Bicara Siswa


Rabu, 11 Februari 2009

Mahasiswa UniMAP Perlu... Berubah

Mahasiswa universiti sebenarnya mempunyai peranan dan tanggungjawab yang cukup besar dalam kampus mahupun dalam kehidupan bermasyarakat. Mereka merupakan mutiara kepada negara bahkan bertindak sebagai agen perubahan yang dominan dalam membangunkan kekuatan rohani dan material sesebuah masyarakat.

Dalam era 80an hingga 90an, tanggapan dan pandangan masyarakat terhadap pemuda-pemudi yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti agak berbeza berbanding hari ini. Jika dahulu, sesebuah keluarga akan merasa bangga malahan masyarakat sekeliling merasa cukup hormat kepada mereka yang berjaya mendapat tempat di unversiti seterusnya bergelar sebagai seorang mahasiswa. Pada ketika itu, gelaran mahasiswa cukup tinggi "value"nya pada kaca mata masyarakat malahan mereka merasakan "aura" yang luar biasa wujud jika mereka dapat bergerak dan turun padang bersama.

Sejarah telah membuktikan bahawa peranan pemuda khususnya mahasiswa yang turun padang untuk menyedarkan masyarakat seterusnya memperjuangkan hak kemerdekaan negara cukup besar dan ia tidak boleh dipandang rendah dan dianggap tidak mempunyai apa-apa makna oleh generasi mahasiswa pada hari ini. Peranan mereka ketika itu mempunyai kelebihan yang luar biasa apabila mereka bukan hanya mampu menyedarkan masyarakat bahkan obor semangat kemerdekaan yang didoktrinkan mula meresap masuk dalam sanubari lapisan masyarakat. Inilah sumbangan besar "mutiara" negara dalam memerdekakan Tanah Melayu ketika itu.

Remaja Melayu & Hedonisma di UniMAP

Jika dahulu, terserlah kehebatan remaja melayu sebagai mahasiswa yang memperjuangkan kemerdekaan negara, tetapi kini entah mengapa saya rasakan, remaja melayu begitu sinonim dengan istilah hedonisma. Saya sedar ramai di kalangan kita tidak bersetuju malahan mungkin ada yang kurang senang dengan "pelabelan" ini. Ia tidak menjadi masalah, kerana memang begitu fitrah manusia, yang sentiasa tidak puas hati apabila kita menyentuh isu-isu kononnya "sensitif" bagi sesetangahnya. Namun, kita semua perlu sedar, kita seharusnya berpijak pada bumi yang nyata dan berfikir secara realistik, kerana kita bukan lagi berada di era purba atau zaman "dinasour". Inilah kenyataan yang perlu kita semua hadapi. Walaubagaimanapun, mungkin masih ada segelintir mahasiswa UniMAP yang memilih untuk hidup seperti era purba yang sentiasa "asyik" di buai rindu dan bayangan "semalam".

Istilah "Remaja Melayu" yang saya gunakan tidak perlu dipersoalkan kerana ia hanya sekadar merujuk kepada fokus penulisan saya. Tidak "significant" untuk membicarakan remaja berbangsa lain kerana saya sendiri adalah remaja melayu. Maka saya merasakan bertanggungjawab untuk memberi keutamaan kepada bangsa saya sendiri. Tidak ada masalah pun untuk anda semua atau pun saya sendiri menulis tentang remaja berbangsa lain, anda boleh sahaja melihat kehebatan dan kelemahan bangsa lain. Tetapi kali ini saya agak teruja untuk memberi tumpuan kepada remaja melayu, melihat kehebatan dan kelemahan yang ada, atas dasar yang paling mustahak kerana mereka adalah MUSLIM.

Walaubagaimanapun, saya akui tidak semua remaja melayu yang "bijak" membiarkan diri mereka terjebak dalam kancah hedonisma, kerana masih ada antara mereka yang meletakkan asas "Ilmiah" dalam segala tindakan serta pemikiran mereka. Ini terbukti apabila masih ada golongan mahasiswa yang mempunyai kesedaran tinggi, sentiasa berterusan dan komited memperjuangkan hak sebagai mahasiswa serta berusaha menentang dan membanteras hedonisma yang semakin menular di seluruh unversiti.

Sememangnya remaja melayu kebanyakannya pada hari ini telah rosak rohani dan pemikiran mereka dek kerana keseronokan dan hiburan yang berlebihan. Kedua-dua anasir ini telah menjadi tapak yang begitu kuat dalam hati dan pemikiran mereka seolah-olah ia merupakan dunia yang begitu penting dalam kehidupan seharian bak kata sesetangahnya "Rasa kosong dunia tanpa hiburan". Hal inilah yang telah mencetuskan kebimbangan sesetengah "pihak" yang begitu prihatin kerana mereka memandang serius akibat yang bakal berlaku dan melanda negara jika generasi mahasiswa kita sebegini rupa sehingga 20 tahun atau 50 tahun akan datang. Maka Berubahlah Mahasiswa UniMAP.

Bersambung....

Tiada ulasan: