Bicara Siswa


Selasa, 17 Februari 2009

Universiti adalah Institusi... Pendidikan Bukan Institusi Hiburan

Sambungan daripada "Mahasiswa UniMAP Perlu... Berubah"

Tidak salah untuk berhibur dan tidak salah untuk berseronok, ia langsung tidak melanggar prinsip Ilmiah dan disiplin ilmu malahan agama tidak melarangnya. Apa yang menjadi masalahnya apabila hiburan menjadi tonggak dan dilebih-lebihkan dari perkara ilmiah yang lain. Apa yang dipersoalkan adalah disiplin dan cara untuk kita berhibur dan berseronok. Adakah wajar dalam setiap kondisi dan segenap acara yang dilaksanakan oleh universiti mahu pun media massa perlu ada "kedua-dua anasir" yang saya sebutkan tadi untuk menjadi penyeri? Adakah wajar universiti yang penuh mulia dengan displin-displin ilmu dijadikan tempat untuk menjayakan program yang mengandungi anasir-anasir tersebut? Jawapannya tidak wajar sama sekali. Berkawat ada displin-disiplinnya, menuntut ilmu ada displin-disiplinnya, berhibur pun ada juga displin-displinnya. Jadi, berhiburlah dengan penuh berdisiplin.

Tidak salah jika saya katakan bahawa remaja melayu pada hari ini semakin lemah dan ketinggalan dalam bidang akademik kerana berpunca daripada keterjebakkan mereka dalam kancah hedonisma dan juga mungkin kerana faktor-faktor lain. Pengaruh hedonisma menyebabkan mereka semakin lalai dan leka, menghalang fokus dan tumpuan mereka pada akademik dan pelajaran, seterusnya melemahkan pemikiran serta kredibiliti kepimpinan yang ada pada mereka kerana terlalu memikirkan keseronokan dan inginkan kesenangan. Ia akan memberikan kesan yang lebih teruk apabila sikap malas mula menguasai diri hasil daripada hedonisma yang telah meracuni fikiran mereka. Tiada lagi istilah kesusahan bagi mereka apatahlagi untuk berusaha dan berkorban dalam menghadamkan ilmu dan mendapatkan pencapaian terbaik di universiti dan mengatasi bangsa-bangsa lain. Pemikiran mereka juga akan hilang ilmiahnya. Inilah hakikat sebenar.

Walaubagaimanapun, perlu disedari masih ada golongan mahasiswa "hedonist" ini berjaya meraih dan mencipta kejayaan yang amat cemerlang dalam akademik bahkan juga dalam bidang-bidang yang lain. Ia tidaklah menimbulkan kehairanan bagi saya dan mungkin juga anda jika kita memahami konsep "istidraj".

Allah Maha Adil dan Bijaksana, Dia juga mengurniakan kejayaan yang cemerlang kepada golongan kafir malahan kejayaan yang diberikan ada antaranya melebihi apa yang diperolehi golongan Muslim, apatah lagi kepada golongan Muslim yang lupakan Allah dan meninggalkan segala perintahnya walaupun seinci dengan tidak menutup aurat yang sempurna dan sebagainya, tetapi awas! Kejayaan yang dikurniakan itu tidak akan diiringi dengan Redha-Nya.

Buktinya lihatlah diri anda, jika kejayaan dikurniakan membuat anda tetap melanggar perintah Allah walaupun hanya sekadar tidak menutup aurat dengan sempurna malahan semakin jauh daripada Allah serta semakin menjurus ke lembah kebinasaan, maka anda perlu sedar bahawa anda dikurniakan kejayaan tanpa diiringi redha-Nya. Jadi, kepada anda yang "hedonist" tetapi mendapat kejayaan 4.oo flat sekali pun janganlah merasa bangga dan bongkak, kerana Allah mengurniakan kejayaan kepada anda agar anda semakin jauh daripada-Nya. Maka insaflah.

Ilmiah dan Ilmuan

Universiti merupakan tempat untuk melahirkan para ilmuan dalam pelbagai bidang termasuk bidang kejuruteraan. Ia penting dalam membuat perencenaan dan perancangan untuk melihat masyarakat melayu mampu mencapai tahap kemajuan Jiwa dan Kebendaan. Ia bukanlah tempat untuk pemuda-pemudi beristirehat dan berseronok semata-mata tanpa batas dan sempadan, tapi yang lebih penting ia dijadikan medan untuk meningkatkan pemahaman dan pengaplikasian ilmu, mengasah idealisma pemikiran serta bakat kepimpinan yang ada selain menjadi tempat mereka mencurahkan bakti kepada masyarakat dan negara.

Masakan akan lahir tokoh seperti Ibn Sina jika hiburan diluar kawalan menjadi tonggak, masakan akan lahir tokoh seperti Ibn Rushd jika anda masih berfoya-foya dan leka dengan nyanyian-nyanyian dan tarian-tarian yang langsung tidak penting, masakan akan lahir tokoh seperti Al-Khawarizmi jika anda masih terkial-kial memberi sokongan padu sehingga menangisi penyingkiran "ahli-ahli syurganya" dalam konsert AF dan American Idol, masakan akan lahir tokoh seperti Al-Jazari jika anda masih terus lalai dibuai ulik mimpi yang indah-indah. Nyanyian, tarian, konsert, bermimpi, berkaraoke tidak salah jika semuanya itu tidak dilebih-lebihkan berbanding menuntut ilmu, memimpin dan beridealisma serta ia mematuhi disiplin berhibur dan yang paling penting tidak melampau batas sehingga di mana-mana perlu ada "hiburan sebegitu rupa".

Sedarlah, kita semua merupakan harapan bukan sekadar kepada ibu bapa, bangsa dan negara malahan merupakan harapan agama. Sudah tentu kita tidak mahu apa yang berlaku di Palentin menimpa negara kita pada masa akan datang, sudah tentu anda semua akan mengatakan tidak mahu. Tapi realitinya anda langsung tidak serius dalam tindakan untuk menunjukkan yang anda semua betul-betul tidak mahu kekejaman sebegitu rupa berlaku. Maka bertindak dan sedarlah, jika dunia mengetahui kita adalah pemuda Islam, maka mereka juga perlu tahu bahawa kita akan bangkit dan menguasai ekonomi, sosial, politik malahan negara mereka dengan kekuatan Ilmu dan rohani yang ada pada kita sebagai pemuda Islam. Wahai mahasiswa UniMAP, anda semua mampu. Maka buktikan lah..

"Unite for UniMAP"
-admin@unimapkini-

Tiada ulasan: