Bicara Siswa


Sabtu, 29 Januari 2011

Program 7 Pillars:Seminar Patriotisme dan Jati Diri Pelajar UniMAP

26 Januari 2011:Satu program 7 pillars telah diadakan di Dewan Kapitol bertajuk Seminar Patriotisme dan Jati Diri Pelajar UniMAP.Program ini diwajibkan kepada semua pelajar Diploma UniMAP kemasukan 2010/2011.

Seminar ini adalah berbentuk forum yang terdiri dari 2 orang ahli panel.Antara perkara yang disentuh pada malam itu adalah pentingnya orang Melayu mempertahankan hak-hak orang Melayu.Begitu juga tentang isu Raja-Raja Melayu yang sudah tidak diendahkan sekarang.



Terdapat juga pelajar-pelajar India dan Cina dalam program tersebut.Para pelajar juga diseru supaya turut sama mengundi dalam Pilihan Raya Umum Malaysia nanti sebagai menunaikan hak selaku seorang pemilih.


Notis Pilihan Raya Kampus

1.1. Tarikh Pembubaran MPP 2010/2011 : 25 Januari 2011
1.2. Tarikh Penamaan Calon : 18 Februari 2011
1.3. Tarikh Pengundian : 24 Februari 2011

2.1. Konstituensi Pusat Pengajian
2.1.1 Kerusi PPK
2.1.2 Kerusi Diploma
2.1.3 Kerusi Pelajar Antarabangsa
2.2. Konstituensi Umum

3. Peruntukan kerusi untuk maksud pemilihan tersebut adalah seperti berikut ;

PECAHAN KERUSI

KONSTITUENSI JUMLAH KERUSI

Umum 9

Pusat Pengajian

PPK Komputer & Perhubungan 2
PPK Mikroelektronik 2
PPK Pembuatan 2
PPK Mekatronik 2
PPK Bahan 2
PPK Sistem Elektrik 2
PPK Alam Sekitar 2
PPK Bioproses 2
PPIPT 2
Diploma 2
Pelajar Antarabangsa 2

JUMLAH 31

4. Borang Penamaan Calon ;

(i) Tarikh Pengambilan Borang - Mulai 10 hingga 17 Februari 2011

(ii) Tempat Mengambil Borang - Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni
Jalan Serawak, Taman Bukit Kubu Jaya
02000 Kuala Perlis.

(iii) Masa Mengambil Borang - 09.30 pagi – 04.00 petang

(iv) Bayaran Pengambilan Borang - RM 50.00/borang

5. Penamaan calon bagi pemilihan tersebut akan diadakan pada 18 Februari 2011, jam 08.30 pagi hingga
12.00 tengahari di lokasi seperti berikut ;

Konstituensi Umum - Bilik Mesyuarat,
Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni
Jalan Serawak, Taman Bukit Kubu Jaya
02000 Kuala Perlis, Perlis

Konstituensi Pusat Pengajian - Pusat Pengajian masing-masing

Kerusi Diploma - Unit Penyelarasan Program Diploma
Taman Semarak II, 02000 Kuala Perlis, Perlis

Kerusi Antarabangsa - Pusat Hal Ehwal Antarabangsa (PHEA)
Aras 1, Taman Kechor Indah, Fasa II
Jalan Abi Tok Hashim, 01000 Kangar, Perlis

6. Sekiranya wujud pertandingan bagi kerusi-kerusi yang dinyatakan maka pengundian atau “Hari
Mengundi” akan diadakan pada 24 Februari 2011 bertempat di Pusat Pengajian masing-masing
secara “E-voting”. Pusat penjumlahan undi akan diadakan di Dewan Serbaguna, Kolej Kediaman
Kampung Wai pada hari yang sama.

7. Butiran lain yang berkaitan seperti Syarat-Syarat Penamaan Calon, Tatacara Pemilihan MPP
Universiti Malaysia Perlis 2011 Dan Aliran Perjalanan Pemilihan akan disertakan semasa pembelian
Borang Pencalonan.

8. Sebarang maklumat lanjut boleh dihubungi di talian 04-985 1244/1370 atau 04-985 4524
Pengerusi


Jawatankuasa Pemilihan
Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Malaysia Perlis
Tarikh : 26 Januari 2011

Rabu, 19 Januari 2011

Benarkah ada mahasiswa UniMAP dicabul?

Pihak UniMAPKini mendapat maklumat,baru-baru ini ada kes mahasiswi UniMAP telah dicabul.Kejadian itu dikatakan berlaku di Kolej Kediaman di Wang Ulu.

Khabarnya mahasiswi tersebut telah membuat laporan.Namun dia telah diberi tawaran sesuatu supaya kes ini didiamkan kerana ingin menjaga nama baik universiti.

Maka begitu,jika terjadi kepada anak atau adik atau kakak kepada tuan-tuan,maka bolehlah didiamkan demi menjaga nama baik institusi.Biarlah hak mangsa terabai.

Benarkah peristiwa ini terjadi?
Jika sesiapa ada maklumat sahih,sila laporkan.

UniMAP perlu jawab



UniMAP berdiam diri tentang isu ini.

dipetik dari laman web Timbalan Menteri KPT

http://www.saifuddinabdullah.com.my/post/2010/09/06/UniMAP-tidak-pernah-ada-pilihan-raya-kampus.aspx

Sabtu, 8 Januari 2011

Saifuddin gesa IPT terima inovasi demokrasi, buang karenah birokrasi

KUALA LUMPUR, 21 Dis — Institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan perlu segera menerapkan budaya “inovasi demokrasi”, antara lain membuang amalan karenah birokrasi yang masih mengekang kebebasan para pelajar, kata Datuk Saifuddin Abdullah hari ini.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi ini berkata, budaya inovasi perlu bermula dari usia muda, contohnya di kalangan pelajar IPT.

Kata beliau, walaupun Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) telah dipinda dan banyak pelan transformasi telah dilancarkan, malangnya pelajar masih dikekang oleh karenah birokrasi.

“Contoh karenah birokrasi yang mengekang inovasi pelajar IPT yang perlu dihapuskan segera ialah pelajar dikehendaki menyediakan kertas kerja tebal untuk menganjurkan aktiviti mudah seperti ceramah dan forum.

“Sepatutnya surat dan borang ringkas memadai,” kata beliau pada kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Malah kata beliau, pelajar terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan kelulusan aktiviti kerana pegawai bercuti dan sebagainya.

“Sepatutnya kelulusan disegerakan kerana hayat keaktifan pelajar adalah mengikut sesuatu semester sahaja, justeru mereka tidak mempunyai tempoh masa yang panjang untuk sesuatu aktiviti,” katanya.

Selain itu kata Saifuddin, pelajar juga dilarang menganjurkan sesuatu aktiviti kerana ia tidak selari dengan minat pegawai. “Sepatutnya pelajar diberi kebebasan untuk menganjurkan aktiviti mengikut minat mereka, kerana yang menyertainya ialah pelajar, bukannya pegawai,” kata beliau lagi.

Malah menurut Ahli Parlimen Temerloh ini, aktiviti pelajar dikekang oleh kekurangan atau ketiadaan peruntukan, tetapi apabila untuk aktiviti lain, maka ada pula peruntukannya. “Sepatutnya seboleh-bolehnya dijimatkan peruntukan supaya pelajar dapat menganjurkan sebanyak mungkin aktiviti,” katanya.

“Apabila pelajar mencari dana sendiri, mereka disukarkan pula untuk mendapatkannya untuk menyelesaikan urusan pembayaran aktiviti. Ada kes saya dahulukan duit saya, bukan kerana pelajar minta, tapi kerana IPT lambat keluarkan dana yang dicari pelajar sedangkan pelajar sedang dalam peperiksaan dan dikejar pembekal untuk pembayaran.

“Sepatutnya semakin pelajar bijak mencari dana sendiri, semakin dipermudahkan urusan mereka,” tambah timbalan menteri.

Di samping itu beliau juga mendedahkan bahawa pelajar dimarahi kerana menghubungi menteri atau timbalan menteri, yang terbuka dan suka merapati pelajar, secara langsung secara terus melalui media sosial.

“Sepatutnya pelajar digalakkan untuk merapati menteri atau timbalan menteri secara terus,” katanya lagi.
Justeru kata beliau, budaya inovasi adalah satu daripada nilai aspirasi dalam gagasan 1 Malaysia.
Katanya, budaya inovasi merujuk kesediaan berubah, mencuba perkara dan cara baru dalam kehidupan.

“Dari segi konsep, budaya inovasi merangkumi kreativiti dan inovasi yang menjadi penggerak kepada pertumbuhan dalam setiap bidang.

“Kreativiti melibatkan pemikiran, idea dan gagasan baru manakala inovasi meliputi penambahbaikan dan penyesuaian kepada kreativiti yang sedia ada hingga memberi nilai tambah yang boleh digunakan termasuk dalam bentuk barangan dan perkhidmatan dengan bermanfaat, termasuk boleh dikomersialkan.

“Inovasi tidak boleh dikhususkan atau dihadkan dalam bidang sains dan teknologi semata-mata. Sebaliknya, ia perlu diamalkan dalam setiap bidang, termasuk dalam politik, iaitu dengan melakukan inovasi politik atau inovasi demokrasi,” katanya.

http://www.saifuddinabdullah.com.my/post/2010/12/22/Saifuddin-gesa-IPT-terima-inovasi-demokrasi-buang-karenah-birokrasi.aspx

dipetik daripada laman web Timbalan Menteri KPT.

2011 tahun penuhi permintaan belia


MUTAKHIR ini, kita banyak berbicara tentang keperluan untuk menyelami minda belia (termasuk remaja, mahasiswa dan pelajar). Pelbagai langkah telah dilakukan untuk lebih memahami generasi tersebut.
Antaranya ialah perjumpaan tidak rasmi, perbincangan, konvensyen, kajian dan makmal yang melibatkan perwakilan belia. Melalui langkah-langkah itu, banyak idea telah diluahkan oleh belia.
Sebahagian daripada idea itu telah dilaksanakan dalam bentuk program dan aktiviti yang konkrit. Bagaimanapun, masih banyak yang belum diambil tindakan. Kini, belia menunggu, melihat dan menilai. Adakah kita benar-benar serius dalam merealisasikan idea mereka itu? Atau, kita sekadar mendengar kosong, iaitu untuk menunjukkan yang kononnya kita meraikan mereka, tetapi tidak lebih daripada itu? Umpama melepaskan batuk di tangga sahaja?

Justeru, sementara kita baru sahaja melangkah ke tahun 2011, jika ada perkara pokok yang mesti dilakukan sepanjang tahun ini, maka, pada saya, ia adalah untuk benar-benar memenuhi permintaan belia, terutamanya apa-apa yang telah dikemukakannya melalui pertemuan-pertemuan yang kita aturkan.

Seperti yang selalu saya nyatakan, terdapat “tiga permintaan asas belia”, iaitu belia mahu suaranya didengar, belia mahu peranannya diiktiraf, dan belia mahu isu-isunya ditangani dengan cara yang berorientasikan mereka.

Pada tahun 2010, terdapat beberapa peristiwa penting yang memenuhi permintaan asas itu. Contohnya, ialah pertama, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerjemahkan beberapa resolusi Makmal Pemuda Barisan Nasional (BN) dalam ucapan Bajet 2011, seperti skim perumahan belia, Dana Belia 1Malaysia dan perbincangan gaji minimum.

Kedua, Universiti Sains Malaysia (USM) menjalankan sidang pertama Parlimen Mahasiswa yang diiktiraf sebagai sebahagian daripada kerangka governans universiti tersebut.

Ketiga, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menubuhkan Jawatankuasa MQA-Pelajar untuk membincangkan kualiti pendidikan yang ditawarkan IPT tempatan.
Dan keempat, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mengumumkan akan menawarkan biasiswa kokurikulum yang pertama, iaitu dalam bidang koperasi, kepada pelajar IPT. Ia sama seperti biasiswa sukan yang ditawarkan Majlis Sukan Negara (MSN).

Namun demikian, dalam keadaan yang lain, malangnya, masih wujud penentangan terhadap permintaan asas itu. Contohnya ialah tentang cadangan membenarkan pelajar IPT berpartisipasi dalam politik.
Cadangan itu mendapat banyak sokongan. Contohnya, daripada Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis), Majlis Belia Malaysia (MBM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar IPT 2010, Makmal Pemuda BN dan Makmal Transformasi Pembangunan Belia Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Tetapi, wujud halangan berbentuk mentaliti negatif apabila ada di kalangan kita tidak percaya kepada pelajar IPT, memperlekehkan mereka, menggunakan taktik menakut-nakutkan untuk mengongkong kebebasan mereka, masih terperuk dalam kerangka politik lama yang tidak memahami realiti semasa dan sebagainya.

Di samping itu, terdapat juga sindrom “anti-pemikiran” dan “anti-intelektual” yang menolak atau tidak senang melihat idea-idea, apa lagi idea-idea baru didebatkan, didialogkan dan dihujahkan secara terbuka, rasional dan bijaksana.

Fenomena penentangan terhadap permintaan asas belia berlaku seakan-akan fenomena yang dibicarakan dalam buku tulisan Michael Specter (2010), Denialism. Ia mengisahkan bagaimana pemikiran tidak rasional, iaitu ketidaksediaan untuk menerima realiti yang kompleks, merosakkan kehidupan manusia.

Mujurlah Najib menyatakan yang beliau terbuka untuk membincangkan perkara ini. Kerana itu, belia menaruh harapan yang tinggi menggunung kepadanya.

Pada penghujung 2010, Najib membuat satu kenyataan yang amat penting dalam konteks permintaan belia, iaitu beliau menganggap remaja sebagai “rakan kongsi” kerajaan.

Ini bersesuaian dengan keperluan menghayati hakikat bahawa, di samping sebagai pemimpin masa depan, sebenarnya belia adalah juga pemimpin hari ini, iaitu pemimpin bagi generasi yang lebih muda daripadanya, pemimpin bagi angkatannya, dan rakan kepemimpinan dengan sektor-sektor kerajaan/politik, perniagaan dan masyarakat sivil.

Satu daripada kaedah untuk merealisasikan peranan belia sebagai rakan kepemimpinan ialah dengan melakukan inovasi demokrasi, iaitu dengan meningkatkan dan meluaskan partisipasi belia dalam struktur dan proses membuat keputusan.

Kerana itu, kita perlu memulakan diskusi tentang inisiatif-inisiatif inovasi demokrasi, seperti pendaftaran automatik pemilih, menurunkan umur layak mengundi kepada 18 tahun, melantik wakil belia sebagai Senator dan ahli Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan sebagainya.

Dalam konteks pembangunan belia, sebagai penulis Dasar Pembangunan Belia Negara (DPBN) 1997, saya mencadangkan (sejak 2007) supaya ia dikaji semula agar sesuai dengan keadaan dan keperluan semasa.

Di samping itu, Makmal Transformasi Pembangunan Belia (KBS) telah mencadangkan 4 Inisiatif Transformasi, 11 Intervensi Polisi dan 4 Polisi Pemangkin yang amat penting. Antaranya, ialah menubuhkan Dewan Belia Malaysia (Parlimen Belia) dengan mentransformasi Majlis Perundingan Belia Negara yang sedia ada, meningkatkan penglibatan belia dalam kerajaan tempatan, mempromosi keusahawanan sosial dan menyediakan road map bagi sistem 1Sekolah.

Kita perlu merealisasikan permintaan-permintaan tersebut dengan seadanya. Belia hari melihat isu-isu di depan matanya dengan kaca mata hari depan yang segar. Mereka tidak mewarisi beban hari semalam seperti kita. Jadi, berlapang dadalah memenuhi permintaan mereka tanpa banyak tapisan.

Kita juga mesti segera menghapuskan kerenah birokrasi, yang turut berlaku di sesetengah IPT, yang membantutkan usaha-usaha belia dalam memenuhi sendiri permintaannya. Contohnya ialah:

Pelajar dikehendaki menyediakan kertas kerja tebal untuk menganjurkan aktiviti mudah seperti ceramah dan forum.

Pelajar terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan kelulusan aktiviti kerana pegawai bercuti dan sebagainya.

Pelajar dilarang menganjurkan sesuatu aktiviti kerana ia tidak selari dengan minat pegawai. Aktiviti pelajar dikekang oleh kekurangan/ketiadaan peruntukan, tetapi apabila untuk aktiviti lain, maka, ada pula peruntukannya.

Apabila pelajar mencari dana sendiri, mereka disukarkan pula untuk mendapatkannya untuk menyelesaikan urusan pembayaran aktiviti.

Pelajar dimarahi kerana menghubungi Menteri/Timbalan Menteri (yang terbuka dan suka merapati pelajar) secara terus melalui media sosial.

Sebelum ini, sebahagian besar belia menganggap kita tidak mempedulikan permintaan mereka, lalu menolak kita. Apabila kita insaf akan kesilapan itu, lalu mendekati mereka semula, mereka memberi kita peluang kedua. Tetapi, kalau kali ini kita tersilap lagi, kita tidak akan dapat peluang itu sekali lagi.

http://www.saifuddinabdullah.com.my/post/2011/01/05/2011-tahun-penuhi-permintaan-belia.aspx

dipetik dari laman web Dato' Saifuddin Abdullah,Timbalan Menteri KPT

Isnin, 3 Januari 2011

SELAMAT KEMBALI KE KAMPUS

Pihak UniMAPKini mengucapkan selamat datang ke kampus kepada semua warga UniMAP.

Semoga sem ini akan akan lebih cemerlang bersama dalam membawa kampus kita ke persada yang lebih baik.

ILMU,KEIKHLASAN DAN KECEMERLANGAN