Bicara Siswa


Jumaat, 6 Mac 2009

Mahasiswa: Tangani Kes Buli Cara Islam

Disunting Daripada Akhbar Tempatan
Oleh: ZULZAIDI MAHMOD

KES buli pelajar kini bagaikan 'pesta' berikutan terpampang satu demi satu di media mengenai pembongkaran masalah gengsterisme di sekolah.

Kejadian buli boleh dianggap tradisi, terutama di asrama sekolah. Selalunya pelajar senior Tingkatan Empat hingga Tingkatan Enam yang melakukan perkara itu. Pelajar junior yang bermasalah dan disyaki bersalah seperti mencuri, menghisap rokok dan ponteng tidak terus dihadapkan kepada lembaga disiplin sekolah atau asrama tetapi kepada pelajar senior untuk diambil tindakan dan hukuman.

Tindakan yang diambil pelajar senior adalah dengan memukul mangsa sehingga pengsan, luka, patah, malah ada yang sampai mati. Perkara itu memang kesalahan yang sukar dimaafkan kerana tindakan diambil pelajar berkenaan menyalahi undang-undang.

Sepatutnya, jika pelajar membuat masalah, perlulah terus dihadapkan kepada lembaga disiplin sekolah atau asrama kerana tindakan disiplin akan diambil mengikut prosedur.

Kes gengsterisme sekolah juga tidak pernah peduli sama ada pelajar terbabit benar atau tidak, yang penting mereka mahu melepaskan geram terhadap junior.

Masalah itu sukar diselesaikan, namun sekiranya semua pihak berganding bahu mendokong penyelesaiannya secara berhikmah, ia pasti berjaya. Dicadangkan masalah gengsterisme pelajar beragama Islam perlu ditangani secara Islam.

Dengan menanam nilai kerohanian dalam diri semua pelajar seperti dekati pelajar dengan al-Quran, suasana sekolah berlanskap Islamik contohnya papan tanda yang memuji Allah SWT boleh mewujudkan kesedaran.

Kebanyakan pelajar kini kurang mengenali huruf al-Quran apatah lagi membacanya.

Sekolah bertanggungjawab memastikan kes itu tidak berulang. Guru disiplin perlu lebih tegas dalam memastikan masalah buli tidak berleluasa. Cadangan pembaca, Hasnol Hassan dalam ruangan ini, dengan menanam nilai kerohanian melalui Badan Dakwah dan Kerohanian Sekolah (Badar) adalah langkah bijak.

Jika semua pelajar terbabit dalam badan dakwah ini secara tidak langsung suasana sekolah dan asrama lebih berunsurkan Islam akan memberi kesan dalam diri pelajar dan secara tidak langsung pelaksanaan program kerohanian dapat berjalan dengan lancar di sekolah dan asrama.

ZULZAIDI MAHMOD,
Universiti Malaya
Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: