Bicara Siswa


Khamis, 29 Julai 2010

Guru dibenarkan berpolitik,Pensyarah bila lagi?

Pensyarah turut mohon berpolitik
Oleh Syuhada Choo Abdullah

2010/07/29

KUALA LUMPUR: Majlis Persatuan Pegawai Akademik Malaysia (MAAC) meminta kerajaan memperluaskan kebenaran untuk bertanding, dilantik dan memegang jawatan dalam parti politik, kepada kira-kira 20,000 pegawai akademik di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara.

Presidennya, Prof Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal, berkata pegawai akademik
di IPTA amat wajar diberikan hak sama rata seperti yang bakal dinikmati guru Gred DG41 hingga DG48, berikutan pensyarah sering dilihat sebagai idola kepada pelajar universiti yang sudah layak untuk mengundi dalam pilihan raya. Tambahan pula, katanya, rata-rata pensyarah menepati kriteria kepemimpinan yang digariskan belia, antaranya memiliki ilmu pengetahuan dan berkelulusan tinggi, selain mempunyai sahsiah baik.

Ketika ini, pegawai akademik di IPTA tidak dibenarkan untuk bergiat aktif dengan memegang sebarang jawatan dalam parti politik tetapi secara asasnya, boleh dikatakan ramai yang berminat.

Malah, sudah terbukti ramai wakil rakyat, termasuk dalam Jemaah Menteri, adalah bekas pensyarah. Ini menunjukkan pensyarah adalah role model di universiti dan pada masa sama, mampu menjadi pemimpin pelapis yang berkualiti dalam arena politik negara.

Pensyarah bukan saja berilmu pengetahuan tinggi tetapi juga memiliki banyak maklumat awal kerana terbabit dalam pelbagai penyelidikan penting melalui pusat kecemerlangan di universiti, katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Akhbar semalam melaporkan selepas 17 tahun dilarang aktif dalam politik, pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah Gred DG41 hingga DG48, dibenarkan semula bertanding, dilantik atau memegang sebarang jawatan dalam parti politik, berkuatkuasa 1 Ogos ini. Keputusan itu diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, kelmarin, membabitkan 140,000 guru.

Noor Aziah mengalu-alukan keputusan kerajaan membenarkan pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah Gred DG41 hingga DG48, bertanding, dilantik atau memegang sebarang jawatan dalam parti politik, berkuatkuasa 1 Ogos ini dengan menyifatkannya sebagai permulaan kepada perkembangan berpolitik yang semakin terbuka di negara ini, lebih-lebih lagi guru memang mempunyai kedudukan yang istimewa dan dihormati masyarakat sejak dulu.

Sementara itu, Ahli Majlis Eksekutif MAAC yang juga Presiden Persatuan Pegawai Akademik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof Madya Dr Raja Roslan Raja Abd Rahman, berkata pensyarah berupaya menjadi ahli politik yang berjaya kerana mempunyai hubungan langsung yang rapat dengan masyarakat peringkat akar umbi.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pensyarahturutmohonberpolitik/Article


"Tahniah kepada Dato' Seri Najib,Perdana Menteri Malaysia yang telah membenarkan para guru terlibat dalam arena politik.Ini adalah satu keterbukaan beliau dalam memberi ruang kebebasan kepada rakyat jelata.

Maka timbul satu persoalan,bilakah pula warga IPT,para pensyarah dan pegawai IPT akan diberi kebenaran yang sama.Dengan ikon-ikon yang ramai dari kalangan pensyarah IPT,maka amat sesuai selepas ini mereka dibenarkan turut sama dalam arena politik dalam mengukuhkan pengurusan politik dan pentadbiran tanah air.

Contoh yang tidak lari jauh,melihat kepada kepimpinan UniMAP yang begitu kemas dan menjadi contoh ikutan mahasiswa UniMAP sendiri.Dato' NC sendirilah adalah contoh terbaik seorang pemimpin universiti yang sangat cekap dan mengambil berat kepada seluruh warga kampus.

Bertuahlah para mahasiswa/i UniMAP mendapat seorang ayahanda dan staf universiti di antara yang terbaik.Syabas UniMAP"