sivakumar mengambil tindakan mengejutkan dan dianggap tidak mengikut peraturan apabila menggantung dan melarang Zambry bersama enam Exco kerajaan negeri daripada menghadiri sidang DUN berkuat kuasa serta-merta.
Tindakan itu dibuat melalui Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diketuai oleh Sivakumar.
Sivakumar dalam kenyataannya menegaskan, pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar dan enam Exco dalam kerajaan negeri yang baru itu tidak sah kerana tidak mengikut peraturan.
Ekoran itu, Zambry digantung dan dilarang menghadiri sidang DUN selama 18 bulan manakala enam Exco pula dikenakan hukuman sama selama 12 bulan.
Abdullah berkata, tindakan Sivakumar itu juga bermotif untuk mengurangkan bilangan wakil rakyat BN dalam DUN menjadikannya daripada 28 kepada 21 ADUN sahaja.
‘‘Ertinya 21 dan kalau ada undi, mereka berharap kemenangan akan berpihak kepada parti-parti dalam pakatan pembangkang. Niatnya tidak ada yang baik, hanya untuk menggulingkan kerajaan BN yang diwujudkan,” katanya.
Justeru, kata Abdullah, dalam situasi sekarang adalah lebih baik BN meneruskan pemerintahannya supaya kerajaan negeri terus stabil sekali gus memastikan perkhidmatan yang berterusan untuk rakyat.
Isnin, 16 Februari 2009
Dr Asri: Isu Semasa Di Perak
Disunting daripada Dr.Maza
Jawapan: Banyak sekali email isu pergelutan kuasa politik di Perak dihantar kepada saya. Maaf, saya tidak dapat memberikan jawapan yang mencukupi kerana barangkali maklumat yang meyakinkan saya belum mantap.
Saya pada prinsipnya tidak dapat menerima perangai ‘lompat parti’ kerana itu adalah sikap yang tidak telus dan jujur terhadap undi rakyat. Sesiapa mahu tukar parti setelah dipilih, sepatutnya meletak jawatan dan bertanding semula. Serahkan semula amanah tersebut kepada rakyat. Rakyat ketika mengundi meluahkan hasrat mereka, dan itu tidak boleh diubah sewenang-wenangnya. Cuma ada beberapa perkara yang berlegar dalam fikiran saya tentang keadaan Perak;
BEBERAPA penyokong kerajaan PR Perak bertindak nekad berbaring di tengah jalan sambil memegang bendera menghalang kereta peronda polis yang mengiringi kenderaan Raja Muda Perak di belakang berhampiran Istana Iskandariah, Perak, semalam.
1. Jika perbuatan melompat itu tidak dapat diterima oleh sesetengah pihak, sepatutnya ketika isu lompat parti pada 16 September 2008 diuar-uarkan sikap yang sama ditunjukkan. Pendirian yang istiqamah atas prinsip itu hendaklah ditunjukkan dalam semua keadaan. Apakah bantahan isu Perak ini memang benar-benar atas prinsip atau semangat kepartian semata?2. Tokoh agama Perak yang terkenal, Datuk Seri Harussani Zakaria adalah seorang mufti terkenal, juga tokoh kepercayaan PAS sendiri. Beliau mengepalai upacara membaca doa perlantikan MB baru, YB Datuk Dr Zamry. Adakah kemungkinan beliau telah melihat berbagai aspek isu tersebut, terutama dari segi agama. Maka saya kira mungkin orang PAS patut merujuk kepada Sahibus Samahah DS Harussani terlebih dahulu sebelum membantah keputusan Sultan Perak itu di sudut agama terutamanya. Mungkin ada perkara yang beliau lebih maklum, sebagai ‘orang lama’ Perak. Apatahlagi, beliau selama itu amat diyakini oleh orang PAS sendiri.
3. Beberapa pihak menyatakan YB DS Nizar sebenarnya hanyalah ‘boneka DAP’. Saya sendiri diberikan berbagai maklumbalas oleh pihak yang tiada kaitan politik. Kononnya, apa yang dilaksanakan di Perak adalah keputusan mesyuarat exco yang didominasi oleh DAP yang menumpukan kepentingan kepada kaum tertentu. Isu pemberian tanah kepada masyarakat cina umpamanya dibangkitkan. Dakwaan ini bukan sebarangan, sebab pihak Istana Perak sendiri seakan memberi isyarat kerunsingan tentang kedudukan ‘orang Islam’ di Perak. Dakwaan ini perlu dikaji dengan cermat dan teliti tanpa emosi. Apakah benar atau sebaliknya?
4. Dari segi kepentingan umat, tanpa mengira parti, kita perlu menilai; manakah kepimpinan Kerajaan Perak yang lebih bermanfaat dan kurang mudarat kepada umat dan rakyat? Manakah pula yang akan membahayakan masa depan umat? Ini perlu dilihat dengan teliti.
Maka saya dengan ini menangguhkan dahulu mengulas isu pergelutan politik di Perak, sehingga persoalan-persoalan ini jelas kepada saya. Saya sama seperti orang lain, dari jauh sedang memerhati isu ini.
