Bicara Siswa


Jumaat, 27 Februari 2009

Kerajaan perlu ambil alih konsesi tol, jangan biar rakyat melarat!

Disunting Daripada Akhbar Tempatan
KUALA LUMPUR, 27 Feb - Kenaikan kadar tol yang akan berkuatkuasa 1 Mac di lima konsesi lebuhraya hanya akan menambah beban rakyat tatkala ekonomi negara semakin parah.


Penangguhan kenaikan bukanlah langkah terbaik kerana apapun kerajaan masih terpaksa membayar pampasan sekiranya penangguhan kenaikan dilakukan, kata Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar.

Akhirnya wang rakyat juga yang terpaksa digunakan bagi membayar pampasan ini yang hanya akan terus memberi keuntungan kepada pemegang konsesi sahaja, katanya.

Walhal pemegang konsesi yang pastinya mendapat keuntungan kerana bilangan kadar penambahan kenderaan setiap tahun, katanya.


Langkah terbaik kata Mahfuz ialah kerajaan secara serius perlu mengambil alih konsesi dengan perbelanjaan yang pernah dianggarkan oleh beberapa NGO hanya pada kadar beberapa bilion sahaja, katanya.

"Langkah ini lebih penting berbanding kerajaan terus menerus menggunakan terma perjanjian dengan pemegang konsesi untuk menaikkan kadar tol dalam tempoh tertentu atau membayar pampasan jika tidak menaikkan kadar tersebut," katanya.

Hal ini penting difikirkan pimpinan kerajaan terutamanya kabinet yang sebelum ini membuat keputusan yang lansung tidak memikirkan keadaan unjuran ekonomi walhal mereka tahu akan senario tersebut, katanya.

"Akibatnya kini (jika naik kadar tol), rakyat yang sudah melarat kerana masalah ekonomi akan terus merempat dan terpaksa mengikat perut," katanya.

Sementara itu beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan sikap berpura-pura pemimpin Umno/BN yang kononnya membantah kenaikan kadar tersebut Mac ini.

Walhal, pemimpin BN lah yang sebenarnya mempertahankan kepentingan pemegang konsesi yang pada hematnya adalah 'funder' kepada Umno/BN termasuk untuk rasuah dan politik wang, dakwanya.

Sementara itu Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar turut kecewa dengan sikap pemimpin BN yang hanya mengutamakan kepentingan syarikat konsesi tol sahaja.

Beliau yang ditemui baru-baru ini menyelar sikap kepimpinan BN yang tidak mahu menghalang kenaikan harga tol ini, sedangkan mereka sebenarnya tahu rakyat kini tersepit dalam kegawatan ekonomi.

"Di mata pemimpin BN rakyat seakan tidak ada erti, malah mereka hanya leka dengan soal politik sendiri terutama menjelang pemilihan Umno Mac ini," katanya.

Senada dengan pemimpin PAS itu, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan tidak munasabah kerajaan tersebut dalam kegawatan ekonomi.

Beliau sendiri akan berbincang dengan pimpinan Pakatan Rakyat samada akan membawa usul atau membahaskan isu kenaikan harga tol itu di Parlimen.

Setelah lebih setahun ditangguhkan ,Menteri Kerjaraya Dato' Nohamad Zin Mohamad Khamis umum kenaikan kadar tol di lima lebuhraya.

Ia akan bekuatkuasa 1 Mac di lima lebuhraya antaranya Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus), Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik Kl Barat (Sprint), Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuh Raya Sungai Besi (Bestraya) dan Lebuh Raya Baru Pantai (NPE).

Sementara itu dalam satu jawapan bertulis Kementerian Kerja Raya menyatakan, jumlah kutipan tol yang telah dikutip oleh Projek Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) dari tahun 2004 hingga 2007 adalah sebanyak RM6.68 billion.

Walaubagaimanapun jumlah kutipan hasil tol bagi tahun 2008 masih belum disahkan oleh juruaudit bersama di antara Kerajaan dan syarikat konsesi.

Sepanjang tempoh tersebut, hanya pada tahun 2004 jumlah pendapatan yang direkodkan melebihi "threshold toll revenue" yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi PLUS. Untuk itu, kerajaan telah menerima perkongsian hasil tol sebanyak RM4.08 juta.

Tiada ulasan: