Bicara Siswa


Jumaat, 6 Mac 2009

Model Kepimpinan Yang Merobah

Daripada Aktivis Mahasiswa

Almarhum Bapak Mohammad Natsir (mantan Perdana Menteri Indonesia) pernah mengatakan, "Tidak ada percetakan yang bisa mencetak pemimpin". Menurut Natsir lagi, pemimpin tidak lahir di bilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas di kancah gelandangan ummah, muncul di tengah-tengah pergumulan masalah, menonjol dari kalangan rakan-rakan seangkatannya, lalu diterima dan didukung oleh umat."

Justeru itu, kita melihat bagaimana kepimpinan mahasiswa di kampus harus diperkasakan dalam melahirkan golonan intelektual yang akan menjadi harapan ummah pada masa akan datang. Ini kerana, kebanyakan mahasiswa tidak mampu mendepani ledakan arus globalisasi yang kian menghimpit struktur masyarakat kini. Harus diingat, gerakan mahasiswa merupakan suatu kuasa yang perlu diambil perhatian kerana ia mempunyai sejarah yang tersendiri. Maka tidak hairanlah pemimpin dari peringkat negara sehinggalah ke peringkat masyarakat lahir daripada mantan pimpinan kampus di era 70-an dahulu.

Di sini mari kita melihat sejarah seorang khalifah yang mampu memberi kesan kepada orang di sekelilingnya. Menurut sejarah, Khalifah Umar Bin Abdul Aziz bukanlah seorang lelaki yang mahu menjadi khalifah. Saat Khalifah Sulaiman sedang sakit, Umar Abd Aziz menemui Wazir Raja' bin Haiwah supaya tidak menyebut namanya di hadapan Khalifah Sulaiman apabila mereka membincangkan calon khalifah seterusnya. Sepanjang pemerintahan baginda, rakyat dapat hidup dalam keamanan dan kemakmuran. Keadilan Sang Khalifah, ialah rahmat untuk sekalian alam.

Ketika zaman bagindalah, cercaan yang dibuat terhadap Saidina Ali R.A di atas mimbar dihentikan. Orang Nasrani dan Islam dikenakan cukai lebih rendah, dan sampai pada suatu tahap khalifah menghantar surat kepada pemimpin pemberontak Khawarij agar datang ke istananya untuk berbincang.

Sebelum menjadi khalifah, Umar Abd Aziz suka akan pakaian yang mahal dan wangian. Namun perkara sebaliknya berlaku setelah menjawat jawatan khalifah. Baginda memakai pakaian yang kasar buatannya. Kuda-kuda khalifah sebelumnya dijual dan hasil jualan dimasukkan ke dalam 'baitul mal'. Begitu juga dengan barang kemas isteri baginda, Fatimah. Dikatakan setelah kematian Umar Abd Aziz, Khalifah seterusnya mahu mengembalikan emas Fatimah yang telah dijual. Namun, Fatimah menolaknya. Suatu hari, anak Umar Abd Aziz datang menemuinya atas suatu urusan keluarga. Melihat anaknya masuk ke dalam bilik, Umar Abd Aziz dengan segera memadamkan lampu lalu becakap dengan anaknya dalam gelap. Perbuatannya itu menimbulkan pertanyaan si anak. Lalu apakah jawapan Khalifah?

Jawapannya mudah. Lampu dipadamkan kerana anaknya itu datang atas urusan keluarga. Sedangkan minyak yang dipakai untuk menyalakan lampu itu dibeli dengan wang negara. Hingga hari ini kita masih mengingati Khalifah Umar Bin Abd Aziz. Bukan kerana kekayaan, tetapi kerana kekuasaan yag menjadi amanah itu, dilaksanakan seadil-adilnya.

Peter F. Drucker mengatakan, "...the leader sees leadership as responsibility rather than as rank and privilege". Beliau membezakan antara leader (pemimpin) dengan misleader (penyesat). Menurut drucker lagi, pemimpin mempunyai matlamat perjuangan yang unggul, tahu erti dan fungsi kepimpinan. Tidak takut dan cemburu dengan gugatan, sebaliknya dianggap sebagai kejayaannya juga. Misleader atau penyesat pula sebaliknya. Mereka rasa tergugat dengan kecemerlangan rakan-rakan dan para bawahannya, lalu berusaha untuk menyingkirkan mereka.

Antara model 'kepimpinan yang merobah' ialah:

1. Berjiwa Besar.

Pemimpin mahasiswa harus turun ke lapangan umat, mendepani isu masyarakat dan menjadi juru bicara mereka. Justeru itu, mahasiswa seperti ini adalah daripada mahasiswa yang mempunyai arus pemikiran yang bebas dari penjajahan pemikiran seperti yang telah dibahaskan oleh sarjana Islam termasuklah Malik Benabi dan Iqbal. Maka dengan itu, untuk menjana mahasiswa yang mempunyai jiwa yang besar sememangnya kita memerlukan mahasiswa yang serius dalam memikirkan persoalan semasa yang menyentuh mengenai isu masyarakat semasa.

Malah seorang sarjana barat, Sir Walter Moberly (England) dalam bukunya "The Crisis in the University" mengatakan:

"Penyakit kita ialah; Kebanyakan pelajar-pelajar yang tamat dari universiti tidak dilatih berfikir tentang persoalan yang penting. Di bawah pengecualian ilmiah, mereka bulat-bulat menerima status quo dalam masyarakat, politik dan sekularisme tanpa berfikir secara serius disebabkan hari ini adanya pemecahan dan penyempitan ilmu.

Jika kita memilih atau melihat suatu sifat istimewa atau sesuai dimana dipanggil era baru, sifat itu akan berubah. Hanya mereka (pemimpin) yang belajar untuk menerima malahan membina dan mencipta suatu masa depan yang baru akan menjadi manfaat serta faedah darinya. Bukannya terkejut atau melatah dengan perubahan mendadak.

2. Bersifat terbuka.

Tidak memandang dari suatu sudut sahaja malah memikirkannya dari pelbagai aspek dan harus mempunyai pemikiran kritis.

3. Menongkah arus.

Tidak hanya mengikuti arus dan membiarkan diri tersepit dalam suasana dan keadaan.

4. Matang.

Tidak mudah melatah, dapat berdepan dengan semua keadaan sama ada dalam keadaan susah ataupun senang.

5. Mendepani massa.

6. Proaktif.

7. Berkarismatik.

8. Mengutamaka ilmu.

Jika ciri-ciri di atas dipenuhi, maka tidak hairanlah sekiranya Malaysia pada masa akan datang munculnya ramai Umar Abd Aziz, Sultan Muhammad Al-Fateh, dan lain-lain lagi tokoh kepimpinan Islam.

Ayuh, tolak politik tidak demokrasi!!

Tiada ulasan: