Bicara Siswa


Selasa, 3 Mac 2009

Iran Nafi Mahu Keluar Bom Nuklear

TEHERAN - Iran semalam menafikan bahawa negara itu berusaha untuk mengeluarkan bom nuklear susulan dakwaan pemerintah tentera Amerika Syarikat (AS), Laksamana Mike Mullen yang menyatakan Teheran kini mempunyai cukup bahan untuk membina senjata berkenaan.


GAMBAR fail menunjukkan seorang pegawal keselamatan mengawasi ruang dalam loji janakuasa nuklear di Bushehr pada 25 Februari lalu.



"Semua kenyataan itu tidak berasas," kata jurucakap Kementerian Luar, Hassan Ghashghavi dalam satu sidang akhbar.

Mullen dalam satu kenyataan ketika ditemu bual stesen televisyen CNN kelmarin berkata, pihaknya yakin Teheran mempunyai keupayaan tersebut.

Hassan bertegas, program nuklear Iran sentiasa dipantau Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

"Secara teknikalnya, terdapat banyak kamera IAEA dan ujian terhadap ketulenan pengayaan uranium Iran.

"Justeru, bagaimana bahan mentah boleh dijadikan uranium tulen jika ada pemantauan ketat?" kata Hassan.

Laporan IAEA pada bulan lalu menyatakan Teheran mempunyai 1,010 kilogram uranium berkualiti rendah setelah menjalani proses pengayaan di loji Natanz.

Pakar IAEA menyatakan bom atom memerlukan 1,700 kilogram uranium berkualiti tinggi namun ada pakar yang menyatakan kuantiti kecil sudah memadai.

Tiada ulasan: