Bicara Siswa


Ahad, 13 Disember 2009

Refleksi Mahasiswa Islam dalam mendepani cabaran semasa



Apabila disebut dunia mahasiswa kita tidak dapat lari daripada wajah-wajah yang majoritinya terdiri daripada golongan muda yang berada di institut pengajian tinggi sama ada di dalam atau luar negara.



Golongan muda yang mendapat jolokan ‘the young angry man’ inilah, yang disebutkan di dalam banyak ayat al-Quran dan hadith Nabi s.a.w yang menjadi tunjang kepada peradaban sesuatu ummah.



Persoalannya di sini, apakah yang perlu menjadi prioriti kepada potret perjuangan mahasiswa dalam cerminan dekad ini?.



Mahasiswa yang berada di menara gading menggalas seinfiniti harapan di pundaknya, harapan kepimpinan negara dan masyarakat. Bermula sejak dekad 60-an sehingga sekarang, suara mahasiswa di dengar bukan sahaja di kalangan warga kampus malahan sehingga menggegar di pucuk pimpinan negara.



Namun suasana kampus hari ini sampai ke tahap ‘menopause,’ kenyataan pimpinan kampus yang tidak bergigi malah “kemandoman” aktivisme pelajar juga menjadi faktor penyumbang kepada kelesuan intelektual.



Tidak dinafikan ada yang sangat dan terlalu bersemangat di dalam memperjuangkan suara mahasiswa sehingga terdengar teriakan keinginan “perubahan-perubahan segera,” namun saya ingin membawakan satu kisah teladan mengenai anak lelaki Umar Abdul Aziz r.a, khalifah kelima, iaitu Abdul Malik.



Sebagai seorang anak muda yang bersemangat dan tegas, aktif dan bertaqwa telah melahirkan rasa yang kurang senang tentang kelambatan bapanya bertindak dalam membersihkan saki-baki kezaliman yang ada supaya penghidupan di zaman itu dapat dikembalikan seperti mana di zaman awal khulafa’ Al-Rasyidin.



Bapa beliau menjawab,”Wahai anakku, janganlah kamu gopoh kerana Allah Taal telah mencela tentang arak dalam al-quran sebanyak dua kali, dan arak hanya diharamkan pada kali ketiga. Sesungguhnya aku bimbang sekiranya aku melaksanakan kebenaran ke atas manusia secara sekaligus, maka mereka juga akan meninggalkannya secara sekaligus, maka tindakan yang demikian itu akan menimbulkan fitnah.”



Satu falsafah yang cantik iaitu jiwa pemuda yang dipandu dengan mata hati yang celik membawa kepada kesejahteraan masyarakat sebaliknya mata hati yang buta boleh membawa kepada kemusnahan sekaligus.



Pemerkasaan pengetahuan dan da’wah perlu menjadi intipati budaya di kalangan intelektual muda di kampus kerana cabaran-cabaran di luar kampus tidak menjanjikan permaidani merah kepada kita.



Pelbagai isu dalam soal pendidikan, sosial, politik, dan kemasyarakatan yang berlaku pantas berubah setiap hari perlu dihadap dan dihadam oleh semua mahasiswa Islam. Tidak guna hanya meneliti dan menghafal teori-teori di dalam buku-buku ilmiah tanpa melihat kegunaanya di dalam masyarakat.



Masalah gejala sosial, permasalahan liberalisasi agama, turun-naik ekonomi, dan polisi-polisi semasa yang diamalkan oleh kerajaan sekarang mungkin hanya dihafal dan dicurahkan sebagai idea untuk jawapan di dalam dewan peperiksaan namun mahasiswa Islam perlu mempunyai motivasi yang lebih besar untuk menggunakannya sebagai solusi-solusi kepada permasalahan semasa masyarakat.



Akhir kalam, mahasiswa Islam yang mempunyai daya fikir dan zikir yang mantap melihat keperluan wawasan akhirat sebagai kiblat di hadapannya yang akhirnya akan melahirkan bukan sahaja mahasiswa yang berperanan sebagai dai’e, malahan sebagai golongan ulul-albab (golongan yang berfikir) dengan syarat, diri mereka mempunyai paduan di antara ilmu ‘aqli (sains) dan naqli (al-Quran dan Sunnah) yang diteguhkan dengan ketaqwaan di dalam diri.



Firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Hasyr ayat ke-18, maksudnya,

“ Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.”



--------------

Daing Muhamad Fadzil Abd Latif kini memegang jawatan Exco Latihan dan Penyelidikan, Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia USIM. Pandangan dan idea mahasiswa Tahun Dua Pengajian Sains Aktuari, Fakulti Sains dan Teknologi ini boleh diikuti di laman blog peribadi beliau http://daingfadzil.blogspot.com.



Tiada ulasan: