Bicara Siswa


Memaparkan catatan dengan label Kerajaan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kerajaan. Papar semua catatan

Selasa, 26 Oktober 2010

Islam dihina...anda DIAM??

Assalamualaikum & salam ceria...

Sensitiviti dan maruah umat Islam hari ini sekali lagi dicabar dan dipermainkan. Hal ini berlaku apabila satu penganjuran Islamic Fashion Festival (IFF) yang telah memperlihatkan tayangan fesyen dan pemakaian yang sangat bercanggah dengan Syariah Islamiyah.

Festival ini telah dianjurkan di Malaysia, bumi bertuah umat Melayu yang dimasyhurkan sebagai negara Islam. Perkara yang sangat mendukacitakan adalah penaung IFF ialah isteri Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansur yang menggelarkan dirinya sebagai Wanita Pertama Malaysia tanpa pengiktirafan mana-mana pihak yang bertanggungjawab atau masyhur dengan nama Bik Mama.

Pertamanya, pertunjukan pemakaian yang ditayangkan oleh wanita secara terbuka adalah haram di sisi Islam kerana ianya jelas melanggar perintah Allah dalam surah An-Nuur, ayat 31:
Katakan kepada orang-orang perempuan yang beriman, supaya mereka merendahkan pandangannya dan menjaga kehormatannya dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasannya kecuali apa yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka melabuhkan tudung hingga ke bawah dadanya.
Keduanya, pemakaian yang ditonjolkan adalah sangat seksi dan sedikit pun tidak menepati Syariah Islamiyah. Fesyen yang dipamerkan langsung tidak berbeza dengan fesyen-fesyen lain daripada barat. Bahkan lebih teruk lagi mereka mendakwa fesyen tersebut sebagai fesyen Islam.

Ketiganya, fesyen naungan Rosmah Mansur ini telah mencabar sensitiviti umat Islam apabila wujud pemakaian yang sangat menghina Rasulullah, Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Hal ini kerana rekaan tersebut telah mempamerkan perkataan nama Rasulullah, Muhammad dengan keadaan terbalik dan ditulis di bahagian dada baju. Sangat keji dan jijik golongan mereka.

Pada hemah saya, golongan ini khususnya Rosmah Mansur bukan tidak mengikut ajaran Islam tetapi mereka telah melanggar peraturan Islam bahkan telah mengulangi sejarah jahiliyah dan membawa ajaran kafir la'natullah ke Malaysia.

Rosmah Mansur yang merupakan isteri kepada ketua kerajaan Malaysia sepatutnya mengajar dan mendidik serta menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat Malaysia dengan ajaran Islam serta peradaban Melayu. Hal ini sangat jelas dan tidak boleh dimaafkan oleh umat Islam di Malaysia.

Perbuatan Rosmah Mansur ini telah menjangkaui fahaman politik serta aliran-aliran lain. Rakyat Malaysia sangat malu mempunyai Wanita Pertama seperti ini. Sangat jahil. Sangat hina. Sangat tidak bertamadun.



http://hafizfillah.blogspot.com/2010/10/rosmah-bawa-ajaran-jahiliyah-ke.html

Khamis, 29 Julai 2010

Guru dibenarkan berpolitik,Pensyarah bila lagi?

Pensyarah turut mohon berpolitik
Oleh Syuhada Choo Abdullah

2010/07/29

KUALA LUMPUR: Majlis Persatuan Pegawai Akademik Malaysia (MAAC) meminta kerajaan memperluaskan kebenaran untuk bertanding, dilantik dan memegang jawatan dalam parti politik, kepada kira-kira 20,000 pegawai akademik di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara.

Presidennya, Prof Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal, berkata pegawai akademik
di IPTA amat wajar diberikan hak sama rata seperti yang bakal dinikmati guru Gred DG41 hingga DG48, berikutan pensyarah sering dilihat sebagai idola kepada pelajar universiti yang sudah layak untuk mengundi dalam pilihan raya. Tambahan pula, katanya, rata-rata pensyarah menepati kriteria kepemimpinan yang digariskan belia, antaranya memiliki ilmu pengetahuan dan berkelulusan tinggi, selain mempunyai sahsiah baik.

Ketika ini, pegawai akademik di IPTA tidak dibenarkan untuk bergiat aktif dengan memegang sebarang jawatan dalam parti politik tetapi secara asasnya, boleh dikatakan ramai yang berminat.

Malah, sudah terbukti ramai wakil rakyat, termasuk dalam Jemaah Menteri, adalah bekas pensyarah. Ini menunjukkan pensyarah adalah role model di universiti dan pada masa sama, mampu menjadi pemimpin pelapis yang berkualiti dalam arena politik negara.

Pensyarah bukan saja berilmu pengetahuan tinggi tetapi juga memiliki banyak maklumat awal kerana terbabit dalam pelbagai penyelidikan penting melalui pusat kecemerlangan di universiti, katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Akhbar semalam melaporkan selepas 17 tahun dilarang aktif dalam politik, pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah Gred DG41 hingga DG48, dibenarkan semula bertanding, dilantik atau memegang sebarang jawatan dalam parti politik, berkuatkuasa 1 Ogos ini. Keputusan itu diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, kelmarin, membabitkan 140,000 guru.

Noor Aziah mengalu-alukan keputusan kerajaan membenarkan pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah Gred DG41 hingga DG48, bertanding, dilantik atau memegang sebarang jawatan dalam parti politik, berkuatkuasa 1 Ogos ini dengan menyifatkannya sebagai permulaan kepada perkembangan berpolitik yang semakin terbuka di negara ini, lebih-lebih lagi guru memang mempunyai kedudukan yang istimewa dan dihormati masyarakat sejak dulu.

Sementara itu, Ahli Majlis Eksekutif MAAC yang juga Presiden Persatuan Pegawai Akademik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof Madya Dr Raja Roslan Raja Abd Rahman, berkata pensyarah berupaya menjadi ahli politik yang berjaya kerana mempunyai hubungan langsung yang rapat dengan masyarakat peringkat akar umbi.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pensyarahturutmohonberpolitik/Article


"Tahniah kepada Dato' Seri Najib,Perdana Menteri Malaysia yang telah membenarkan para guru terlibat dalam arena politik.Ini adalah satu keterbukaan beliau dalam memberi ruang kebebasan kepada rakyat jelata.

Maka timbul satu persoalan,bilakah pula warga IPT,para pensyarah dan pegawai IPT akan diberi kebenaran yang sama.Dengan ikon-ikon yang ramai dari kalangan pensyarah IPT,maka amat sesuai selepas ini mereka dibenarkan turut sama dalam arena politik dalam mengukuhkan pengurusan politik dan pentadbiran tanah air.

Contoh yang tidak lari jauh,melihat kepada kepimpinan UniMAP yang begitu kemas dan menjadi contoh ikutan mahasiswa UniMAP sendiri.Dato' NC sendirilah adalah contoh terbaik seorang pemimpin universiti yang sangat cekap dan mengambil berat kepada seluruh warga kampus.

Bertuahlah para mahasiswa/i UniMAP mendapat seorang ayahanda dan staf universiti di antara yang terbaik.Syabas UniMAP"

Selasa, 3 Mac 2009

Bajet Mini Petunjuk Tahap Kemelesetan Ekonomi

Akhbar Tempatan
KUALA LUMPUR 2 Mac - Keberkesanan usaha menangani krisis global melalui bajet mini akan menjadi penunjuk utama untuk menentukan tahap kemelesetan ekonomi yang dialami oleh Malaysia pada tahun ini.


Para penganalisis ekonomi dan pasaran tempatan menyifatkan Malaysia yang sudah pun berada dalam kemelesetan, kini dalam keadaan kritikal untuk memastikan ekonomi negara terus bertahan.

Ini berikutan tiga sumber utama pendapatan negara iaitu eksport, pendapatan daripada barangan elektrik dan elektronik serta minyak sawit mentah yang menyumbang 50 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merosot teruk.

Perkembangan itu dikhuatiri akan menyebabkan negara mengalami kemelesetan teknikal berlarutan pada suku pertama hingga suku ketiga tahun ini.

Ketua Pegawai Pelaburan ASM Investment Services Bhd., Rusli Abu Yamin menaruh harapan agar kerajaan dapat mengurangkan kerenah birokrasi dalam pengagihan projek-projek terpilih yang akan dilaksanakan agar pelaksanaannya dapat disegerakan.

Menurut beliau, sekiranya pengagihan projek yang disusun dalam bajet mini dibuat seperti pakej rangsangan pertama, ia akan menyebabkan negara mengalami kerugian besar.

''Saya menyatakan demikian kerana kesan daripada pakej rangsangan pertama masih belum dirasai oleh rakyat sedangkan keadaan ekonomi semakin teruk,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Berikutan itu, Rusli mencadangkan agar kerajaan menyerahkan peruntukan yang disediakan dalam bajet mini terus kepada bank kerana cara itu lebih cepat dalam menangani krisis yang begitu mencabar sekali.

''Saya melihat kerajaan akan mengalami kesukaran pengagihan yang sama dibuat kerana ia akan melalui kementerian terlebih dahulu, kemudian kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan sebelum sebarang projek dilakukan.

''Birokrasi ini memakan masa, ini belum lagi berhadapan dengan kerenah kerajaan-kerajaan negeri yang diperintah oleh pembangkang,'' ujarnya.

Jelasnya, dalam keadaan sekarang Kerajaan Pusat perlu menggunakan 'paksaan' walaupun negara mengamalkan liberalisasi ekonomi, jika tidak semua usaha akan musnah.

''Yang penting kenal pasti projek dan serahkan kepada kontraktor yang layak. Kerajaan hanya perlu memantau sahaja,'' tambah beliau.

Sementara itu, penganalisis OSK Research, Loke Siew Ting pula mengunjurkan Malaysia berpotensi untuk mengalami kemelesetan yang teruk berbanding jangkaan awal penurunan satu peratus pada tahun ini.

''Sejauh mana kesan yang akan diterima oleh negara amat bergantung kepada kejayaan pelaksanaan bajet mini yang akan diumumkan nanti,'' katanya.

Tambah beliau, pada pandangannya kerajaan akan mengumumkan pakej rangsangan yang komprehensif dan 'hebat' meskipun sekiranya terpaksa berhadapan dengan peningkatan bajet defisit sehingga 10 peratus, kadar tertinggi sejak 1980an.

Ahad, 1 Mac 2009

Tak perlu tambah universiti

Disunting Daripada Akhbar Tempatan
Kerajaan tumpu mantap pembangunan prasarana, modal intelektual


KUANTAN 1 Mac - Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan tidak akan menambah bilangan universiti awam serta swasta kerana jumlah yang ada sudah mencukupi.

Sebaliknya kata Timbalan Perdana Menteri, kerajaan akan memberi tumpuan sepenuhnya bagi memantapkan pembangunan prasarana dan modal intelektual.



NAJIB bertanya sesuatu kepada Dr Daing Nasir sambil diperhatikan Mohamed Khaled (kanan) dan Adnan (tengah) sebelum merasmikan Karnival Pengajian Tinggi Negara Zon Timur di Universiti Malaysia Pahang (UMP), di Kuantan, semalam.

Beliau berkata, pada ketika ini ada 20 universiti awam dan 21 universiti swasta di seluruh negara.

"Bilangan universiti sekarang ini sudah cukup dan tidak ada keperluan lagi (untuk bina universiti baru). Setiap negeri sudah ada universiti termasuk negeri yang diperintah pembangkang.

"Sekarang masa beri tumpuan supaya universiti yang ada ini menjadi pusat kecemerlangan akademik dan melahirkan pelajar yang hebat dalam akademik serta benar-benar terdidik dan mempunyai nilai tambah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Pengajian Tinggi Negara Zon Timur di Universiti Malaysia Pahang (UMP), di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Datuk Mohd Hilmey Mohd Taib dan Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim.

Najib berkata, kerajaan mahu memberi lebih fokus kepada pembangunan prasarana dan modal intelektual supaya setiap universiti di negara ini dapat melahirkan graduan cemerlang dalam akademik dan memiliki personaliti yang terbaik.

"Kita akui proses ini akan mengambil masa, sebab itu kena pastikan setiap universiti dapat membangunkan kemudahan prasarana dan modal intelektual sampai ke tahap optimum.

"Ini termasuk ketetapan Kementerian Pengajian Tinggi supaya 70 peratus tenaga pengajar universiti awam dan swasta memiliki ijazah kedoktoran (PhD)," katanya.

Selain itu, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, kerajaan sedia menambah kuasa autonomi kepada setiap universiti pada masa akan datang supaya mereka dapat meneruskan kecemerlangan dalam bidang masing-masing.

"Kita perlu memberi peluang kepada universiti mencapai tahap matang dan optimum menerusi kuasa autonomi yang ada pada mereka.

"Ini termasuk memberi tambahan kuasa membuat keputusan dari segi menentukan pelantikan tenaga pensyarah, kurikulum, perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D), lawatan dan kursus ke luar negara," katanya.

Terdahulu, Najib menyaksikan dua majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UMP dan Hicom Automotive Manufacturers Sdn Bhd serta Pasdec Holdings dalam bidang penyelidikan dan pembangunan modal insan.

UMP diwakili Daing Nasir dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Rosli Mohd Yunus, Hicom Automotive Manufacturers Sdn Bhd pula oleh Pengerusinya, Datuk Syed Mohamad Syed Murtaza dan Ketua Eksekutifnya, Abdul Rashid Musa manakala Pasdec Holdings diwakili Adnan dan Pengarahnya, Datuk Lias Mohd Noor.

'Allah' hanya untuk Islam

Disunting Daripada Ahbar Tempatan
KDN kuatkuasa larangan sehingga Mahkamah Tinggi buat keputusan


KOTA KINABALU 1 Mac - Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan serta-merta pewartaan perintah yang membenarkan penggunaan perkataan 'Allah' dalam penerbitan agama Kristian.

Berikutan itu, Herald-The Catholic Weekly dilarang menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya, sehingga keputusan mengenainya dibuat Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas).


Syed Hamid Albar

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, mengakui ada kesilapan dalam penggubalan perintah bertarikh 21 Januari yang diwartakan pada 16 Februari lalu itu, hingga menimbulkan kekeliruan.

Beliau berkata, perintah itu seolah-olah memberi gambaran kerajaan membenarkan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan Herald-The Catholic Weekly sedangkan keputusan sudah dibuat melarang perkataan itu digunakan dalam penerbitan berkenaan.

Akhbar semalam melaporkan, Peguam Kanan Persekutuan, Nizam Zakaria yang mewakili Pejabat Peguam Negara berkata, Mahkamah Tinggi diberitahu, penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan khusus untuk agama Kristian adalah dilarang kecuali jika di kulit muka depan dokumen dan penerbitan itu ditulis perkataan 'Untuk Agama Kristian.'

Perintah Keselamatan Dalam Negeri (Larangan Penggunaan Perkataan Tertentu Pada Dokumen dan Penerbitan) 2009 itu menyebut: 'percetakan, penerbitan, penjualan, pengedaran dan pemilikan apa-apa dokumen dan penerbitan berkaitan agama Kristian yang mengandungi perkataan Allah, Kaabah, Baitullah dan solat adalah dilarang, kecuali di kulit muka depan penerbitan itu ditulis 'Untuk Agama Kristian.'

Perintah yang membenarkan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan Herald-The Catholic Weekly mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri dan berkuat kuasa serta-merta itu mendapat bantahan pelbagai pihak.

Pada sidang media di Hotel Sutera Pacific, di sini semalam, Syed Hamid berkata: "Saya mengakui ada kesilapan dalam penggubalannya (perintah berkenaan). Penggubalan itu mengatakan boleh sedangkan ada larangan.

"Pewartaan itu memberi gambaran seolah-olah perkataan itu boleh digunakan sedangkan ia belum dirumuskan dan tidak ada perubahan keputusan yang pernah dibuat sebelum ini. Saya mengambil ketetapan ia perlu diperbetulkan kerana jika tidak, warta itu melahirkan kekeliruan."

Serentak penarikan balik perintah pewartaan itu, KDN juga melarang Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan Kaabah, Baitullah dan solat.

"Kita ada perintah awal yang tidak membenarkan penerbitan lain selain agama Islam menggunakan perkataan Allah, Baitullah, Kaabah dan solat. Ini bukan bertujuan menyekat pengamalan mana-mana agama tetapi untuk mengelakkan kekeliruan," katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihak terbabit perlu menunggu keputusan Mahkamah Tinggi mengenai semakan kehakiman kes berkenaan yang dikemukakan Titular Roman Catholic Archbishop Kuala Lumpur.

Jumaat, 27 Februari 2009

Kerajaan perlu ambil alih konsesi tol, jangan biar rakyat melarat!

Disunting Daripada Akhbar Tempatan
KUALA LUMPUR, 27 Feb - Kenaikan kadar tol yang akan berkuatkuasa 1 Mac di lima konsesi lebuhraya hanya akan menambah beban rakyat tatkala ekonomi negara semakin parah.


Penangguhan kenaikan bukanlah langkah terbaik kerana apapun kerajaan masih terpaksa membayar pampasan sekiranya penangguhan kenaikan dilakukan, kata Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar.

Akhirnya wang rakyat juga yang terpaksa digunakan bagi membayar pampasan ini yang hanya akan terus memberi keuntungan kepada pemegang konsesi sahaja, katanya.

Walhal pemegang konsesi yang pastinya mendapat keuntungan kerana bilangan kadar penambahan kenderaan setiap tahun, katanya.


Langkah terbaik kata Mahfuz ialah kerajaan secara serius perlu mengambil alih konsesi dengan perbelanjaan yang pernah dianggarkan oleh beberapa NGO hanya pada kadar beberapa bilion sahaja, katanya.

"Langkah ini lebih penting berbanding kerajaan terus menerus menggunakan terma perjanjian dengan pemegang konsesi untuk menaikkan kadar tol dalam tempoh tertentu atau membayar pampasan jika tidak menaikkan kadar tersebut," katanya.

Hal ini penting difikirkan pimpinan kerajaan terutamanya kabinet yang sebelum ini membuat keputusan yang lansung tidak memikirkan keadaan unjuran ekonomi walhal mereka tahu akan senario tersebut, katanya.

"Akibatnya kini (jika naik kadar tol), rakyat yang sudah melarat kerana masalah ekonomi akan terus merempat dan terpaksa mengikat perut," katanya.

Sementara itu beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan sikap berpura-pura pemimpin Umno/BN yang kononnya membantah kenaikan kadar tersebut Mac ini.

Walhal, pemimpin BN lah yang sebenarnya mempertahankan kepentingan pemegang konsesi yang pada hematnya adalah 'funder' kepada Umno/BN termasuk untuk rasuah dan politik wang, dakwanya.

Sementara itu Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar turut kecewa dengan sikap pemimpin BN yang hanya mengutamakan kepentingan syarikat konsesi tol sahaja.

Beliau yang ditemui baru-baru ini menyelar sikap kepimpinan BN yang tidak mahu menghalang kenaikan harga tol ini, sedangkan mereka sebenarnya tahu rakyat kini tersepit dalam kegawatan ekonomi.

"Di mata pemimpin BN rakyat seakan tidak ada erti, malah mereka hanya leka dengan soal politik sendiri terutama menjelang pemilihan Umno Mac ini," katanya.

Senada dengan pemimpin PAS itu, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan tidak munasabah kerajaan tersebut dalam kegawatan ekonomi.

Beliau sendiri akan berbincang dengan pimpinan Pakatan Rakyat samada akan membawa usul atau membahaskan isu kenaikan harga tol itu di Parlimen.

Setelah lebih setahun ditangguhkan ,Menteri Kerjaraya Dato' Nohamad Zin Mohamad Khamis umum kenaikan kadar tol di lima lebuhraya.

Ia akan bekuatkuasa 1 Mac di lima lebuhraya antaranya Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus), Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik Kl Barat (Sprint), Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuh Raya Sungai Besi (Bestraya) dan Lebuh Raya Baru Pantai (NPE).

Sementara itu dalam satu jawapan bertulis Kementerian Kerja Raya menyatakan, jumlah kutipan tol yang telah dikutip oleh Projek Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) dari tahun 2004 hingga 2007 adalah sebanyak RM6.68 billion.

Walaubagaimanapun jumlah kutipan hasil tol bagi tahun 2008 masih belum disahkan oleh juruaudit bersama di antara Kerajaan dan syarikat konsesi.

Sepanjang tempoh tersebut, hanya pada tahun 2004 jumlah pendapatan yang direkodkan melebihi "threshold toll revenue" yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi PLUS. Untuk itu, kerajaan telah menerima perkongsian hasil tol sebanyak RM4.08 juta.