Bicara Siswa


Ahad, 1 Mac 2009

Tak perlu tambah universiti

Disunting Daripada Akhbar Tempatan
Kerajaan tumpu mantap pembangunan prasarana, modal intelektual


KUANTAN 1 Mac - Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan tidak akan menambah bilangan universiti awam serta swasta kerana jumlah yang ada sudah mencukupi.

Sebaliknya kata Timbalan Perdana Menteri, kerajaan akan memberi tumpuan sepenuhnya bagi memantapkan pembangunan prasarana dan modal intelektual.



NAJIB bertanya sesuatu kepada Dr Daing Nasir sambil diperhatikan Mohamed Khaled (kanan) dan Adnan (tengah) sebelum merasmikan Karnival Pengajian Tinggi Negara Zon Timur di Universiti Malaysia Pahang (UMP), di Kuantan, semalam.

Beliau berkata, pada ketika ini ada 20 universiti awam dan 21 universiti swasta di seluruh negara.

"Bilangan universiti sekarang ini sudah cukup dan tidak ada keperluan lagi (untuk bina universiti baru). Setiap negeri sudah ada universiti termasuk negeri yang diperintah pembangkang.

"Sekarang masa beri tumpuan supaya universiti yang ada ini menjadi pusat kecemerlangan akademik dan melahirkan pelajar yang hebat dalam akademik serta benar-benar terdidik dan mempunyai nilai tambah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Pengajian Tinggi Negara Zon Timur di Universiti Malaysia Pahang (UMP), di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Datuk Mohd Hilmey Mohd Taib dan Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim.

Najib berkata, kerajaan mahu memberi lebih fokus kepada pembangunan prasarana dan modal intelektual supaya setiap universiti di negara ini dapat melahirkan graduan cemerlang dalam akademik dan memiliki personaliti yang terbaik.

"Kita akui proses ini akan mengambil masa, sebab itu kena pastikan setiap universiti dapat membangunkan kemudahan prasarana dan modal intelektual sampai ke tahap optimum.

"Ini termasuk ketetapan Kementerian Pengajian Tinggi supaya 70 peratus tenaga pengajar universiti awam dan swasta memiliki ijazah kedoktoran (PhD)," katanya.

Selain itu, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, kerajaan sedia menambah kuasa autonomi kepada setiap universiti pada masa akan datang supaya mereka dapat meneruskan kecemerlangan dalam bidang masing-masing.

"Kita perlu memberi peluang kepada universiti mencapai tahap matang dan optimum menerusi kuasa autonomi yang ada pada mereka.

"Ini termasuk memberi tambahan kuasa membuat keputusan dari segi menentukan pelantikan tenaga pensyarah, kurikulum, perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D), lawatan dan kursus ke luar negara," katanya.

Terdahulu, Najib menyaksikan dua majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UMP dan Hicom Automotive Manufacturers Sdn Bhd serta Pasdec Holdings dalam bidang penyelidikan dan pembangunan modal insan.

UMP diwakili Daing Nasir dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Rosli Mohd Yunus, Hicom Automotive Manufacturers Sdn Bhd pula oleh Pengerusinya, Datuk Syed Mohamad Syed Murtaza dan Ketua Eksekutifnya, Abdul Rashid Musa manakala Pasdec Holdings diwakili Adnan dan Pengarahnya, Datuk Lias Mohd Noor.

Tiada ulasan: