Bicara Siswa


Selasa, 3 Mac 2009

Bajet Mini Petunjuk Tahap Kemelesetan Ekonomi

Akhbar Tempatan
KUALA LUMPUR 2 Mac - Keberkesanan usaha menangani krisis global melalui bajet mini akan menjadi penunjuk utama untuk menentukan tahap kemelesetan ekonomi yang dialami oleh Malaysia pada tahun ini.


Para penganalisis ekonomi dan pasaran tempatan menyifatkan Malaysia yang sudah pun berada dalam kemelesetan, kini dalam keadaan kritikal untuk memastikan ekonomi negara terus bertahan.

Ini berikutan tiga sumber utama pendapatan negara iaitu eksport, pendapatan daripada barangan elektrik dan elektronik serta minyak sawit mentah yang menyumbang 50 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merosot teruk.

Perkembangan itu dikhuatiri akan menyebabkan negara mengalami kemelesetan teknikal berlarutan pada suku pertama hingga suku ketiga tahun ini.

Ketua Pegawai Pelaburan ASM Investment Services Bhd., Rusli Abu Yamin menaruh harapan agar kerajaan dapat mengurangkan kerenah birokrasi dalam pengagihan projek-projek terpilih yang akan dilaksanakan agar pelaksanaannya dapat disegerakan.

Menurut beliau, sekiranya pengagihan projek yang disusun dalam bajet mini dibuat seperti pakej rangsangan pertama, ia akan menyebabkan negara mengalami kerugian besar.

''Saya menyatakan demikian kerana kesan daripada pakej rangsangan pertama masih belum dirasai oleh rakyat sedangkan keadaan ekonomi semakin teruk,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Berikutan itu, Rusli mencadangkan agar kerajaan menyerahkan peruntukan yang disediakan dalam bajet mini terus kepada bank kerana cara itu lebih cepat dalam menangani krisis yang begitu mencabar sekali.

''Saya melihat kerajaan akan mengalami kesukaran pengagihan yang sama dibuat kerana ia akan melalui kementerian terlebih dahulu, kemudian kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan sebelum sebarang projek dilakukan.

''Birokrasi ini memakan masa, ini belum lagi berhadapan dengan kerenah kerajaan-kerajaan negeri yang diperintah oleh pembangkang,'' ujarnya.

Jelasnya, dalam keadaan sekarang Kerajaan Pusat perlu menggunakan 'paksaan' walaupun negara mengamalkan liberalisasi ekonomi, jika tidak semua usaha akan musnah.

''Yang penting kenal pasti projek dan serahkan kepada kontraktor yang layak. Kerajaan hanya perlu memantau sahaja,'' tambah beliau.

Sementara itu, penganalisis OSK Research, Loke Siew Ting pula mengunjurkan Malaysia berpotensi untuk mengalami kemelesetan yang teruk berbanding jangkaan awal penurunan satu peratus pada tahun ini.

''Sejauh mana kesan yang akan diterima oleh negara amat bergantung kepada kejayaan pelaksanaan bajet mini yang akan diumumkan nanti,'' katanya.

Tambah beliau, pada pandangannya kerajaan akan mengumumkan pakej rangsangan yang komprehensif dan 'hebat' meskipun sekiranya terpaksa berhadapan dengan peningkatan bajet defisit sehingga 10 peratus, kadar tertinggi sejak 1980an.

Tiada ulasan: