Bicara Siswa


Jumaat, 20 Februari 2009

80,000 Pekerja Diberhenti Sementara

DENGKIL, 19 Feb - Seramai 80,000 pekerja di negara ini menghadapi pemberhentian kerja sementara sehingga hari ini, suatu peningkatan yang mendadak berbanding 45,000 yang dicatat pada akhir bulan lalu.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata jumlah pekerja yang diberhentikan sepenuhnya juga meningkat daripada 15,000 kepada 19,000 untuk tempoh sama.

Beliau berkata, jumlah yang tinggi bagi pemberhentian sementara itu adalah kerana ia terdiri daripada pelbagai kategori.

"Sesetengah mereka bekerja empat hari seminggu, sebelum ini, sesetengahnya bekerja 12 jam tetapi kini hanya lapan jam, semunya di bawah kategori pemberhentian sementara kerana mereka tidak ada pekerjaan sepenuhnya seperti yang diperoleh sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Memperkasa Wanita dan Beliawanis (2008-2011) di bawah Program Mendidik Kaum Wanita dan Gadis di sini, Khamis.

Exxonmobil menyumbang RM600,000 untuk program itu.

Dr Subramaniam berkata kebanyakan mereka yang terlibat adalah dalam sektor pembuatan, terutama pembuatan barangan elektrik dan elektronik di kawasan-kawasan industri di seluruh negara.

Bagaimanapun katanya kilang-kilang yang ditutup sepenuhnya masih rendah di mana setakat ini jumlahnya kurang daripada 20 buah.

Beliau berkata kementerian turut menyediakan pelbagai skim latihan dengan pembiayaan elaun sara hidup sebagai bantuan kepada mereka yang terlibat dengan pemberhentian itu, termasuk skim latihan perniagaan.

"Kita juga mempunyai skim yang memberi latihan kepada golongan yang majikannya mempunyai masalah, dan kita akan membiayai kos latihan dan apabila keadaan ekonomi kembali pulih, mereka boleh pulang ke majikan asal dengan gaji yang lebih tinggi," katanya.

Dr Subramaniam berkata kementerian diberi peruntukan RM220 juta untuk pelbagai program latihan.

Kementerian juga akan menjalankan kempen besar-besaran di seluruh negara tidak lama lagi untuk memberi peluang kepada mereka yang menghadapi kesukaran mendapatkan peluang kerja yang kini berjumlah 19,000 orang.

Tiada ulasan: