Bicara Siswa


Jumaat, 27 Februari 2009

Mahasiswa Bantah Kenaikan Tol Dalam Ekonomi Gawat

Disunting Daripada Mahasiswakini
KUALA LUMPUR 26 Februari - Mahasiswa adalah antara entiti penting masyarakat yang dilaporkan terkejut dan kecewa dengan pengumuman kenaikan kadar tol di lima lebuhraya bermula 1 Mac ini.


Saudara Mohd Hasbie Muda , Presiden ECONS menyifatkan kenaikan kadar tol pada masa kini sebagai tidak wajar dan mengecewakan.

“Kerajaan jelas memungkiri janjinya untuk memberi keutamaan kepada rakyat dalam apa saja keputusan melibatkan kenaikan tol apabila hari ini kita mendapat maklumat bahawa harga tol akan dinaikkan bermula Ahad ini,” katanya, ketika dihubungi.

Kadar tol akan dinaikkan sehingga 33 peratus mulai 1 Mac ini, antaranya termasuk Lebuhraya Utara Selatan (Plus).

Dalam pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kerja Raya Datuk Ir Mohamad Zin Mohamad, empat lagi leburaya ialah Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

Di Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), kadar tol di plaza tol Pantai naik setinggi 33 peratus iaitu 50 sen dari RM1.50 kepada RM2 manakala di Plaza tol Damansara pula naik 30 sen dari RM1 kepada RM1.30 (naik 30%).

Kadar tol di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh)(Lebuhraya E12) juga dinaikkan sehingga 33 peratus iaitu sebanyak 50 sen bagi kereta - dari RM1.50 hingga RM2.

Dalam kenyataannya, Mohamad Zin menyifatkan kenaikan kadar tol baru itu sebagai sangat kecil.

“Bagi menteri macam Datuk Mohammad Zin yang tak perlu membayar tol, kadar itu memanglah kecil.Namun bagaimana dengan rakyat marhein yang berpendapatan rendah dan sederhana?” sanggah Hasbie.

Bendahari 2 MPMUM saudara Ahmad Syazwan Hassan pula menyifatkan kenaikan tersebut sebagai tindakan yang tidak kena pada masanya.Beliau mencadangkan agar kerajaan segera mengambil alih syarikat konsesi lebuhraya agar dapat menjami kebajikanrakyat pada masa yang akan datang

Tiada ulasan: