Bicara Siswa


Memaparkan catatan dengan label Bahasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bahasa. Papar semua catatan

Jumaat, 6 Mac 2009

8 dalil, Mengapa Mahasiswa Membantah PPSMi?

Daripada Mahasiswakini

Mengapa kita perlu mempertahankan Bahasa Melayu? Mengapa kita perlu bersusah-payah memperjuangkan Bahasa Melayu? Dan Mengapa Kita Perlu Membantah Penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik?

Segala persoalannya akan kita ketahui dalam ruangan ini . Namun demikian saya bukanlah orang yang pakar untuk membicarakan isu ini.

Saya sekadar mengeluarkan hujah-hujah yang telah dikemukakan oleh pejuang-pejuang Bahasa Melayu di tanahair kita yang tercinta ini.

Justeru saya ingin mengambil kesempatan yang ada ini untuk berkongsi hasil pembacaan dan perkongsian ilmu saya dalam program Kupasan Buku yang dianjurkan oleh Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya pada hari Rabu: 18 /2/2009 bersamaan 22 Safar 1430H yang lalu dengan para pengunjung lawan sesawang mahasiswakini.com ini.

Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Pengantar Sains dan Matematik: Mengapa Ditentang? Soalan Yang Selalu Ditanyakan

  1. Ditulis oleh Prof. Emeritus Abu Bakar Abd. Hamid, salah seorang ahli Kumpulan Prihatin.
  2. Dalam makalahnya, beliau menjawab lapan soalan yang sering ditanyakan kenapa tindakan mengetepikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan adalah bertentangan dengan apa yang diperjuangkan.
  3. Bentuk-bentuk soalan yang diajukan dan jawapan yang diberikan oleh Prof:-

Soalan 1: Mengapa pejuang bahasa dan ramai intelek menentang usaha kerajaan dalam PPSMI ini?

Jawapan: Tiada seorang pun golongan di atas menentang usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris bahkan mereka lebih fasih berbahasa Inggeris. Mereka hanya mahu kedudukan bahasa Melayu dipelihara, dipupuk dan dijadikan bahasa ilmu, bahasa moden di Malaysia.

Soalan 2: Bukankah perubahan ini melibatkan 2 mata pelajaran sahaja iaitu Sains dan Matematik?

Jawapan: Tanggapan ini mengelirukan kerana mulai 2003,pelaksanaannya dijalankan serentak di darjah satu Sek. Rendah, tingkatan satu Sek. Men, dan Matrikulasi/Tingkatan VI Bawah. Menjelang 2008, BI menjadi bahasa pengantar utama dan bahasa Melayu menjadi bahasa sampingan di peringkat sekolah dan IPT.

Soalan 3: Bukankah kelemahan pelajar Melayu dalam BI suatu kenyataan? Ramai pelajar U sukar membaca bahan BI? Bagaimana hendak mengatasi masalah ini?

Jawapan: Jika masalah penguasaan BI , carilah jalan menguasai BI bukan libatkan mata pelajaran Sains dan Matematik. Tumpukan kepada kemahiran membaca, kemudian mendengar. Kemudian peringkatkan bahan bacaan seterusnya menguasai kemahiran yang lain.

Soalan 4: Apa salahnya mencuba cara baru (PPSMI)? Bukankah dengan ini pelajar akan menguasai kedua-dua mata pelajaran sekaligus?

Jawapan: Bahaya kaedah cuba-cuba atau dalam BI ‘trial and error’ kerana ia melibatkan generasi manusia. Ditakuti anak-anak yang diharapkan dapat menguasai Sains dan Matematik dan memperbaiki BI, menjadi merosot ketiga-tiga subjek tersebut.

Soalan 5: Kalau begitu kita tidak bolehlah membawa suatu perubahan sedangkan cara yang sedia ada ternyata tidak berhasil?

Jawapan: Kita boleh sahaja mencuba kaedah yang baru. Tetapi perlu faham kenapa kaedah pertama gagal. Sehingga kini belum ada bukti dari mana-mana pelusuk dunia, mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa kedua lebih berkesan daripada mengajarnya dalam bahasa pertama.

Soalan 6: Apakah salahnya kalau kita tukar sahaja bahasa pengantar di sekolah dan di IPT kepada bahasa Inggeris? Apa ruginya orang Melayu? Bukankah kita sedang menghadapi globalisasi?

Jawapan: Langkah pertama, mesti faham apa makna dan implikasi globalisasi itu; baik buruknya. Seterusnya dalam mendepani arus globalisasi, kita mesti mempertahankan keperibadian,identiti, nilai-nilai murni, budaya dan bahasa kita.

Soalan 7: Baru-baru ini Kerajaan Negeri Selangor telah mengadakan tindakan proaktif dengan mendedikasikan hari Khamis sebagai Hari Bahasa Inggeris. Apakah ini satu langkah yang bijak?

Jawapan: Rujuk akhbar The Star, 30 Jun 2002. Pada dasarnya usaha meningkatkan bahasa Inggeris itu baik, tetapi fokusnya telah menyimpang jauh. Perkara yang perlu ditekankan ialah kemahiran bertutur.

Soalan 8: Apakah keadaan ini mempunyai dampak yang lebih meluas dari segi kedudukan bahasa Melayu di negara ini? Bagaimana dengan jaminan pemimpin-pemimpin kita bahawa kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan tidak akan terjejas?

Jawapan: Dampak yang jelas ialah bahasa Melayu tidak lagi menjadi bahasa sains dan teknologi maklumat. Bahasa Melayu akan menjadi bahasa pasar sahaja.

Selasa, 3 Mac 2009

PKPIM seru mahasiswa seluruh kampus hadiri Himpunan 100 Ribu 7 Mac

Disunting Daripada Akhbar Tempatan
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang merupakan badan penggerak Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) menyeru seluruh mahasiswa di semua kampus untuk turun beramai-ramai ke Perhimpunan 100 ribu rakyat pada 7 Mac ini bagi membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di hadapan Istana Negara.

Sebelum ini PKPIM telah bertegas menyatakan kesediaan dan kesetiaan untuk bersama-sama GMP menggerakkan perhimpunan 100 ribu di peringkat mahasiswa memandangkan suara kami yang disalurkan melalui pendekatan berlembut masih tidak didengari.

Rentetan itu, PKPIM telah mengambil keputusan untuk melakukan apa saja termasuk untuk turun ke jalanan menggerakkan demonstrasi 100 ribu rakyat sebagai wadah terakhir mendesak pihak pemerintah mendaulatkan kembali martabat Bahasa Melayu.

Sebagai golongan anak muda yang berada pada zaman ketidaktentuan dasar pendidikan negara, kita harus sedar bahawa dasar PPSMI ini tidak boleh dipandang remeh memandangkan dasar ini menyentuh isu pendidikan negara dan pendidikan secara tidak langsung akan melibatkan generasi pelajar.

Maka, dasar seperti ini sebenarnya yang akan menentukan corak dan identiti generasi masyarakat Malaysia pada masa akan datang.

Dalam pada itu, dasar ini juga dilihat akan mengorbankan puluhan ribu anak-anak pelajar luar bandar memandangkan mereka berada dalam suasana yang jauh dari kemudahan untuk memperoleh pendidikan di peringkat asas lebih-lebih lagi dalam soal Bahasa Inggeris.

Berdasarkan situasi tersebut kita dapat melihat bahawa PPSMI ini adalah satu bentuk diskriminasi yang hanya menguntungkan segolongan elit di bandar-bandar saja.

Wajarkah kita berbangga dengan kejayaan segelintir rakyat ke peringkat tertinggi tetapi dalam masa yang sama kita menggagalkan masa depan majoriti besar anak-anak marhein di kampong-kampung?

Kesan dari dasar PPSMI ini tidak akan dirasai oleh generasi pemimpin hari ini, sebaliknya bebanannya akan ditanggung oleh kita sebagai generasi masa hadapan.
Maka, perjuangan untuk menolak dasar PPSMI ini merupakan tanggungjawab yang wajib digalas oleh seluruh anak muda yang sayangkan masa depan identiti rakyat dan negara Malaysia.

Maka, sebagai gerakan pelajar yang membawa idealisme anak muda, adalah wajib bagi kita untuk berjuang menjayakan agenda 7 Mac ini.

Biar kali ini kita mencatat sejarah dengan menjadi golongan yang bertanggungjawab mencorak masa depan Malaysia berbanding menjadi golongan yang tidak membuat apa-apa sehingga akhirnya dicaci oleh generasi akan datang.

Penulis: Muhammad Faisal Abdul Aziz ialah Naib Presiden, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Ahad, 1 Mac 2009

Ajar pemimpin Melayu - Sasterawan Negara

Disunting Daripada Akhbar Tempatan
KUALA LUMPUR, 1 Mac - Rakyat disaran menggunakan 'bahasa undi' untuk mengajar pimpinan Melayu yang 'membunuh' bahasa ibundanya (Melayu) sendiri demi menyelamat bangsa dan bahasa dari kepupusan.


Sasterawan Negara, Dato' A Samad Said, 76, berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penerangan Isu Pengajaran Pembelajaran Sains & Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di pekarangan Surau Tuan Guru Zainal Abidin, Sura Gate, Dungun, kelmarin.

Katanya, pemimpin Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya boleh diajar dengan kuasa undi dalam pilihan raya.

"Saya menyarankan jika kita (rakyat) sayangkan bahasa kita. Jika mahu bahasa (Melayu) kita dilanjutkan dan dilestarikan. Gunakanlah undi anda (kita), gunakan undi anda.

"Sebab, pemimpin-pemimpin jenis ini hanya tahu 'bahasa undi' (pilihan raya). Dia (pemimpin Umno) tidak tahu bahasa Melayu," tegasnya.

Menurutnya, Umno-BN memperkecilkan golongan muda yang bakal menentukan masa depan negara ini.

Oleh itu, kata beliau golongan muda wajar menggunakan kuasa mengundi (pilihan raya) bagi menentukan pemimpin dan masa depan negara ini.

"Dia (Umno) selalu memperkecilkan angkatan (generasi) muda. Angkatan tua biasanya sudah bersikap jika dia Umno tetap akan Umno, jika syahdunya PAS dia akan tetap dengan PAS.

"Kuasa imbangan yang terbesar sekarang adalah ditangan anak-anak muda dan janganlah lupa menggunakan kuasa (pilihan raya) itu untuk menentukan masa depan bangsa dan bahasa," ujarnya.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Samad mendakwa pemimpin Negara ini telah melakukan satu jenayah kerana melanggar Akta Pendidikan dan Perlembagaan.

Katanya, kemajuan yang mahu dinikmati oleh rakyat dan negara ini bukan dengan cara membunuh bahasa dan bangsa sendiri.

"Kenapakah pemimpin (Umno-BN) kita telah melakukan satu jenayah dengan melanggar Akta Pendidikan dan melanggar Perlembagaan yang mensucikan bahasanya.

"Sekarang tahun 2009, perlanggaran itu berterusan. Apakah orang seperti saya yang membantah PPSMI kerana tidak mahu kemajuan.

"Saya telah berusia 76 tahun dan saya telah menulis sepanjang lebih 50 tahun dan menghasilkan 65 buah buku khazanah untuk bangsa saya,"jelasnya.

Katanya, permasalahan isu PPSMI berlarutan sejak enam tahun lalu kerana negara ditadbir oleh pemimpin yang hanya berfikir lima tahun ke hadapan dan bukan 50 tahun ke hadapan.

"Kita (Melayu) sudah kepupusan huruf (jawi) dan kita sudah hilang Utusan Melayu oleh kerana kepupusan huruf.

"Kita (Melayu) hilang kitab-kitab jawi dan tidak lama lagi dalam lima dekad kita akan hilang bahasa kita (Melayu) sendiri,"

jelasnya.