Difahamkan oleh seorang penuntut di situ, mahasiswa tersebut telah menyampaikan tazkirah ringkas setelah selesai menunaikan solat maghrib berjemaah di surau. Setelah selesai menyampaikan tazkirah, beliau pulang ke bilik. Walaubagaimana pun, ahli jemaah yang lain masih berkumpul di surau untuk membaca Al-Quran dan beribadah. Tanpa disedari mereka telah didatangi oleh seorang penolong pengetua yang lalu menyatakan teguran dan rasa tidak senang beliau dengan tazkirah yang telah disampaikan oleh mahasiswa tadi.
"Sebab teguran dan rasa tidak senang hati penolong pengetua tersebut tidak diketahui." tambahnya lagi.
"Warga mahasiswa Islam UniMAP khususnya penuntut di KKF ingin memohon penjelasan daripada penolong pengetua tersebut atas teguran yang diberikan, kami memerlukan penjelasan atas tindakan tuan." kata seorang lagi mahasiswa yang menuntut di KK berdekatan.
"Tidak wajar bertindak sebegitu rupa tanpa alasan yang munasabah. Kami hanya memerlukan alasan dan sebab? Adakah kerana ia mengganggu penuntut-penuntut yang lain? Sedangkan tazkirah itu hanyalah ringkas dan tidak langsung menyentuh sensitiviti atau perkara-perkara yang tidak sepatutnya." persoalnya lagi.
Menurut seorang lagi mahasiswa yang tidak mahu namanya disiarkan, ahli jemaah surau sudah tentu ingin mengetahui sebab teguran yang telah diberikan. Ia seharusnya munasabah dan releven untuk diterima oleh penuntut muslim, jika tidak, ia nampak seolah-olah telah melanggar hak dan kebebasan beragama di kampus UniMAP.
"Saya rasa InsyaAllah ahli jemaah surau bersedia untuk berbincang dengan baik dan akan menerima pandangan daripada pihak pentadbiran KKF jika ia releven, tetapi pihak pentadbiran tidak wajar untuk memaksa mereka tunduk dan menerima arahan yang tidak jelas dan munasabah alasannya." tambahnya.
"Biarlah mereka menghidupkan surau dengan aktiviti-aktiviti tazkirah. Jika bukan mereka siapa lagi yang ingin menghidupkan surau tersebut. Allah akan mempersoalkan jika tiada siapa yang mengimarahkan surau walaupun surau tersergam indah di depan mata." kata seorang pimpinan mahasiswa yang tidak mahu identitinya didedahkan.
Menurut beliau lagi, pihak pentadbiran KK seharusnya mengadakan garis panduan dan mengatur aktiviti surau agar ia tidak disalah guna dan seteursnya menjadi tapak penting untuk mendidik mahasiswa dengan kehidupan beragama. Inilah peranan dan tanggung jawab besar yang telah dipundakkan oleh Allah ke atas bahu penolong pengetua dan pihak pentadbiran KK.