Bicara Siswa


Jumaat, 27 Februari 2009

PM: Kaji semula kenaikan tol

Disunting Daripada Akhbar Tempatan
PATTAYA 26 Feb. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu keputusan menaikkan kadar tol di lima lebuh raya dikaji semula kerana sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk berbuat demikian.


Menurut Perdana Menteri, keputusan untuk menaikkan kadar tol berkuat kuasa 1 Mac ini yang diumumkan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed dibuat oleh Kabinet tiga minggu lepas.

Sehubungan itu, beliau mahu perkara itu dibincangkan semula dalam mesyuarat Kabinet yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak esok.


Perdana Menteri kini berada di Pattaya untuk menghadiri Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ketiga dan Sidang Kemuncak ASEAN di Hua Hin, Thailand esok.


“Walaupun dipertimbangkan dari segi syarat-syarat konsesinya patut dinaikkan, tetapi situasi sekarang ini tidak wajar dinaikkan kerana keadaan rakyat yang susah,” katanya kepada pemberita Malaysia selepas menghadiri ADMM ketiga di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai kenaikan kadar tol di lima lebuh raya di antara 0.68 sen hingga 50 sen berkuat kuasa 1 Mac ini selaras dengan terma perjanjian konsesi yang telah ditandatangani antara pihak kerajaan dan pemegang konsesi lebuh raya tersebut.

Mohd. Zin berkata, kenaikan kadar tol itu melibatkan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuh Raya Sungai Besi (BESRAYA) dan Lebuh Raya Baru Pantai (NPE).

Abdullah menjelaskan, sejak perbincangan dan keputusan menaikkan tol dibuat oleh Kabinet, keadaan ekonomi tidak bertambah baik dan ia mendorong kerajaan mengeluarkan peruntukan bantuan berupa pakej rangsangan kedua yang akan dibentangkan dalam bentuk bajet mini.


Menurutnya, mengambil kira keadaan ekonomi semasa dan kesusahan yang dialami oleh rakyat, pendekatan yang sesuai perlu diambil untuk merangsang ekonomi negara.


Sebab itu, jelas beliau, kerajaan membuat keputusan untuk membentangkan pakej rangsangan ekonomi kedua dalam bentuk bajet mini di Parlimen bulan depan.


‘‘Kerajaan ambil pendekatan ini (membentangkan Mini Bajet) memandangkan rakyat dalam kesusahan dan untuk pastikan ekonomi dapat dirangsang,” katanya.


Ditanya sama ada keputusan kenaikan itu akan ditangguhkan, Abdullah berkata, ternyata sekali rakyat tidak dapat menerima kenaikan itu berdasarkan laporan yang beliau terima.


Abdullah berkata, kenaikan kadar tol ada hubung kait dengan perjanjian dengan syarikat konsensi.

Tiada ulasan: