Bicara Siswa


Jumaat, 27 Februari 2009

Untung Celcom Bertambah 24.4 Peratus

KUALA LUMPUR, 27 Feb -- Celcom (Malaysia) Bhd mencatatkan peningkatan dua angka bagi keuntungan sebelum cukainya pada tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2008 dengan pertambahan sebanyak 24.4 peratus kepada RM1.755 bilion berbanding RM1.410 bilion pada 2007.

Pendapatan syarikat telekomunikasi selular mudah alih itu melonjak sebanyak 10.1 peratus kepada RM5.606 bilion daripada RM5.093 bilion sebelumnya.

Ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Seri Shazalli Ramly, berkata tahun 2008 menyaksikan keputusan kewangan terbaik dalam sejarah syarikat itu, hasil daripada rancangan pemulihannya dan strategi pemasarannya yang agresif.

"Kami juga merupakan satu-satunya pengendali mudah alih yang mencatatkan pertumbuhan pendapatan bagi 11 suku berturut-turut," katanya pada majlis taklimat media mengenai prestasi syarikat itu, di sini hari ini.

Beliau berkata kelembapan ekonomi tidak memberikan kesan besar ke atas perniagaan syarikat itu.

"Dengan demikian, kami masih menikmati pertumbuhan asas pelanggan dan penggunaan, yang kesemuanya merupakan tanda-tanda positif ke arah menjana pendapatan kami," katanya.

Pendapatan Celcom sebelum cukai, faedah, penyusutan dan pelunasan (EBITDA) bertambah 10.5 peratus kepada RM2.5 bilion pada 2008 daripada RM2.3 bilion pada tahun sebelumnya, dan ini menghasilkan peningkatan margin EBITDAnya kepada 45.2 peratus daripada 44.6 peratus.

Asas pelanggan syarikat itu berkembang sebanyak 22 peratus kepada 8.76 juta, dan daripada jumlah ini 6.996 juta merupakan pengguna prabayar manakala 1.765 juta selebihnya adalah pengguna pascabayar.

Ia juga mencatatkan pertumbuhan pelanggan jalur lebar kepada 228,000 setakat akhir 2008.

Agihan pasaran Celcom juga bertambah kepada 32.5 peratus pada 2008 daripada 30.9 peratus pada 2007.

Tentang prospek bagi 2009, Shazalli berkata syarikat itu berharap dapat mengekalkan momentum pertumbuhannya tahun ini dan akan terus mengamalkan strategi proaktif bagi mengurangkan kesan kegawatan ekonomi global.

Tiada ulasan: