Bicara Siswa


Rabu, 25 November 2009

USIM anjur Konvensyen Pendakwah Muda


Nilai, 20 Nov Buat julung-julung kalinya Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menjadi tuan rumah dalam penganjuran Konvensyen Pendakwah Muda Peringkat Kebangsaan (wehdah09) kali kedua pada 23 hingga 25 November ini.


Konvensyen selama tiga hari itu dianjurkan oleh Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi. Konvensyen tersebut bakal menghimpunkan siswa-siswi daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), politeknik serta Kolej Komuniti dari seluruh negara.


Antara objektif konvensyen itu diadakan adalah bagi menyatukan generasi muda untuk bertukar-tukar pandangan dan menyalurkan resolusi bernas yang diharap dapat membantu usaha meninggikan syiar Islam di negara ini.


Ia juga membawa misi mentransformasikan pendekatan dalam gerakan dakwah di kalangan generasi muda agar bersesuaian dengan keadaan semasa dan kumpulan sasar, serta bertindak secara kolektif dalam menangani isu-isu nasional mahupun antarabangsa.


Kenyataan itu disuarakan oleh jurucakap konvensyen, Nur Saadah Bt Rozali melalui kiriman emel kepada Usimkini pagi tadi. Konvensyen itu antara lain bertujuan mengukuhkan jaringan hubungan di kalangan organisasi dakwah dan kumpulan intelektual muda dari seluruh negara.


Menurutnya lagi, suatu mesyuarat khas melibatkan wakil mahasiswa dari setiap kampus turut diadakan bagi membincangkan pelbagai isu seterusnya menetapkan resolusi tindakan yang akan dipersetujui bersama. Selain itu, pengisian seperti wacana, bengkel dan forum akan berlangsung di beberapa tempat dalam kampus USIM Nilai.

Konvensyen kali ini membawa sedikit kelainan dengan menampilkan para pembentang terkenal seperti Ustaz Pahrol Mohd Juoi, Bro Shakirit dan pratonton bagi slot ESQ training.


Majlis perasmian penutup akan disempurnakan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Khalid Nordin dan Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mashitah Ibrahim.


Maklumat lanjut berkenaan Konvensyen Pendakwah Muda itu boleh diikuti di lamanhttp://www.kpmk09.blogspot.com/. - UsimKini

Tiada ulasan: