KENYATAAN DARI MENTERI PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA
KENYATAAN AKHBAR
YB DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA
MENGENAI KEADAAN DAN SITUASI TERKINI
PELAJAR-PELAJAR MALAYSIA DI REPUBLIK ARAB MESIR
2HB FEBRUARI 2011 (RABU)
___________________________________________________________________
1. Kementerian
Pengajian Tinggi Malaysia mengambil maklum, prihatin serta bersimpati
dengan keadaan sukar dan situasi getir yang dihadapi oleh para pelajar
Malaysia yang kini berada di Republik Arab Mesir, selepas hari
kesembilan berlakunya demonstrasi dan rusuhan oleh rakyat Mesir di sana.
2. Untuk makluman semua, mengikut rekod pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, di Mesir kini terdapat seramai 11,319 orang pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di republik tersebut. Jumlah
ini termasuklah seramai 5,184 orang pelajar perubatan dan 6,135 orang
pelajar yang melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang pengajian
Islam.
3. Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia melalui pejabat Jabatan Penuntut Malaysia (JPM) Kaherah
sebelum ini telah melakukan hebahan nasihat keselamatan kepada semua
pelajar agar mereka dapat menjauhkan diri daripada terlibat dengan
aktiviti rusuhan dan demonstrasi oleh rakyat Mesir. Di
samping itu juga, nasihat serta siaran hebahan telah diberikan kepada
semua pelajar agar mereka sentiasa dan dapat mematuhi arahan keselamatan
termasuklah arahan perintah berkurung (curfew) pada masa-masa yang ditetapkan. Selain
daripada itu, semua pelajar Malaysia juga dinasihatkan agar dapat
membuat persediaan penyimpanan makanan yang secukupnya bagi menghadapi
saat-saat sukar di sana.
4. Sejak
keadaan rusuhan kian meruncing serta tahap keselamatan pelajar Malaysia
menjadi semakin membimbangkan, pihak JPM Kaherah telah memulakan usaha
menempatkan para pelajar Malaysia dalam kumpulan yang lebih besar di
beberapa tempat utama termasuklah di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah
serta beberapa rumah negeri yang terdapat di sana. Langkah
ini bertujuan untuk memastikan keselamatan para pelajar agar lebih
terjamin, selain bagi memastikan perhubungan komunikasi antara mereka
tidak terputus. Di samping itu juga, ketika berada di luar arahan perintah berkurung (curfew),
pegawai-pegawai JPM Kaherah akan mengadakan kunjungan ke rumah-rumah
pelajar Malaysia di sana bagi meninjau keadaan serta situasi pelajar
Malaysia yang lain. Pegawai-pegawai JPM Kaherah
seterusnya akan menyediakan laporan keadaan terkini kepada pihak
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia di Putrajaya. Buat masa ini, seramai lebih 7,000 orang pelajar telah dapat dihubungi dan diketahui keadaan mereka. Alhamdullilah,
kesemua mereka kini berada dalam keadaan selamat dan terkawal tanpa
mengalami apa-apa kecederaan dan tidak ada sebarang kematian yang
melibatkan mereka. Langkah ini akan terus dilakukan sehinggalah kesemua nasib dan keadaan pelajar Malaysia di sana dapat diketahui.
5. Sementara
itu, bagi memudahkan ibu bapa dan keluarga para pelajar untuk
mendapatkan status serta kedudukan terkini mengenai anak-anak serta ahli
keluarga mereka di Mesir, mereka bolehlah menghubungi pegawai-pegawai
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia seperti di bawah:-
1) Yang Berbahagia Prof Dr Rujhan Mustafa
Pemangu Ketua Pengarah
Jabatan Pengajian Tinggi Malaysia
No. Telefon : +6019 – 270 8222
E-mel : mrujhan@mohe.gov.my
2) Yang Berusaha Dr Syed Alwee Shekh Alsagoff
Pengarah Bahagian Pemasaran Pendidikan
Jabatan Pengajian Tinggi Malaysia
No telefon : +6019 – 752 0672
E-mel : alwee@mohe.gov.my
3) Encik Jamalulail Bin Abu Bakar
Ketua Penolong Pengarah Kanan
Unit Jabatan Penuntut Malaysia
Jabatan Pengajian Tinggi Malaysia
No telefon : +6012 – 931 6172
E-mel : jamalulail@mohe.gov.my
6. Seperti mana yang Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah umumkan semalam (1 Februari 2011),
Kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk melakukan operasi menyelamatkan
pelajar dan rakyat Malaysia di Republik Arab Mesir melalui udara dan
juga laut. Pelajar dan rakyat Malaysia akan di
bawa ke Jeddah, Arab Saudi bagi mendapatkan bantuan perlindungan serta
tempat yang lebih selamat di Arab Saudi. Sehubungan
dengan itu, kerjasama dan jasa baik daripada semua pihak amatlah
diharapkan bagi memastikan urusan pemindahan berjalan dengan lancar dan
sentiasa berada dalam keadaan selamat.
7. Pihak
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia pada ketika ini telah dimaklumkan
mengenai pengumuman cuti oleh beberapa buah universiti utama di sana. Cairo University menetapkan cuti selama 3 bulan; Universiti Al-Azhar selama 1 tahun; manakala Ain Shams University menetapkan cuti selama 6 bulan.
8. Pada
ketika ini, pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia sentiasa
berhubung dan mendapatkan nasihat daripada pihak Majlis Keselamatan
Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri untuk tindakan-tindakan
selanjutnya diambil. Pihak Kementerian Pengajian
Tinggi juga sentiasa berhubung dengan pihak Kementerian Luar, Wisma
Putra, Kementerian Pertahanan dan beberapa agensi keselamatan lain bagi
mendapatkan maklumat lengkap dan situasi terkini mengenai keadaan
pelajar Malaysia di Mesir.
Disediakan oleh:-
Pejabat YB Menteri Pengajian Tinggi
Putrajaya
2 Februari 2011http://krisismesirnasibrakyatkita.blogspot.com/2011/02/kenyataan-dari-menteri-pengajian-tinggi.html?spref=fb
Tiada ulasan:
Catat Ulasan