Bicara Siswa


Khamis, 26 Februari 2009

Kes Karpal ke Peguam Negara

Disunting Daripada Akhbar Tempatan
KUALA LUMPUR 25 Feb. – Kertas siasatan berhubung 97 laporan polis yang dibuat terhadap Pengerusi DAP, Karpal Singh telah diserahkan ke Pejabat Peguam Negara, minggu lalu.

Polis juga telah membuat cadangan kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail supaya kes itu didakwa mengikut Akta Hasutan 1948.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pihaknya kini dalam peringkat perbincangan dengan Peguam Negara berhubung kertas siasatan dan cadangan tersebut.

“Tindakan selanjutnya, sama ada Karpal perlu didakwa atau tidak hanya akan ditentukan oleh Peguam Negara.

“Setakat ini, tiada sebarang dakwaan dibuat terhadap Karpal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kertas siasatan yang dibuka selepas 97 laporan dibuat oleh individu, parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara terhadap Karpal Singh yang didakwa menghina Sultan Perak.

Karpal pada sidang akhbar di Pulau Pinang pada 6 Februari lalu, menyatakan pakatan pembangkang bercadang memfailkan saman ke atas Sultan Perak kerana menitahkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai Menteri Besar.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, polis telah memanggil beberapa orang saksi untuk dirakamkan keterangan, sejak kertas siasatan itu dibuka.

Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan jumlah serta identiti mereka yang dipanggil berhubung kes itu kerana tidak mahu mengganggu siasatan.

Tiada ulasan: