Bicara Siswa


Ahad, 1 Mac 2009

Etnik Tanpa Negara, Myanmar

Sampai bilakah nasib etnik Rohingya yang dinafikan kerakyatan mereka di negara Myanmar akan terbela?


DUA kanak-kanak pelarian Myanmar menunjuk perasaan di hadapan kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur.


UNTUK beberapa generasi, etnik Muslim Rohingya mampu bertahan daripada penindasan pemerintah junta di Myanmar, negara yang didominasi oleh penganut Buddha.

Kesengsaraan etnik Rohingya yang berasal daripada keturunan pedagang Arab dari abad ketujuh, meraih perhatian antarabangsa sejak sebulan lalu selepas lima bot yang dipenuhi pendatang yang keletihan ditemui di perairan sekitar Indonesia dan kepulauan Andaman.

Tidak seperti penduduk Kurdish dan Palestin, tiada siapa dapat menyamakan mereka dengan nasib etnik Rohingya. Kebanyakan negara Islam melihat mereka sebagai sumber buruh murah untuk kerja yang kotor dan berbahaya.

"Etnik Rohingya mungkin merupakan golongan masyarakat yang paling tiada mempunyai rakan di dunia. Secara keseluruhannya, tiada seorang pun yang menyokong mereka.
"Tidak seorang pun daripada mereka mempunyai status sah menduduki mana-mana negara di dunia," kata Kitty McKinsey, jurucakap Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian.

Dianggarkan terdapat kira-kira 750,000 etnik Rohingya menetap di kawasan pergunungan utara di wilayah Rakhine atau dikenali sebagai Arakan yang bersempadan dengan Bangladesh.

Setiap tahun, ribuan etnik Rohingya meninggalkan wilayah tersebut untuk melarikan diri daripada kehidupan yang penuh penghinaan di mana undang-undang menyekat mereka daripada diiktiraf menjadi rakyat asal negara itu.

Jurucakap kerajaan ketenteraan Myanmar, tidak memberi sebarang respons terhadap e-mel yang meminta komen mereka mengenai perkara itu.


SEKUMPULAN etnik Rohingya diiringi pegawai polis Thailand untuk dibicarakan di mahkamah kerana memasuki Thailand secara haram.


Mereka berulang kali menafikan telah menganiaya etnik Rohingya meskipun Amnesty International mengatakan pihak junta menggambarkan golongan itu lebih teruk daripada manusia. Kumpulan pejuang hak kemanusiaan telah membukukan penganiayaan yang tersebar luas termasuk buruh paksa, rampasan tanah dan rogol.

"Mereka seperti hidup di dalam neraka," kata Mohammad Zagit, 23, yang meninggalkan negara itu selepas pihak tentera menyita sawah padi milik keluarganya dan kemudian menyumbat dirinya ke dalam penjara kerana bersolat di sebuah masjid tempatan.

Zagit menceritakan pengalaman hidupnya dari katil sebuah hospital di Thailand, di mana dia ditahan selepas meninggalkan Myanmar.

"Kami tidak mempunyai hak," kata Muhammad Shafirullah, salah seorang daripada 200 etnik Rohingya yang diselamatkan oleh tentera laut Indonesia pada minggu lalu.

Shafirullah menceritakan bagaimana dia dipenjarakan di Myanmar dan tanah milik keluarganya dirampas dan sepupunya diheret ke dalam hutan lantas ditembak mati.

"Mereka merogol dan membunuh kaum wanita. Kami juga tidak boleh mengamalkan ajaran Islam seperti bersolat dan membaca al-Quran. Selain itu, kami turut dihalang untuk berjalan dari satu kampung ke kampung yang lain.

"Ia sesuatu yang mustahil untuk dilakukan. Malah, untuk ke sekolah atau berkahwin dengan penduduk kampung lain juga tidak dibenarkan. Bayangkan bagaimana teruknya kehidupan kami yang perlu dilalui," jelas Shafirullah.

Sejak tahun 1970, dua serangan yang dilakukan oleh pihak ketenteraan dan penduduk kampung beragama Buddha memaksa ratusan ribu etnik Rohingya melarikan diri sehingga ke sempadan Bangladesh, sebuah negara Islam di mana penduduknya bertutur dalam bahasa yang sama.

Ramai yang telah dihantar pulang sejak peristiwa itu, tetapi kira-kira 200,000 masih bekerja di sana sebagai pendatang tanpa izin manakala 28,000 lagi tinggal di kem pelarian yang kotor dan serba kekurangan.

"Keganasan ke atas wanita etnik Rohingya adalah satu perkara biasa dan mereka berhadapan ancaman hukuman penjara disebabkan status tidak sah mereka," kata Chris Lewa, koordinator Projek Arakan di Bangkok dan kumpulan yang menyokong pelarian ini.

Ribuan etnik Rohingya telah dibawa keluar melalui jalan laut dari Bangladesh untuk mencari peluang pekerjaan yang lebih baik, tetapi berakhir dengan tragedi menyayat hati seperti lemas atau dijadikan barang penjual dagangan haram.

Selama beberapa tahun, etnik Rohingya mengembara hingga ke Timur Tengah untuk bekerja dengan hampir setengah juta berada di Arab Saudi.


MOHAMAD SALIM menunjukkan dokumen diri semasa menerima rawatan di Hospital Ranong, Thailand.


Tetapi, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, disebabkan halangan birokratik yang dihadapi umat Islam berikutan serangan 11 September, ramai di antara mereka cuba datang ke Thailand dengan menaiki bot dan kemudian melalui jalan darat ke Malaysia.

Seramai 14,300 etnik Rohingya yang berada di Malaysia hidup dalam serba kekurangan dan kemungkinan akan ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan sebagainya.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Wow, fantastic blog layout! How long have you been blogging for?
you make blogging look easy. The overall look of your site is fantastic, as well as the content!


Check out my webpage ... Raspberry Ketones